
Falisha Crosley mengakui sebaik berhijab lebih seminggu lalu, dia kehilangan empat tawaran berlakon.
Suatu ketika dahulu wanita yang sentiasa murah dengan senyuman dan gelak ketawa ini dikenali dengan imej tidak bertudung. Pun begitu, berkat kedatangan bulan Ramadan tahun ini, pelakon Falisha Crossley mula mengambil keputusan untuk berhijab.
Mengakui masih lagi kekok untuk menggayakan hijab, pemilik nama Nur Falisha Crossley Faisal ini tetap nekad untuk tampil berkeyakinan dengan imej terbaharu dan perubahan dirinya itu.
Biarpun beberapa tawaran lakonan yang diterima terpaksa dibatalkan, namun Falisha tetap reda dengan keputusan tersebut. Perkara utama baginya kini adalah perubahan dirinya benar-benar menggembirakan hati.
KOSMO!: Sejak bila Falisha mengambil keputusan untuk berhijab?
Falisha Crossley: Saya mula berhijab pada hari Jumaat sebelum masuk bulan Ramadan iaitu 3 Jun lalu. Pada mulanya saya fikir hendak bertudung ketika Ramadan pertama tetapi seru sampai lebih awal.
Adakah anda pernah meletakkan sebarang sasaran umur untuk berhijab dan apakah yang membuatkan mengambil keputusan ini?
Tidak sama sekali. Jika saya meletakkan sasaran mungkin ianya selepas berkahwin tetapi perasaan ingin berhijab dalam diri saya hadir secara tiba-tiba. Umur saya juga sudah mencecah angka 31 tahun, jadi sudah tiba masanya untuk saya berubah ke arah yang lebih baik. Tambahan pula semua yang saya hajati sudah dikecapi, jadi apa lagi hendak ditunggu.
Bagaimanakah reaksi rakan-rakan ahli keluarga terdekat dan peminat anda?
Sebenarnya, keluarga memang sudah tahu tentang keputusan saya tetapi mereka fikir saya akan berhijab pada hari pertama Ramadan. Bagaimanapun, semua rakan dan ahli keluarga gembira dengan perubahan ini. Peminat juga sangat menyukai imej baharu ini tetapi mereka mula menyarankan supaya saya memadamkan gambar-gambar terdahulu. Buat masa ini saya masih memikirkan untuk memadamkan gambar itu atau tidak kerana semuanya adalah kenangan buat saya.
Bagaimana pula dengan tawaran lakonan?
Baru-baru ini saya pernah mengeluarkan kenyataan ingin berhijab pada bulan Ramadan tetapi ketika itu ramai yang tidak mengetahuinya lagi
Bagaimanapun, setelah mereka tahu, tawaran lakonan tersebut terpaksa dibatalkan kerana watak yang ditawarkan itu tidak bersesuaian dengan imej bertudung.
Berapakah jumlah tawaran lakonan yang terpaksa dibatalkan?
Setakat ini hampir empat tawaran yang telah dibatalkan. Tidak mengapa, saya reda dan sudah tekad dengan keputusan ini jadi saya tidak merasa terkilan kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya. Perkara yang baik kebiasaannya akan datang lambat.
Boleh kongsikan aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan ini?
Disebabkan tawaran lakonan telah dibatalkan, jadi saya akan berehat sepanjang bulan ini dan hanya akan menghadiri jemputan berbuka puasa
Selain itu, saya ingin memunggah semula almari pakaian dan menjual baju-baju ketika tidak bertudung dahulu melalui jualan bonet kereta di Kota Damansara.
Terdapat juga pakaian bersesuaian yang akan saya sedekahkan kepada golongan memerlukan. Selepas itu empat hari sebelum raya, saya akan pulang ke Sarawak untuk beraya bersama keluarga.