
BERSAMA RAKAN - Selain Altimet dan Awi, program Giving Back To The Community turut diserikan dengan persembahan rakan artis lain seperti PaySlip dan Aziz Harun.
Tuah kejayaan lagu Kalau Aku Kaya dendangan dua insan seni prihatin, Altimet dan Awi Rafael yang diumumkan mencecah jualan digital melebihi sejuta unit, mereka lantas mendapat ilham untuk melaksanakan program Giving Back To The Community di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu.
Sekitar 250 orang gelandangan dirai dalam suasana penuh meriah sempena bulan Ramadan yang kini sudah memasuki hari keempat. Mengakui tersentuh dengan kecekalan jiwa penghuni rumah tersebut, Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman, 38, memberitahu, dia bersyukur kerana diberi kudrat serta rezeki yang lebih untuk membantu insan-insan memerlukan.
Pertama kali diberi peluang menjejakkan kaki di pusat tersebut, dia teruja melihat secebis kegembiraan di riak wajah penghuni bangunan tiga tingkat berkenaan meskipun melalui kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.
“Nak bikin kerja amal bergantung pada niat. Ada orang yang gemar berbuat demikian secara senyap untuk mengelakkan sifat riak. Bagaimanapun, itu terpulang kepada persepsi masing-masing.
“Begitupun, pada kali ini saya ingin kongsi kepada semua orang supaya sesama kita dapat membantu meringankan beban orang yang dalam kesusahan. Saya ingin Ramadan mereka lebih bersinar dengan sokongan masyarakat sekeliling,” kata Altimet.
Turut berkongsi pandangan sama, pemilik nama lengkap Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 29, merasa amat bersyukur kerana usaha kerajaan untuk memberi sokongan kepada golongan gelandangan semakin memperlihat tanda positif.
“Mereka (gelandangan) mempunyai sejarah dalam hidup dan berhak untuk meneruskan kehidupan seperti insan normal lain.
“Walaupun apa yang kami lakukan ini usaha kecil, saya yakin ia menghadirkan kegembiraan kepada penghuni di sini, sekali gus membuatkan mereka untuk terus melakukan perkara-perkara positif dalam hidup,” ulasnya.
Rezeki
Mengulas lanjut, Altimet memberitahu, dia menyumbang barangan berupa berus gigi, manakala Awi sempat menyumbang ubat gigi kepada semua 250 penghuni pusat transit tersebut.
“Walaupun sumbangan ini tidaklah sebesar mana, saya yakin ia berguna buat mereka. Lagu Kalau Aku Kaya yang dipetik daripada album Kotarayaku merupakan lagu pertama mencecah jualan digital melebihi sejuta terbitan Kartel Records.
“Rezeki yang kami peroleh daripada kejayaan Kalau Aku Kaya adalah melebihi daripada apa yang kami perlukan. Jadi, apa salahnya berkongsi dengan orang memerlukan,” luahnya.
Sementara itu, ditanya mengenai aktiviti sepanjang bulan Ramadan, Altimet berkata, dia akan meluangkan masa menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan merakamkan lagu di studio.
“Seperti biasa, bulan puasa mungkin saya akan duduk rumah sahaja (ketawa). Tidak aktif seperti bulan-bulan lain tetapi saya ke studio untuk menyiapkan rakaman album mini yang dijangka menemui pasaran akhir tahun ini.
“Album mini ini hanya memuatkan sekurang-kurangnya enam buah lagu. Ia juga melibatkan The Kawan Band,” ujarnya yang merupakan anak jati Selangor.
Epifani kemalangan
Bagi Awi, sejak terlibat dengan kemalangan Mac lalu, dia lebih menghargai hidup dan berusaha untuk terus menjadi individu yang membantu sesama manusia sejagat.
“Selepas kemalangan tersebut, saya lebih dilindungi dan semakin matang. Malah, karya muzik saya akan datang lebih dekat kepada Tuhan.
“Bencana atau kematian boleh berlaku pada bila-bila masa atau di mana sahaja. Saya tidak fobia untuk menunggang motosikal. Bagaimanapun, kemalangan membuatkan saya lebih menghargai setiap hela nafas yang dipinjamkan oleh Tuhan kepada saya. Insya-Allah,” katanya yang mengalami kecederaan di bahagian kaki dan kepala, namun kini sudah sembuh sepenuhnya.
Berkongsi tentang perkembangan seni terbaharu, Awi yang merupakan anak kelahiran republik Singapura, memberirtahu, dia akan melahirkan album ketiga berjudul Euforia selepas Aidilfitri nanti.
“Kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album ini kelak berbentuk ketuhanan dan akan ada juga lagu duet bersama Altimet berjudul Kau di Hatiku yang merupakan kesinambungan kerjasama dan persahabatan kami selepas Kalau Aku Kaya,” kongsi Awi.
Disogok pertanyaan tentang teman hidup, Awi lebih selesa tidak berkongsi lebih mengenainya kerana dia belum mempunyai teman istimewa dalam hidup yang ingin dijadikan isteri.
“Memang belum ada. Kalau ada dan ia sedang berlaku, mungkin saya akan berkongsi dengan anda semua (ketawa). Buat masa ini, memang tiada,” ujarnya menutup perbualan.