Kurang Publisiti Juliana Evans akui memilih


NAMA Juliana Evans di dalam bidang seni bukan lagi nama baharu.

Bahkan anak kacukan Melayu-Inggeris ini sudah mula melibatkan diri di dalam industri seni sejak usia 12 tahun lagi.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, pemilik nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans bagai kurang mendapat populariti. Jika ada pun, ia bagai mengekori kisah peribadi berbanding kisah kerjaya gadis berusia 27 tahun ini.

Justeru berpeluang bertentang mata dengan heroin Hantu Bonceng ini digunakan pihak media untuk bertanya perkembangannya.

Akui Juliana atau mesra di sapa Jue, dia kini masih aktif di dalam bidang seni, namun lebih selektif dalam memilih tawaran.

"Alhamdulillah tawaran masih ada, bukan sahaja dalam bidang lakonan, tetapi juga bidang pengacaraan.

"Insya Allah tidak lama lagi saya akan terlibat sebagai pengacara untuk rancangan Mahligai Cinta yang sebelum ini pernah dikendalikan oleh Hanis Zalikha.

"Selain itu saya juga akan terlibat dengan sebuah program dengan saluran Hypp TV.

"Saya juga ada terima tawaran berlakon telefilem dan filem serta ada filem lakonan saya yang belum ditayangkan lagi.

"Tetapi mungkin tidak ada banyak cerita menarik mengenai saya atau mungkin disebabkan saya lebih selektif dalam memilih watak menyebabkan jarang melihat kelibat saya di dalam industri," jelas graduan dalam bidang perfileman dari Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat ini.

Berkongsi perkembangan lain, Juliana berkata, dia kini sudah mula menjinakkan diri di dalam bidang aksesori wanita dan bakal melancarkan menerusi jenama Jevans Jewerly tidak lama lagi.

Katanya, akseseori seperti cincin, rantai, gelang, anting-anting itu antaranya turut direka sendiri olehnya.

"Saya masih lagi belajar dan berjinak-jinak, tetapi Insya Allah akan dilancarkan tidak lama lagi. Nantikan pengumuman dari saya kelak," katanya.

Sementara itu, diusik mengenai hubungannya dengan seorang kerabat diRaja seperti yang tersebar beberapa bulan lalu, Juliana mengakui kini dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

Bagaimanapun baik dia mahu kekasihnya masih belum berbincang mengenai hal perkahwinan.

"Kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan saya sendiri masih banyak yang perlu saya pelajari, lebih-lebih lagi dalam hal protokol.

"Tetapi tidaklah terlalu sukar dan dia juga banyak membantu.

"Saya terbuka bercakap mengenai hubungan kami kerana tidak mahu lagi dikaitkan dengan kisah-kisah lalu.

"Apa yang saya boleh katakan, hubungan ini masih awal dan kami masih dalam proses mengenali antara satu sama lain," katanya yang tidak menolak untuk beraya bersama pasangannya itu nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post