TERUJA menyambut Aidilfitri pertama bersama zuriat pada tahun ini, Leez dan Aepul terlebih dahulu menyediakan pakaian raya untuk anak mereka, Nur Saffiya Alisha.
LEBIH dua tahun melayari bahtera perkahwinan, tahun ini memberi definisi yang berbeza buat pelakon Leez Rosli dan suaminya, Aepul Drama Band. Kehidupan mereka kini diserikan dengan kehadiran cahaya mata pertama, Nur Safiyya Alisha yang lahir pada 4 April lalu.
Teruja bergelar ibu dan bapa buat kali pertama, dalam masa sama pasangan yang bernikah pada 27 Disember 2014 itu mengakui putaran hidup mereka berubah semenjak mempunyai zuriat yang kini berusia dua bulan.
Ikuti perkembangan terkini pasangan itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat rakaman Indigital Sdn. Bhd. baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh kongsikan mengenai perkembangan terkini Leez dan Aepul pada Ramadan ini?
LEEZ: Sepanjang Ramadan, saya hanya fokus kepada bayi dan tumpukan perhatian kepada pengurusan rumah tangga. Setakat ini saya tidak terlibat dengan aktiviti seni kecuali untuk jemputan majlis berbuka puasa.
AEPUL: Sepanjang bulan puasa, saya dan Drama Band banyak menghabiskan masa di studio untuk menyiapkan lagu baharu untuk dimuatkan dalam album kami nanti. Insya-Allah, jika tiada aral melintang album akan dilancarkan menjelang September depan. Album tersebut mengandungi tujuh lagu dengan tiga lagu baharu dan selebihnya merupakan lagu-lagu lama seperti Biarkanlah dan Jiwa. Dalam masa sama, saya giat menghasilkan lagu baharu untuk beberapa penyanyi seperti Zarul Umbrella menerusi single Jangan Pernah.
Bagi Leez, adakah anda tidak lagi mahu terlibat dalam dunia lakonan selepas ini?
LEEZ: Jika diikutkan, sejak hamil lagi saya sudah berehat daripada dunia lakonan. Buat masa sekarang, saya tidak pasti lagi sama ada mahu kembali dalam bidang lakonan atau tidak. Sebab saya mahu fokus kepada penjagaan anak memandangkan dia masih kecil dan memerlukan perhatian yang rapi. Menjadi ibu dan bapa bukan perkara mudah. Jika dahulu saya selalu menguruskan diri sendiri, sekarang sudah berubah. Anak perlu diutamakan dalam semua hal. Apa-apapun, saya mahu anak membesar terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya boleh fikir untuk kembali berlakon.
Setakat ini, bagaimana pula pengalaman kalian bergelar ibu bapa?
LEEZ: Syukur Alhamdulillah, semestinya kami sangat teruja dan seronok bergelar ibu dan bapa. Pada mulanya kami mengakui agak kekok dan takut untuk menguruskan bayi kerana tidak pernah mempunyai pengalaman. Tetapi, lama-kelamaan kami jadi terbiasa dengan keadaan itu. Tambahan pula, saya ada bertanya kepada ramai kawan tentang dunia keibubapaan selain turut aktif bertanya dalam grup ibu hamil di laman Facebook. Jadi, dari situ saya banyak belajar tentang bayi dan kandungan.
AEPUL: Sejak mendapat zuriat, banyak perkara berubah dalam hidup kami. Kalau dahulu, ketika membeli-belah kami tidak kisah untuk menghabiskan banyak masa di sesebuah kedai. Tetapi, berbeza dengan sekarang kami perlu mengikut giliran untuk membeli barang. Kalau Leez membeli barang, saya perlu menjaga anak dan begitulah sebaliknya. Semua ibu bapa akan melalui fasa sebegitu, cuma pada mulanya dahulu situasi ini agak asing bagi kami untuk mengawalnya.
Baiklah, beralih kepada persiapan menyambut Aidilfitri pada tahun ini?
LEEZ: Mungkin kerana terlalu teruja menyambut hari raya sebagai ibu bapa, jadi setakat ini baju anak yang paling banyak dibeli. Insya-Allah, tahun ini kami sekeluarga akan pulang beraya ke kampung halaman suami di Kuala Lipis, Pahang.