Neelofa tambah duit raya


SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, rutin sambutan Hari Raya Aidilfitri Neelofa tidak pernah berubah dengan menyambutnya di kampung halaman bersama keluarga tercinta.

SAMBUTAN Ramadan pada tahun ini memberi beribu-ribu makna buat pelakon dan pengacara jelita, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Nor.

Ujar wanita berusia 27 tahun itu, Ramadan kali ini memberi pengertian yang berbeza buatnya untuk mensyukuri segala nikmat dan rezeki yang diberikan Tuhan sementelah tahun ini memperlihatkan kecemerlangannya dalam dua bidang iaitu hiburan dan perniagaan.

“Alhamdulillah, tahun ini Ramadan mengajar saya untuk mengerti makna syukur dengan segala nikmat dan rezeki yang Tuhan berikan sepanjang tahun ini.

“Bermula dengan karier yang stabil, bidang perniagaan yang semakin berkembang dan beberapa pencapaian anugerah yang diterima baru-baru ini membuatkan Ramadan saya lebih bermakna untuk dilalui,” ujarnya.

Jodoh

Berbicara soal persiapan raya pula, kata Neeelofa, dia akan pulang ke kampung halaman di Pasir Mas, Kelantan seperti tahun-tahun sebelum ini untuk meraikan hari kemenangan umat Islam itu.

“Insya-Allah, saya akan pulang ke kampung halaman untuk empat hari bagi menyambut raya bersama keluarga seperti biasa. Kemudian, saya akan pulang ke ibu kota untuk kembali fokus dengan bisnes,” katanya sambil berseloroh, kemungkinan besar duit raya untuk kanak-kanak yang datang beraya ke rumahnya pada tahun ini akan dinaikkan berbanding tahun lepas.

Jika menyebut nama Neelofa, pasti soal jodoh dan cinta akan menjadi perbualan utama selain bisnes tudungnya yang semakin rancak melebarkan sayapnya.

Manakan tidak, klip video yang dijadikan promosi kempen raya koleksi tudung Naelofar Hijab itu berkisar tentang kisah cinta yang dilakonkan sendiri oleh pelakon filem Lemak Kampung Santan itu.

“Iklan itu hanyalah salah satu cara untuk saya menceritakan soal hati dan pengalaman hidup menerusi kempen raya. Mungkin sesetengah orang akan menilai ia dari sudut pandang yang berbeza, tetapi saya rasa tidak salah jika kita mahu mengvisualkan tentang perkara itu dalam klip video.

“Ia sejajar dengan tema klip video itu iaitu Allah Lebih Tahu. Namun, sebenarnya maksud iklan tersebut sangat meluas. Bukan hanya soal cinta semata-mata bahkan saya sentuh juga tentang kehidupan manusia secara menyeluruh.

“Apa yang pasti, jika orang bertanya soal jodoh, jawapannya sekarang ialah saya reda tentang itu. Walaupun kerap ditanya tentang perkahwinan, tetapi Alhamdulillah ia tidak memberi tekanan kepada saya. Cukuplah saya yakin dengan perancangan Tuhan, itu sudah memadai,” luahnya.

Dalam perkembangan lain, Neelofa kini kembali mewarnai dunia lakonan dengan beberapa buah drama selepas raya nanti.

“Beberapa minggu lepas saya baru selesai menjalani penggambaran drama. Kemudian, Insya-Allah selepas raya saya akan turun lagi ke lokasi untuk penggambaran drama bersiri.

“Saya akui sekarang agak memilih dalam kerjaya lakonan sebab utamanya adalah saya mahu sebuah produk yang bagus dan mampu memberi impak kepada nama saya dalam bidang lakonan.

“Barisan pelakon yang bagus dan skrip yang baik, itu harus kerana kriteria itu menjadikan sesebuah drama atau filem terhasil dengan sempurna,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post