Tidak merancang soal cahaya mata, Dahlia dan Shafiq menginginkan masa berdua sebelum kehadiran si kecil namun tidak menolak andai dikurniakan rezeki awal.
Tanggal 23 Julai 2016 menjadi satu detik bersejarah buat pengacara dan penerbit rancangan hiburan H! Live, Dahlia Shazwan Mohd. Amin, 28, apabila sah bergelar isteri kepada eksekutif pemasaran, Shafiq Datuk Ismet, 26.
Majlis serba ringkas dan sederhana yang berlangsung di The Glasshouse@Seputeh pada pagi Sabtu yang hening menyaksikan dua kali akad dilafaz sebelum gadis tinggi lampai itu bertukar status menjadi permaisuri Shafiq.
Dahlia yang dinikahkan ayahnya, Mohd. Amin Omar, disaksikan jurunikah Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Ustaz Mohd. Azri Mohd. Kamil menerima mas kahwin RM90, manakala wang hantaran pula dirahsiakan.
Pihak perempuan menerima tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang kepada pihak pengantin lelaki yang dilakukan secara tertutup di antara ahli keluarga sahaja.
Sebaik majlis selesai, kelihatan raut wajah Dahlia menghela nafas lega apabila semuanya sudah selesai dan berjalan lancar seperti dirancang.
“Alhamdulillah, saya dan suami bersyukur kerana selamat disatukan dalam sebuah majlis ringkas seperti yang kami impikan.
“Walaupun berdebar sebelum akad nikah berlangsung, saya sudah boleh bertenang dan merasa kegembiraan bergelar seorang isteri,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Di sebalik kesederhanaan majlis pernikahan hos rancangan Inspirasi itu, pasti tidak ramai yang menyangka sumbangan tajaan diterima bagi tiga majlis iaitu pra- perkahwinan, pernikahan dan persandingan mencecah RM10 juta.
Tajaan termasuk barangan kemas daripada Habib Jewels, Jakel dan Hotel Pullman Putrajaya disifatkan sebagai rezeki kepada pasangan mempelai apabila ia diterima sekitar dua bulan sebelum pernikahan berlangsung.
“Saya menganggap ini adalah rezeki berkahwin kerana walaupun saya bukanlah seorang selebriti atau artis popular tetapi Alhamdulillah masih ada pihak yang sudi menghulurkan tajaan.
“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak pengurusan On Air, Astro dan juga mentor saya, Datuk Aznil Nawawi yang bersusah payah membantu merealisasikan majlis kami berdua,” jelasnya lagi.
Rapat
Berbalik kepada cerita cintanya bersama Shafiq, Dahlia memberitahu perkenalan yang bermula di laman Instagram itu sudah berlanjutan selama tiga tahun sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.
Mengaku tidak pernah mempunyai teman lelaki sebelum ini, finalis pencarian pengacara On Air 2012 itu berkata dia mengambil masa yang agak lama untuk memperkenalkan Shafiq kepada ibunya kerana tidak mahu tersalah pilih.
Dahlia yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik berkata, hubungan rapatnya dengan ibu menjadikan dia tidak bersedia untuk berjauhan selepas berkahwin.
“Shafiq memang seorang yang penyabar kerana dia sentiasa mengalah dan menghormati apabila saya bersama ibu. Dia menunggu lebih setahun sebelum dibawa berjumpa keluarga dan bercakap soal kahwin.
“Saya rapat dengan ibu kerana tinggal paling lama di rumah berbanding adik-beradik lain. Justeru, ibu agak keberatan untuk melepaskan saya dan mengambil masa bersetuju dengan calon yang bakal menjadi suami,” ceritanya lagi.
Sementara itu, Shafiq pula berkata sanggup menunggu Dahlia kerana sejak berkenalan dengan wanita itu, hidupnya banyak berubah dan mengajar dia menjadi seorang lebih matang.
Sangat kagum dengan minat serta kesungguhan Dahlia dalam dunia pengacaraan, Shafiq berkata, dia sanggup menukar kerjaya daripada seorang cef kepada eksekutif pemasaran agar jadual kerja mereka tidak saling bertembung.
“Saya memahami ikatan antara isteri dan ibunya jadi saya tidak kisah jika mereka kadang kala mahukan masa diluangkan bersama.
“Itu tandanya dia anak yang baik dan yakin akan menjadi isteri serta ibu yang baik kepada anak-anak kami kelak,” ujarnya lagi menutup bicara.