
KONSERT - Sempena ulang tahun ke-20 Raihan, mereka merancang mengadakan sebuah konsert besar-besaran di Malaysia pada hujung tahun ini.
BERTEMU dengan kumpulan nasyid terkenal Raihan baru-baru ini dalam pelancaran program Ramadan Astro cukup mengujakan, masakan tidak selepas 20 tahun menghiburkan khalayak dengan lagu kerohanian, suara dan muzik yang dipersembahankan secara langsung pada acara tersebut tiada cacat celanya. Jika dipejam mata, alunan muzik dilontarkan kumpulan ini bak mendengar lagu daripada cakera padat. Begitu tinggi sekali kualiti dimiliki kumpulan Raihan.
Biarpun begitu, kumpulan Raihan kini hanya dianggotai tiga ahli asal iaitu Che Amran Idris, Amran Ibrahim dan Abu Bakar Mohd. Yatim semakin suram dengan publisiti. Cukup berbeza pada awal kemunculan mereka sekitar tahun 1996 dengan album Puji-Pujian. Masih segar dalam ingatan fenomena dicetuskan kumpulan Raihan waktu itu. Album Puji-Pujian ibarat pisang panas, ramai orang bercakap mengenainya termasuk mereka yang bukan beragama Islam.
Bahkan, Raihan ketika itu yang masih lengkap dengan anggota asal iaitu Allahyarham Azahari Ahmad, Che Amran Idris, Nazrey Johani, Amran Ibrahim dan Abu Bakar Mohd. Yatim merangkul empat anugerah di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998. Satu pencapaian yang cukup luar biasa bagi kumpulan nasyid.
Bercakap mengenai kesuraman publisiti, Che Amran mengakui perkara tersebut, namun tidak meletakkan kesalahan pada media, sebaliknya situasi itu berlaku kerana kesibukan jadual pentas di luar negara.
“Ya, saya mengaku kumpulan Raihan memang agak suram dengan publisiti di Malaysia berbanding tahun 90-an. Bagaimanapun, perkara itu berlaku bukan kerana media melupakan kami, tetapi kesibukan jadual kerja yang menuntut komitmen di luar negara menyebabkan kerja-kerja promosi agak terbatas.
“Apapun, saya tidak melihat ia sebagai masalah kerana selagi kumpulan Raihan diberi tawaran persembahan, kami berada dalam keadaan baik,” ujar Che Amran.
Berbicara tentang perkembangan kerjaya kumpulan Raihan, Che Amran mengakui rezeki mereka lebih meriah di luar negara berbanding Malaysia. Justeru, fokus diberikan kepada persembahan di luar negara sejak kebelakangan ini. Antara negara yang baru dikunjungi ialah Thailand dan Indonesia. Raihan turut dilantik sebagai duta pelancongan Muslim di Acheh, Indonesia baru-baru ini.
Tambah Che Amran, pasaran di Malaysia telah pun dikuasai Raihan sebelum ini, oleh itu wajar untuk mereka melebarkan sayap seni sambil berdakwah ke luar negara pula.
“Memang kami banyak terima tawaran dari luar negara, sudah itu rezeki tertulis buat kami. Jadi, secara automatik fokus Raihan adalah di luar negara, tetapi kami tidak pernah melupakan peminat Malaysia. Cuma tawaran persembahan di luar negara biasanya disertai dengan kerja dakwah dan membantu saudara Islam sendiri seperti di Yala dan Bangkok, Thailand,” katanya yang akan mengunjungi Sarajevo, Bosnia selepas sambutan Aidilfitri depan.
Konsert jelajah Raihan
Saat berbicara tentang usia kumpulan Raihan yang genap 20 tahun, senyuman terukir di bibir ketiga-tiga anggota Raihan itu. Meskipun populariti meroket naik sejak album pertama, namun perjalanan dilalui mereka penuh liku.
Terang Abu Bakar, Raihan bukan sekadar kumpulan nasyid sebaliknya sudah ibarat sebuah keluarga. Diakui kumpulan Raihan merupakan sumber rezeki utama mereka bertiga, namun perjuangan menyebarkan dakwah menjadi pegangan. Justeru, biar pernah berganti ahli buat seketika dan kini kembali bersama anggota asal, ikatan dalam keluarga Raihan itu kekal utuh.
“Sejujurnya, kami tiada resepi atau rahsia untuk kekal bertahan selama 20 tahun. Selama ini, kami hanya menjalankan tugas sebagai penyanyi. Selagi orang mahu mendengar lagu dendangan Raihan, kami akan terus wujud.
“Faktor lain mungkin juga kerana persembahan kami. Biarpun menyanyi lagu kerohanian, kami akan pastikan persembahan itu serba lengkap dan diingati oleh penonton. Kualiti dan keikhlasan dalam persembahan itu amat penting kerana ia dapat dirasai penonton,” tutur Abu Bakar.
Dalam pada itu, sempena ulang tahun ke-20 tahun, Raihan kini sedang merangka konsert besar-besaran bagi meraikan ulang tahun penglibatan dalam bidang seni serta menghargai peminat yang tidak jemu memberi sokongan kepada mereka.
Bagaimanapun, kata Che Amran, perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan dijangka bakal diadakan sekitar hujung tahun ini.
“Ya, memang kami ada merancang sebuah konsert Raihan di Malaysia, tetapi saya tidak boleh kongsi butirannya kerana semuanya masih dalam peringkat perbincangan sahaja.
“Andai ia jadi kenyataan, sudah pasti saya akan menghebahkan kepada pihak media,” ujar Che Amran.
Bukan sekadar dengan konsert ulang tahun di Malaysia sahaja, difahamkan Raihan juga bakal muncul dengan single terbaharu dan mengadakan konsert jelajah dunia dengan seorang penyanyi terkenal antarabangsa. Antara destinasi yang dipilih ialah Dubai, Emiriah Arab Bersatu, Afrika Selatan, London serta Malaysia.
“Sebenarnya kami telah merakamkan single terbaharu itu dengan seorang penyanyi antarabangsa yang turut menyanyikan lagu kerohanian. Cuma buat masa ini tidak boleh didedahkan siapakah penyanyi antarabangsa itu.
“Bukan apa, saya bimbang jika didedahkan terlalu awal, perancangan tidak berlaku seperti diperkatakan. Jadi, lebih baik tunggu semuanya jelas dan sahih terlebih dahulu,” balas Che Amran dalam senyuman.
Menyentuh tentang sambutan Ramadan, kata Che Amran, rutin kumpulan Raihan sama sahaja setiap tahun antaranya menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan jemputan persembahan pentas.
“Biasanya pada bulan Ramadan kami akan kurangkan aktiviti seni. Bayangkan setahun jadual kerja penuh, pada bulan Ramadan sahajalah kami hendak berehat sebentar sebelum kembali bekerja keras selepas itu.
“Bagi saya bulan Ramadan penuh dengan nikmat, meski sibuk bekerja jangan dilupa mengejar pahala berganda pada bulan mulia,” tutur Che Amran. menamatkan bicara.