Jalil Hamid tiada tandingan


BAGILAH sahaja apa watak, figura versatil yang satu ini pasti mampu mendalaminya dengan sempurna malah tidak keterlaluan jika beliau diangkat sebagai pelakon dalam kelas tersendiri.

Bakatnya tidak boleh dinafikan, selain berjaya mencuit hati kerana lawaknya yang bersahaja dalam drama komedi, dia juga mampu menghasilkan lakonan yang boleh meruntun hati para penonton.

Mengimbau penglibatan awal dalam bidang lakonan, Jalil Hamid atau nama sebenarnya A Jalil A Hamid mula menyertai bidang seni secara tidak formal ketika di bangku sekolah lagi.

Berasal dari Masai, Johor ini mendapat banyak pendedahan dalam bidang seni lakon setelah bekerja di Jabatan Kebudayaan Johor Bahru.

“Pada tahun 1978, saya menyertai kursus lakonan untuk mendalami bidang seni sebelum saya melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Kreatif Lakonan pada tahun 1980.

“Semasa di Johor, saya sempat menubuhkan Taman Seni Budaya Johor yang kini ditubuhkan di serata negeri.

“Pada 1984, saya mendapat tawaran sebagai Pegawai Kebudayaan di Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UITM),” katanya yang pernah membintangi teater arahan, Datuk Rahim Razali, Uda dan Dara.

Pada tahun 1985, TV3 mengundangnya untuk berlakon cerekarama, Harimau Harimau dan menerimanya sebagai punca pendapatan tambahan untuknya sekeluarga.

“Lima tahun lepas tu, saya mendapat tawaran daripada Jepun, untuk berlakon dalam filem, Pretty Girl dan pernah menggondol anugerah Pelakon Komedi Paling Popular pada tahun 1992.

“Tidak lama selepas itu saya ditawar komposer terkenal, Azmeer untuk menghasilkan album, dan lirik lagu Ayam merupakan ciptaan saya dan susunan muzik pula dihasilkan oleh Azmeer.

“Selepas empat album saya dikeluarkan, saya hanya menumpukan perhatian terhadap lakonan dan memenuhi undangan pentas sahaja,” katanya yang turut popular dengan lagu Raya, Makan dan Mata.

Sampai mesej dalam lagu

Meskipun pernah muncul dengan album komedi, namun Jalil berpuas hati kerana dapat mendidik masyarakat melalui lagu malah album yang pernah dihasilkan bukan semata-mata hiburan kosong.

“Album yang diterbitkan adalah menyeluruh, dalam pada mengajak pendengar bergelak ketawa dan menari, saya juga mahu peminat menyelami mesej dalam lirik lagu tersebut.

“Saya juga mahu mengikis pandangan dan andaian sesetengah pihak yang sering beranggapan artis kurang menekankan mesej dalam nyanyian mereka,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu tidak lagi sama kini kerana kebanyakan lagu yang singgah ke halwa telinga berbunyi ‘kosong’ malah tiada apa yang dapat diambil sebagai dorongan ke arah positif.

“Dalam berkarya kita perlu memikirkan fungsi kita dalam masyarakat, kita perlu bersama-sama dalam mendedahkan orang ramai kepada perkara yang boleh mendorong ke arah kemajuan diri,” katanya.

Kesal artis veteran dianggap ‘demand’

Berkongsi perkembangan terkini, bapa kepada enam anak ini mengakui bergelar pelakon senior kini menyukarkan dirinya dan rakan seangkatan untuk terus ‘cari makan’ dalam bidang lakonan.

Menurutnya, laluan bagi pelakon veteran sepertinya untuk menghiasi kaca televisyen semakin sukar dengan kemunculan begitu banyak bakat baru.

“Apa yang menyedihkan ialah penerbit dan pengarah lebih suka ambil muka baharu walaupun untuk watak warga emas kerana mereka menyangka pelakon lama ini akan letak harga tinggi bagi satu-satu babak lakonan.

“Tanggapan sebegitu telah lama berlaku, malah mereka sanggup mengambil orang baru berlakon tanpa memikirkan kualiti hasil karya mereka.

“Mereka perlu sedar, masih ramai pelakon veteran yang mampu menyumbang malah harga yang diminta atau ditawar sama sahaja, tidak pernah melampau dan setara dengan kualiti yang diberikan,” kata figura berusia 59 tahun ini.

Dedahnya, selepas selesai penggambaran Bisik Pada Langit arahan Khabir Bhatia sebelum Ramadan lalu, dia sendiri tidak mempunyai sebarang tawaran sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Jalil berpendapat, masalah kualiti dalam sesebuah karya lebih teruk pada zaman ini apabila kebanyakan filem atau drama adalah hasil ‘cedok’ dari novel popular.

“Tidak perlu lagi bersusah payah untuk menghasilkan sesuatu karya, semuanya sudah sedia, tinggal ambil dan ubah sedikit sahaja.

“Pelakon baharu yang diambil juga tidak mempunyai asas lakonan, mereka hanya perlu ada rupa... tidak perlu ke kelas lakonan dan ada pengetahuan mengenai seni lakonan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post