Shahir sifatkan Erra wanita sempurna


ERRA FAZIRA tenang berdepan persoalan mengenai hubungan bersama Shahir.

LENYAP daripada radar dunia hiburan tempatan, penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Shahir hampir dilupakan dalam industri seni.

Bagaimanapun, lelaki kelahiran Ipoh, Perak itu mula mencuri perhatian apabila mengakui selesa menjalin hubungan istimewa dengan aktres jelita, Erra Fazira.

Tidak menjadikan jurang usia 14 tahun sebagai kekangan lebih mengenali wanita yang kini berusia 42 tahun, Shahir Zawawi, 28, menyifatkan usia itu hanya satu angka serta tidak menggambarkan personaliti seseorang.

Dalam menjawab persoalan tentang kesahihan hubungannya dengan Erra, Shahir turut menjelaskan punca mengapa dia memilih memperlahankan kerjaya seni.

KOSMO!: Bolehkah Shahir jelaskan mengenai status hubungan anda dengan Erra Fazira?

SHAHIR: Sejujurnya saya mengakui dia (Erra) merupakan wanita yang paling dekat dengan saya sekarang. Selain itu, kami juga selesa berkawan bersama. Sukar untuk menggambarkan situasi sebenar kerana kami masih pada peringkat saling mengenali antara satu sama lain.

Jika tidak keberatan, bolehkah anda cerita bagaimana kalian saling mengenali antara satu sama lain?

Pada awalnya kami saling berhubung disebabkan atas dasar kerja. Saya mula menghantar khidmat pesanan ringkas kepadanya dan bermula dari detik itu, kami saling berbalas mesej (ketawa).

Adakah benar kalian telah menjalin hubungan istimewa sejak dua tahun lalu?

Memang benar, kami mula berkawan sejak dua tahun lalu tetapi tidak mempunyai sebarang perancangan serius seperti berumah tangga dalam tempoh terdekat ini.

Mengapa setelah sekian lama baru kini anda menjelaskan bahawa kalian sedang menjalin hubungan istimewa?

Bukan bermaksud saya tidak mahu memberitahu perkara sebenar, tetapi adalah lebih baik perkara peribadi itu tidak terlalu diceritakan kepada umum. Bagaimana saya ingin mengiyakan berita yang ketika itu masih belum sahih. Saya berasa kasihan melihat Erra terpaksa berdepan situasi seorang diri hanya kerana saya tidak bergiat aktif dalam bidang seni. Disebabkan itu saya tampil menjelaskan perkara sebenar tentang hubungan kami.

Adakah anda merasakan jurang usia 14 tahun itu sebagai halangan saling mengenali?

Ia hanya satu angka dan tidak memberi sebarang kesan atau menggambarkan kematangan dan personaliti individu tersebut. Dalam rukun perkahwinan turut tidak meletakkan sebarang syarat atau garis panduan mengatakan pasangan perlu berkahwin dengan pasangan seusia. Selain itu, pasangan yang berkahwin seusia belum tentu menjamin kebahagiaan. Paling penting Rasulullah SAW turut menikahi Siti Khadijah pada usianya 40 tahun manakala Rasulullah SAW pula 28 tahun.

Shahir, adakah benar kalian akan mengikat tali pertunangan dan kemudian berkahwin dalam masa terdekat?

Semuanya bergantung kepada ketentuan Ilahi kerana ini semua urusan Tuhan dan biarlah takdir menentukan. Bagaimanapun, buat masa terdekat memang tidak ada. Saya juga tidak punya perancangan untuk membawa keluarga bertemu Erra selepas raya seperti yang digembar-gemburkan. Umum hanya perlu tunggu dan lihat serta doakan yang baik-baik buat kami.

Apakah yang membuatkan Erra kelihatan istimewa pada mata anda?

Dia merupakan seorang wanita yang matang, penuh dengan sikap keibuan dan berdikari. Selain itu, Erra juga mempunyai ciri sempurna sebagai seorang wanita.

Lama tidak mendengar perkhabaran dalam bidang hiburan, adakah masih bergiat aktif atau tidak?

Sejak kebelakangan ini, saya mula memperlahankan aktiviti seni kerana ingin memberi tumpuan kepada pengurusan perniagaan yang telah diusahakan sejak dua tahun lalu di Perak.

Memperlahankan kerja seni adakah bermakna anda akan meninggalkan terus dunia hiburan?

Sukar saya meletak titik noktah pada dunia seni kerana itu merupakan minat saya. Namun adalah lebih baik saya memberi tumpuan kepada perniagaan daripada bidang seni.

Sekiranya kembali aktif, peminat akan tersalah anggap mengatakan saya membuat kemunculan kemudian apabila kembali menyepi, peminat akan mengatakan saya hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam dengan bidang seni.

Post a Comment

Previous Post Next Post