ANTAGONIS - Watak Bella merupakan watak jahat kedua yang dipegang oleh Nadya. Pertama kali melakonkan watak antagonis adalah dalam telefilem Jodoh Sebelah Pintu.
BELLA, merupakan nama yang muncul di kotak fikiran tatkala julung kali bersua muka dengan pelakon baharu ini.
Cukup sinonim dengan nama watak dipegang dalam drama Dia Semanis Honey (DSH), tidak dinafikan sehingga kini nama Bella masih mekar di bibir penonton drama tersebut.
Hakikatnya, nama sebenar wanita berusia 23 tahun ini adalah Nadya Syahera Rosli atau lebih mesra dengan panggilan Nadya. Membawakan watak seorang wanita jahat yang menggoda Ahnaf dilakonkan Alif Satar, lakonan Nadya dalam DSH benar-benar memberi impak luar biasa buat perjalanan kerjayanya.
“Secara peribadi, saya dapat merasakan impak sangat besar selepas memegang watak Bella dalam DSH ini. Jika dahulu orang tidak perasan kehadiran dalam industri tetapi selepas kemunculan drama ini ramai mula mengenali saya.
“Bahkan sehingga kini, nama Bella masih lagi hangat diperkatakan para peminat. Jika saya ke mana-mana, pasti ada sahaja peminat memanggil dengan nama tersebut,” tutur Nadya yang ditemui ketika majlis berbuka puasa dan pelancaran Dayang di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kejayaan diraih sudah pasti membolehkan pelakon ayu ini tersenyum puas atas hasil penat lelah membuahkan hasil. Sebelum ini, Nadya pernah memulakan lakonan melalui telefilem bersama Ashraf Muslim berjudul Aku Bukan Haji.
Begitupun, di sebalik kemanisan tersebut, terselit sebuah kisah lucu dalam perjalanan meraih kejayaan itu. Bagaikan adat buat mana-mana pelakon antagonis, Nadya sendiri pernah mendapat amaran, malah hampir ditampar sekumpulan wanita pertengahan umur yang menyangka dirinya adalah ‘Bella sebenar’ walaupun DSH sudah melabuhkan tirai beberapa minggu lalu .
“Lakonan pertama saya adalah melalui telefilem Aku Bukan Haji. Ketika itu saya memegang watak utama tetapi disebabkan tidak mempunyai pengalaman, lakonan tersebut menjadi kaku.
“Selepas itu saya berhenti untuk menyambung pengajian selama setahun dan kembali aktif dalam bidang lakonan tetapi memegang watak pembantu.
“Hendak dijadikan cerita, saya pernah hampir ditampar sekumpulan wanita yang menyangka saya adalah Bella seperti dalam DSH. Mereka turut memberi amaran kepada saya agar tidak menggoda Ahnaf dan ingin menampar saya. Selepas menerangkan perkara sebenar, baru mereka bertenang,” cerita Nadya tertawa.
Semakin laris
Impak daripada memegang watak Bella, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu kini sudah mula disunting pengarah drama lain.
Ujarnya, hampir kesemua tawaran memerlukan Nadya melakonkan watak antagonis yang dilihat sangat bersesuaian dengan dirinya.
“Alhamdulillah, rezeki tawaran berlakon semakin melimpah. Malah, kadangkala ia terpaksa ditolak kerana bertindih dengan jadual sedia ada.
“Memang ramai yang menawarkan watak jahat kepada saya. Buat masa ini saya selesa melakonkan watak-watak seperti itu selagi ia boleh diterima peminat. Bagaimanapun, saya tetap teringin melakonkan watak lain juga,” ujarnya.
Ditanya perihal penampilan diri yang berhijab dan membawakan watak jahat, akui Nadya, dirinya dan pengarah memang berdepan dengan masalah menyesuaikan perkara tersebut.
“Memang sangat sukar menyesuaikan penampilan saya dengan lakonan. Kadangkala pengarah juga pening memikirkannya.
“Bagi mengatasi perkara tersebut, kami akan mengkaji terlebih dahulu setiap babak hendak dilakonkan agar tidak keterlaluan dan masih di bawah batas pergaulan,” ujarnya yang kadangkala menjadi model sambilan.
Tidak mahu sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ terhadap kualiti lakonan, Nadya memberitahu, dirinya pernah mengambil kelas lakonan bersama pelakon Fauziah Nawi selama satu minggu untuk menjayakan watak Bella.
“Bagi saya, membawakan watak jahat jauh lebih mudah berbanding watak baik. Kadangkala watak putih ini memerlukan pelakon menangis dan perkara tersebut adalah sukar buat saya.
“Bagaimanapun, ia bukan bermakna saya sudah mahir dalam lakonan kerana masih terasa kekok setiap kali memulakan lakonan di set penggambaran drama baharu,” jujur ungkapnya.
Nadya ditanya soal laman sosial miliknya. Lucunya, di Instagram Nadya tidak menggelarkan dirinya dengan nama sebenar, sebaliknya lebih selesa memadankan nama panggilan sebagai Kak Bed.
Tambah menarik, impak DSH juga meningkatkan jumlah pengikut di Instagram miliknya sehingga mencecah 70,000 pengikut. Sehingga kini, Nadya sudah mempunyai 157,000 pengikut.
“Saya sengaja menggunakan nama tersebut sejak dahulu kerana panggilan itu dilihat lebih mesra dan dekat dengan peminat. Mereka juga selesa memanggil saya dengan nama Kak Bed.
“Alhamdulillah, semasa DSH ditayangkan, jumlah pengikut saya meningkat sehingga 70,000 pengikut. Malah, sehingga kini boleh dikatakan setiap hari jumlah pengikut akan meningkat sehingga 3,000,” ceritanya teruja.
Melihat kepada perubahan tersebut, akui Nadya dia sudah mula menapis setiap gambar yang hendak dikongsi bersama peminat bagi mengelak timbul sebarang komen-komen negatif.
Bercerita tentang aktiviti Ramadan pula, sementelah semakin laris, Nadya berkata, aktiviti pada bulan ini penuh dengan lakonan, undangan sesi fotografi dan majlis berbuka puasa.
“Sepanjang Ramadan ini, masa saya banyak diisi dengan aktiviti lakonan. Saya juga akan terlibat dengan set penggambaran DSH istimewa untuk tayangan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Selain itu, saya juga banyak terlibat dengan sesi fotografi dan undangan majlis berbuka puasa. Disebabkan terlalu sibuk, saya lebih senang membeli makanan di luar sahaja sebagai juadah berbuka puasa,” ujarnya.