
SERASI BERSAMA - Selesa berlakon bersama, kedua-duanya mengharapkan agar berpeluang untuk terus digandingkan tidak mengira sama ada dalam drama mahupun filem.
BUKAN nama baharu dalam persada seni, aktor Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose tidak memerlukan pengenalan panjang lebar, sementelah kedua-duanya mempunyai platform kukuh dan pengikut tersendiri dalam bidang lakonan.
Biarpun berdepan dengan cabaran lambakan pendatang baharu, situasi itu tidak menjejaskan permintaan peminat untuk melihat dua insan tersebut terus berkarya.
Tidak hanya bergantung pada populariti, kedua-duanya mempunyai kredibiliti dalam menterjemahkan watak bagi setiap naskhah yang diterima.
Serasi digandingkan bersama, kedua-duanya pernah memperoleh gelaran Hero dan Heroin Drama Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015 menerusi drama Setitis Kasih Dharmia.
Sorotan daripada keserasian tersebut, kedua-duanya sekali lagi dijodohkan dalam filem terbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. dan Astro berjudul Jebat.
Naskhah tersebut merupakan olahan daripada watak Jebat yang dilakonkan oleh Sharnaaz menerusi drama rantaian Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang bersiaran di saluran Astro Mustika HD pada tahun 2013 lalu.
Tidak memerlukan tempoh masa yang lama untuk mewujudkan keserasian watak, kedua-dua figura itu nyata profesional saat digandingkan bersama di lokasi meskipun drama tersebut telah lama melabuhkan tirai.
Teruja berkongsi lensa kamera yang sama, Sharnaaz meluahkan kesediaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami kepada Nelydia dalam filem arahan Jamal Khan itu.
“Terus terang saya memang selesa bekerja dengan Nelydia kerana dia merupakan seorang pelakon wanita hebat. Malah, mudah buat kami mewujudkan kesefahaman watak kerana pernah bekerjasama beberapa kali sebelum ini.
“Dia turut mempunyai kuasa telepati yang mampu mengetahui setiap apa keinginan dan kemahuan saya sewaktu menterjemahkan watak tanpa perlu menyuarakan pendapat,” seloroh Sharnaaz sambil melepaskan ketawa besarnya ke arah Nelydia.
Hanya mampu tersenyum dan tertunduk malu saat diusik oleh Sharnaaz, wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut teruja berlakon dalam filem tersebut kerana berpeluang melakukan adegan lagak ngeri sendiri.
Pertama kali melakukan babak lagak ngeri sendiri, anjakan pada watak Mastura yang dilakonkannya turut menjadi antara sebab mengapa sukar buatnya menolak tawaran membintangi filem Jebat.
Kata Nelydia, olahan skrip dan watak yang dilakukan Nik Naemah Nik Mahir pada karakter Mastura mempamerkan kematangan wanita tersebut dalam menempuhi gerbang perkahwinan selain cabaran apabila mengetahui sisi hitam kehidupan lampau suaminya.
“Saya melakukan adegan lagak ngeri yang dirasakan selamat seperti drift kereta dan beberapa babak melibatkan pergaduhan. Bagaimanapun segalanya dilakukan di bawah pemantauan pakar.
“Pada awalnya melakukan adegan drift agak mendebarkan dan berdepan dengan kesukaran terutama saat ingin mengawal kereta terbabit kerana saya tidak pernah memandu kenderaan jenis manual sebelum ini,” ujar pelakon berusia 22 tahun itu.
Dalam saling memuji kehebatan lakonan antara satu sama lain, kedua-duanya meraih kata sepakat perihal keterbukaan tentang gandingan masing-masing.
Tidak bermaksud memperlekehkan kebolehan pendatang baharu, Sharnaaz memberitahu bahawa dia lebih senang bergandingan dengan pelakon yang pernah bekerjasama sebelum ini.
“Bukan berlagak sombong atau merasakan diri hebat tetapi saya lebih selesa jika berlakon dengan pelakon yang pernah digandingkan dalam naskhah terdahulu.
“Perkara itu kerana ingin mewujudkan keserasian di depan kamera, sekali gus menzahirkan watak dengan mudah disebabkan kesefahaman antara satu sama lain.
“Sekiranya digandingkan dengan pelakon baharu, saya akan pastikan untuk menonton naskhah lakonan terdahulu bagi memudahkan proses perkenalan, sekali gus mencari keserasian,” tuturnya bersungguh-sungguh.
Fokus keluarga
Tidak hanya serasi berkongsi layar perak yang sama, Sharnaaz dan Nelydia turut sepakat berusaha mencari masa terluang pada bulan Ramadan dengan menghabiskan masa bersama keluarga.
Sudah menjadi rutin apabila saban Ramadan mereka akan menghabiskan masa di lokasi penggambaran dan bukan satu kejanggalan berbuka puasa bersama tenaga kerja produksi.
Tambahan sebagai anak rantau Sharnaaz akan memastikan segala kelengkapan ahli keluarganya menyambut Syawal akan dilakukan kira-kira seminggu sebelum hari raya bagi mengelakkan kekalutan.
“Biarpun sibuk menjalani sesi penggambaran pada bulan Ramadan, saya berusaha mencari masa sesuai untuk dihabiskan bersama keluarga di kampung, sekali gus melakukan beberapa persiapan sebelum Syawal.
“Saya akan pastikan seminggu sebelum hari raya segala aktiviti seni selesai,” kata pelakon kelahiran George Town, Pulau Pinang itu.
Begitu juga dengan si cantik Nelydia yang turut berusaha mencari ruang agar berpeluang melarikan diri daripada kesibukan kerja dan menghabiskan masa bersama keluarga.
Menjalani penggambaran filem Jebat sekitar 14 hari dalam bulan Ramadan, Nelydia tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk berlakon sekadar sambil lewa tanpa mementingkan kualiti dek kerana keletihan menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari.
Baginya, berlakon pada bulan Ramadan bukan suatu kekangan sementelah ini bukan pertama kali dia menjalani ibadah puasa sambil bekerja.
“Saya tetap akan berpuasa seperti biasa biarpun kadangkala keadaan di lokasi mampu mencabar mental dan fizikal sehingga menguji tahap kesabaran. Namun, segalanya ditempuhi dengan penuh sabar,” jelas Nelydia sambil tersenyum usai menutup bicara.