Azwan Kombos mahu bawa Ezzaty Abdullah ke kampung


Azwan dan Ezzaty akan berbulan madu sama ada di Bali atau Australia dalam bulan ini.

HARI ini merupakan hari yang cukup bahagia buat pasangan pelakon Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah selepas mereka sah diijabkabulkan sebagai suami isteri semalam. Harii ini pula, selepas selesai majlis akad nikah dan persandingan di kediaman Ezzaty di Bentong, Pahang, pasangan itu sekali lagi diraikan dalam satu majlis resepsi kedua yang berlangsung di Dewan Melur, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Apa yang pasti, selepas ini kedua-dua mereka menjalani satu lagi fasa baharu dalam kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri. Bagi aktor berusia 31 tahun itu, katanya, sudah pasti fokusnya kini tertumpu untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar sebagai seorang suami.

“Selepas ini tanggungjawab akan jadi lebih besar. Saya sendiri rasa macam mimpi pun ya kalau fikir-fikir balik status suami itu.

“Memang kalau ikutkan, sebenarnya memang tak tenteram dan gelisah juga sewaktu menunggu hari pernikahan (semalam). Berbaur-baur perasaan, sebab banyak sangat yang nak difikirkan,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi sehari sebelum majlis pernikahannya berlangsung.

Kongsi Azwan, biarpun majlis resepsi kedua-duanya selesai diadakan di Pahang dan Selangor, pelakon Nasi Tangas itu memberitahu, dia mahu membawa isterinya bertandang ke negeri kelahirannya di Kota Belud, Sabah.

Ini kerana, katanya, sepanjang perkenalan, dia belum pernah berpeluang membawa isterinya itu ke kampung halamannya di sana.

“Ezzaty belum pernah sampai lagi di kampung saya. Saya belum sempat bawa dia balik tengok kampung saya lagi. Bagaimanapun, sewaktu berkawan itu, keluarga hanya ada jumpa dia di sini (Kuala Lumpur).

“Memang ada perancangan nak bawa dia ke sana, cuma belum tetapkan lagi bila. Insya-Allah dalam tempoh tiga bulan ini saya akan bawa dia ke sana. Ini kira majlis menyambut menantu pula,” kongsinya yang memberitahu seramai 18 orang ahli keluarganya dari Sabah bertandang ke majlisnya semalam.

Menurut Azwan, dia perlu memikirkan dengan sebaiknya hal-hal berkaitan logistik terutamanya jika mahu mengadakan majlis di Sabah itu nanti.

“Kalau ikutkan, keluarga Ezzaty nak bawa ke sana sahaja dalam 40 orang. Jadi, urusan pengangkutan menaiki kapal terbang dan kemudahan penginapan di Sabah nanti kena rancang dengan rapi. Maklumlah, rumah kampung di sana tak besar, jadi, sebelum nak buat majlis di sana, kena fikirkan hal berkaitan penginapan juga untuk menyambut tetamu,” kongsinya.

Tidak mahu menunggu lama, kata Azwan, pada masa sama dia akan pergi berbulan madu dalam tempoh terdekat ini.

“Saya berehat daripada sebarang aktiviti lakonan sehingga hujung bulan ini. Jadi, saya rancang untuk terus pergi berbulan madu dalam tempoh terdekat ini. Bagaimanapun, sehingga kini, kami belum buat sebarang keputusan untuk pergi ke mana.

“Cuma, dalam perancangan itu, kalau ikutkan, saya mahu ke Bali, Indonesia, tetapi Ezzaty pula mahu ke Australia. Saya seorang yang sukakan pantai, tetapi dia lebih suka bercuti di tengah bandar. Tengoklah, mana nanti yang kami putuskan,” katanya yang mendapat tajaan pakaian daripada pereka fesyen, Arief Shah dan Wan Huzairil bagi majlis resepsi, manakala pelamin ditaja oleh Wedding by Emma dan Aseer Kuala Lumpur.

Post a Comment

Previous Post Next Post