Ramadan, karier Maya Karin


KEDATANGAN Ramadan pada kali ini seperti tahun-tahun sebelumnya. Tiada apa yang mendatangkan rasa momen berbeza buat si empunya diri aktres jelitawan, Maya Karin.

Sebagai umat Islam, dia turut sama menjalani ibadah puasa seperti insan lain. Sungguhpun begitu, inilah antara waktu yang ditunggu-tunggunya saban tahun.

Bagi aktres berusia 37 tahun itu, kedatangan bulan yang mulia ini bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan, ia lebih kepada satu bentuk rasa menyemai semangat penyatuan dan ukhwah antara satu sama lain.

“Setiap kali datangnya Ramadan, memang sukar untuk kita gambarkan perasaan itu. Ia tidak seperti bulan-bulan lain, ada rasa perasaan yang sedikit lain.

“Saya suka kerana pada waktu inilah kita dapat melihat Ramadan boleh mengajak kita erti penyatuan. Berkumpul bersama ahli keluarga dan teman-teman untuk berbuka puasa dan sahur sekali. Momen begini yang banyak kita lihat dalam kalangan masyarakat kita. Seolah-olah ia menyatukan kita semua,” kongsi pelakon yang popular dengan filem Ombak Rindu itu.

Bersederhana


PELAKON berusia 37 tahun ini memilih untuk berehat sepanjang bulan puasa bagi mengeratkan hubungan dengan keluarga.

Pada masa sama, menurut Maya, bulan yang mulia ini juga mengajar kita semua untuk menghayati erti kesederhanaan dalam hidup.

Pada waktu inilah katanya, dia mahu merasai bagaimana kehidupan orang yang mungkin jauh kurang bernasib baik dalam melayari hari-hari mereka.

“Bulan puasa ini memang kita patut raikannya. Bagaimanapun, ia bukanlah dengan cara yang melebih-lebih. Maksudnya kalau berbuka puasa itu biarlah dengan cara bersederhana sahaja.

“Dengan cara beginilah kita belajar untuk mengingati nasib insan yang lain. Jika tidak sudah pasti ia akan sudah jadi bercanggah dengan pengertian Ramadan itu sendiri,” kongsi pelakon berdarah campuran Melayu-Jerman itu kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Justeru, kata Maya, dia mahu menikmati bulan ini dengan sebaiknya. Sebolehnya, bulan ini juga menjadi bulan untuknya mengeratkan lagi hubungan dengan keluarga tercinta.

Barangkali saat artikel ini ditulis, Maya mungkin sedang meluangkan masa bersama ahli keluarganya yang lain di Eropah.

“Rasanya bulan puasa begini kebanyakan artis akan memilih untuk berehat daripada sebarang aktiviti seni. Begitu juga dengan saya. Saya membuat keputusan untuk pulang ke Jerman bulan puasa ini bagi bertemu dengan ahli keluarga yang lain. Jadi, dapatlah kita menyambut Ramadan berbuka dan bersahur bersama-sama.

“Mungkin saya akan ke London juga untuk bertemu dengan abang saya di sana. Saya juga sudah rindu mahu bertemu dengan dua orang anak buah tersayang. Lagipun di sana orang sedang cuti musim panas. Jadi inilah peluang yang ada untuk berjumpa dengan mereka semua juga,” kongsinya yang turut singgah ke Itali bagi meraikan majlis perkahwinan sahabatnya pada bulan ini.

Lagu raya


BAGI Maya Karin, kedatangan Ramadan setiap tahun memang dinanti-nantikan olehnya kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri.

Ditanya adakah dia akan menyambut Aidilfitri di luar negara, kata Maya dia belum mempunyai sebarang perancangan di mana mahu menyambut Lebaran.

“Saya hanya beli tiket pergi sahaja. Tiket kapal terbang untuk pulang belum dibeli lagi. Saya tidak tahu berapa lama akan berada di sana.

“Saya sendiri tidak membuat perancangan awal sama ada akan beraya di sini atau di luar negara. Jika ada tuntutan kerja di akhir-akhir Ramadan nanti mungkin saya akan pulang ke sini,” katanya yang sedang mempromosikan lagu raya berjudul Pulang.

Bercakap mengenai lagu tersebut kata Maya, ia yang sudah diterbitkan pada tahun lalu akan menemui pendengar sekali lagi pada tahun ini.

“Ya, lagu raya saya berjudul Pulang itu mahu diperdengarkan lagi pada tahun ini.

“Lagu itu cukup bermakna kerana ia mengajak kita semua pulang bertemu keluarga di pagi raya,” kongsinya yang turut melibatkan penyertaan ahli keluarga dalam pembikinan video muzik lagu tersebut.

Band


Ditanya mengenai perkembangan karier seninya, menurut Maya, biarpun sudah lebih 15 tahun berada di dalam industri, dia tidak pernah kenal erti puas. Baginya, terlalu banyak yang perlu diterokai.

Bergerak menyanyi secara solo, menurut Maya, ada kalanya dia terfikir untuk memberikan satu elemen baharu dalam perjalanan karier nyanyiannya.

“Selepas album Teka-Teki, album seterusnya ada terfikir untuk sesuatu yang lain daripada yang lain. Mungkin jenis muzik yang melibatkan band. Masih lagi berfikir untuk itu.

“Bukan apa, saya ada pernah membuat persembahan bersama band sebelum ini, saya jadi rasa seronok dan selesa pula apabila ditemani dengan band muzik sebegitu,” kongsinya.

Kongsi Maya, tidak terhad kepada skop nyanyian semata-mata, dia juga merancang untuk mempelajari bidang penerbitan muzik dan penulisan.

“Selepas ini saya mahu belajar lebih lagi mengenai kerja-kerja di belakang tabir. Secara tidak langsung ia akan menambah lagi pengetahuan dalam bidang yang saya ceburi ini,” kongsinya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post