ERRA menyifatkan kisah sensasi antaranya dan Shahir bukan sebagai perkara baharu.
TANDA tanya peminat berhubung status hubungan sebenar antara dua figura tersohor, Erra Fazira dan Shahir dilihat masih belum terjawab sejak sekian lama.
Meskipun gosip antara Erra dan Shahir bukan lagi sesuatu yang baharu sebaik dikatakan rapat sejak dua tahun lepas, kedua-dua pihak dilihat lebih selesa untuk tidak mengulas lebih lanjut berhubung perkara itu.
Terbaharu, termometer hiburan tanah air minggu ini juga kembali hangat apabila timbul desas-desus bahawa pasangan itu dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga selepas Aidilfitri nanti.
Ia gara-gara terdapat khabar angin mengatakan bahawa Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 28, dikatakan telah menghantar rombongan merisik baru-baru ini.
Cuma, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 42, tenang mengendalikan cerita sedemikian, sambil menyifatkan ia bukan spekulasi baharu.
Menurut Erra, tidak manis untuk berkongsi sesuatu yang tidak pasti, sekali gus enggan mengulas lebih lanjut berhubung perkara itu.
Sebaliknya jelas aktres tersebut, dia sebagai empunya diri seharusnya lebih tahu mengenai hal itu jika benar mereka bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
STATUS sebenar antara Erra dan Shahir menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat sejak dikatakan rapat sekitar dua tahun lepas
“Jika cerita itu benar, sudah tentu saya perlu tahu mengenai perkara ini. Perkara ini juga pernah kecoh sebelum ini, namun tiada apa-apa yang berlaku antara kami.
“Apa yang boleh saya katakan, kami memang berkawan rapat. Selebihnya, biarlah saya sendiri yang simpan dan tidak perlu komen lebih-lebih berhubung perkara ini,” katanya ketika ditemui media dalam sebuah majlis di ibu negara baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Erra juga menyifatkan perkara ini tidak wajar disensasikan mana-mana pihak lantaran dia dan Shahir memang berkawan sebelum ini.
“Dalam persahabatan, ia sememangnya normal untuk bertanya khabar antara satu sama lain,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shahir menerusi sebuah portal hiburan juga tidak menafikan mahupun mengiyakan gosip berkenaan.
Sebaliknya, juara Akademi Fantasia musim kelapan itu turut menzahirkan perasaan simpati terhadap Erra yang terpaksa memberikan kenyataan demi kenyataan berhubung perkara itu sejak dahulu.
Apa yang pasti, peminat kedua-dua pihak sudah tentu sentiasa mendoakan kebahagiaan Erra dan Shahir sejak dahulu, semoga kedua-duanya berbahagia dengan episod pengakhiran teka-teki yang cukup indah.