
Datuk Fazley bersama buku resipi masakannya, My Sucre Story.
NASKHAH pertama penulisan cef selebriti popular tempatan, Datuk Fazley Yaakob berjudul My Sucre Story mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia apabila dipilih sebagai johan di anugerah buku resipi antarabangsa, The World Gourmand Cookbook Awards.
Kemenangan Fazley menyaksikan dia menewaskan 205 buah negara yang bertanding pada majlis berlangsung di Yantai, China baru-baru ini.
Kemenangan tersebut dianggap satu kejayaan yang membanggakan dalam karier masakan pelantun lagu Asmara ini kerana ia merupakan acara berprestij bagi tukang masak profesional.
Pertandingan bermula sejak tahun 1995 ini memberi pengiktirafan kepada golongan cef seluruh dunia bagi menghasilkan buku-buku resipi yang unik dan berkualiti serta dianggap setaraf upacara Oscars atau Sukan Olimpik dalam dunia kulinari.
Buku yang mengandungi sebanyak 35 resipi ini telah memenangi tempat pertama dalam kategori Buku Resipi Terbaik dari Personaliti TV luar Eropah, mengalahkan Ana Maria Braga dari Brazil dan juga Judy-Ann Santos Agoncillo dari Filipina untuk tiga tempat teratas.
Antara resipi-resipi yang diketengahkan dalam buku My Sucre Story adalah Rendang Uwan, Daging Masak Lemak Cili Api, Madagascar Vanilla Creme Brulee, Popcorn Macaron dan Puteri Mandi.
Buku ini turut memuatkan resipi-resipi moden pemanis mulut dari Perancis untuk citarasa anak muda yang ingin mencuba memasak dan membuat kek untuk pertama kali.
Sementara itu, Fazley memberitahu, dia tidak menduga apabila dimaklumkan memenangi pertandingan berkenaan kerana tidak dapat menghadiri majlis yang diadakan di negara China.
“Saya ingin mendedikasikan kemenangan diraih buku berkenaan kepada arwah ayah, Datuk Yaakob Mohammad yang banyak membantu dalam pembikinan buku resipi berkenaan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. –