Perjalanan hidup Dynas Mokhtar


LUASKAN EMPAYAR - Dynas mengharapkan agar pembinaan bangunan miliknya berjaya disiapkan pada tahun hadapan, sekali gus menjadi pejabat operasi perniagaan jenama Dynas Nursing Attire (DNA).

RAMADAN tahun ini masih lagi memberi warna dan pengalaman luar biasa buat Dynas Mokhtar. Wanita tinggi lampai ini bukan sahaja menjalani rutin Ramadan berbuka puasa dengan keluarga dan sahabat terdekat, sebaliknya pengalaman berpuasa tahun ini dikongsi dengan kru di set penggambaran.

Terlibat dengan penggambaran drama berjudul Samudera Rindu terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., Dynas mengaku teruja menjalani ibadah puasa di set penggambaran. Malah, dia menjadikan keseronokan saat berbuka bersama tenaga kerja produksi drama sebagai momen indah, sekali gus menghilangkan rasa penat setelah seharian bekerja.

“Ramadan merupakan bulan paling menyeronokkan kerana ia bukan sahaja memberi kita peluang untuk melipatgandakan amalan seperti yang dituntut agama Islam, selain itu ia memberikan keseronokan luar biasa saat menghabiskan masa dengan keluarga.

“Namun, tanggungjawab perlu dilakukan dan saya tidak kisah untuk berpuasa di set penggambaran kerana pengalaman berbuka beramai-ramai bersama kru produksi amat menyeronokkan dan itu dapat menghilangkan segala rasa penat,” kata pemilik nama lengkap Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar itu.

Lebih daripada itu, kata Dynas, hal yang menggembirakannya juga pada Ramadan tahun ini adalah mengenai sikap puteri sulung, Khyra Khalyssa yang mula belajar berpuasa. Meskipun baru berusia enam tahun, Khyra dilihat teruja untuk menjalani ibadah puasa.

Ibu tunggal kepada dua anak ini turut memberitahu, anaknya tidak mengeluh sewaktu menunaikan ibadah puasa, sebaliknya si kecil itu kekal aktif tanpa sebarang rungutan.

Perkara tersebut mempamerkan kematangan Khyra biarpun usianya masih kecil, namun dia tetap ingin berpuasa meskipun perlu menahan lapar dan dahaga pada waktu siang hari.

“Saya bersyukur melihat Khyra sudah punya keinginan untuk berpuasa biarpun usianya masih kecil tetapi wujud juga rasa bimbang kerana dia kini kelihatan semakin kurus.

“Khyra sering mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit sehingga adakalanya dia perlu dipaksa untuk makan. Perkara itu membimbangkan saya tentang amalan pemakanannya sepanjang bulan Ramadan,” kata wanita berusia 33 tahun itu sambil mengukirkan senyuman.

Berhenti berlakon

Kesibukan jadual kerja dengan sesi penggambaran dan fotografi akhbar serta majalah bukan halangan buat wanita berkaliber ini terus gigih mengembangkan perniagaannya dalam bidang fesyen menerusi jenama Dynas Nursing Attire (DNA) sehingga mampu berada setaraf dengan jenama antarabangsa.

Teliti dalam soal perancangan masa hadapan, Dynas mempamerkan kesungguhannya dengan memperlahankan agenda seni yang sememangnya menjadi darah daging sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan lebih sedekad lalu.

“Saya pernah cuba untuk kurangkan kemunculan di kaca televisyen sebagai langkah awal untuk berhenti dari dunia lakonan tetapi usaha itu tidak berjaya.

“Bidang lakonan adalah sebahagian daripada keinginan saya sejak di usia remaja dan tidak ada salahnya jika terus berlakon sambil menguruskan perniagaan.

“Tambahan, keputusan itu turut mendapat sokongan daripada keluarga dan kenalan rapat. Mereka berharap agar saya akan terus kekal aktif berlakon,” tutur Dynas dalam nada teruja.

Sementara itu, sempena kedatangan bulan Syawal, jenama pakaiannya yang boleh dibeli di Butik DNA di pusat beli-belah Setia Alam, Selangor dan secara online turut tidak ketinggalan menghasilkan koleksi hari raya buat kaum ibu yang ingin kelihatan sedondon dengan anak-anak.

Cinta

Melepaskan jelingan manja dan ketawa kecil saat diusik soal kehadiran lelaki bergelar suami, Dynas hanya mampu tersenyum sambil membetulkan rambut dan membetulkan posisi duduknya.

Tidak menafikan dia kini sedang menyulam cinta dengan seorang lelaki, Dynas bagaimanapun menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk mentafsir masa hadapan hubungannya, apatah lagi memikirkan soal kahwin.

Mengakui dirinya kini bahagia bersama seorang jejaka bernama Shazrik Din, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu sekeras-kerasnya menafikan dakwaan kononnya hubungan cinta mereka telah terkandas di tengah jalan.

“Hubungan kami berjalan seperti biasa tanpa masalah dan bahagia bersama. Berita perpisahan itu hanya khabar angin sahaja.

“Sukar untuk menduga apa yang akan berlaku pada masa hadapan tetapi jika diizinkan Tuhan, insya-Allah andai takdirnya dia (Shazrik) memang jodoh saya, pasti perkara itu akan tiba kelak,” ujar Dynas mengenai perancangan rumah tangga.

Mengenali jejaka tersebut sejak berusia 17 tahun, ketika itu hubungan mereka cukup sekadar kenalan tanpa wujud sebarang rasa cinta dalam diri masing-masing.

Pertemuan semula bersama rakan-rakan lama menjadi titik bermulanya ceritera cinta antara Dynas dan Shazrik yang kini hubungan mereka memasuki tahun ketiga.

Dynas sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang pelumba kereta, Mohd. Hafizy Hafiz sekitar tahun 2008 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Khyra Khalyssa, 6, dan Mohamed Haqaish, 4.

Post a Comment

Previous Post Next Post