Sepanjang lima tahun menjalani kehidupan di sebalik tirai besi, telah memberi seribu satu pengajaran buat vokalis kumpulan Spring, Ameng, atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, tentang kekhilafan yang pernah dilakukan.
Menghabiskan setahun pertama dengan linangan air mata, Ramadan tahun ini menyaksikan tangisan gembira bercucuran membasahi pipinya apabila dibebaskan tiga tahun lebih awal daripada tempoh hukuman sebenar kerana berkelakuan baik dari Penjara Kluang, Johor pada 14 Jun lalu, bersamaan 8 Ramadan.
Secara fizikalnya, tiada banyak perubahan dapat dilihat pada pelantun lagu Butakah Cinta ini kecuali raut wajahnya jelas menyatakan kekesalan yang sarat untuk diluahkan.
“Orang kata sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna tetapi bagi saya, dahulu atau kemudian, apa yang penting penyesalan itu datang ikhlas daripada jiwa.
“Banyak yang saya belajar tentang kehidupan sewaktu berada dalam penjara terutama tentang pengabaian saya terhadap agama dan keluarga,” luahnya sedikit perlahan sewaktu ditemui pada sidang media Konsert 3 Suara di Dewan Cinta Indah, Shah Alam baru-baru ini.
Masa dan keluarga
Saat bercerita tentang masa yang terbuang di penjara, manakala keluarga terbiar di dunia luar, suara penyanyi kelahiran Terengganu ini jelas kedengaran terputus-putus dan kadang hilang dalam kesayuan.
Kata Ameng, perkara paling meruntun jiwanya ketika dijatuhkan hukuman penjara ialah kerana telah mengheret isterinya, Sabariah Zakaria, 46, dan anak mereka, Wan Ahmad Haizal, 9, ke lembah duka yang tidak sepatutnya dilalui mereka.
Akibat diri sendiri ternoda dan tersalah langkah, bayaran hukuman perlu dibahagikan sama rata antara mereka. Itu adalah perkara yang paling dikesali.
“Saya yang membuat onar berjinak dalam najis dadah tetapi isteri dan anak yang merasa balasannya.
Bakal menggegarkan pentas Istana Budaya pada 22 hingga 25 September depan, Ameng teruja untuk bertemu peminat selepas lama menyepi dari dunia persembahan.
“Sepanjang menjalani hukuman, saya mula menghargai betapa beruntungnya diri ini mempunyai sebuah sistem sokongan yang kuat dan tidak berbelah bahagi walaupun secara logiknya, tiada maaf buat perbuatan saya itu,” katanya sambil menyeka air mata jatuh di pipi.
Dalam pada itu, ketibaan Syawal yang tinggal dua minggu sahaja lagi sangat dinanti tiga beranak ini kerana sudah lama mereka tidak merasakan kemeriahannya seperti insan lain.
Kata Ameng, setiap kali menyambut hari raya, isterinya memberitahu bahawa dia dan anak hanya berkurung di dalam bilik dan tidak keluar beraya kerana enggan bergembira tanpa dirinya di sisi.
Hati lelakinya tersentuh setiap kali mendengar takbir raya mengenangkan Sabariah dan Haizal yang menyambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa tanpa kelengkapan atau persediaan seperti orang lain.
“Tahun ini, saya akan menebus semula masa-masa yang terlepas sepanjang saya dipenjarakan dan akan menyambut lebaran di kampung isteri di Melaka.
“Saya tidak sabar mahu membawa mereka menziarah rumah sanak-saudara kami, membeli baju raya, sekali gus memberikan kenangan raya paling bermakna dalam hidup anak isteri,” katanya teruja.
Imej Rock
Berbalik pada cerita tentang perancangan kerjaya seninya selepas dibebaskan, Ameng sebenarnya telah mengambil langkah kanan kerana terus diberikan tawaran kerja selepas beberapa hari bebas daripada penjara.
Ameng bersyukur kerana isterinya, Sabariah setia menantinya dan tidak putus berdoa agar dirinya dibebaskan sepanjang menjalani hukuman penjara.
Bulan September ini akan menyaksikan Ameng bergabung suara bersama dua lagi rakan seangkatannya iaitu Zamani (Slam) dan Datuk Jamal Abdillah di pentas berprestij Istana Budaya menerusi Konsert 3 Suara.
Pertama kali diundang membuat persembahan di situ, Ameng pada mulanya menganggap tawaran itu sebagai satu jenaka apabila Jamal mengusulkan idea tersebut ketika melawatnya di penjara beberapa bulan lalu.
“Saya langsung tidak mengharap apa-apa ketika Jamal memberitahu saya tentang rancangannya kerana pada waktu itu, apa yang penting pada saya ialah dibebaskan dengan kesihatan baik.
“Namun dengan pengumuman yang dilakukan pada sidang media hari ini, saya cuma mampu mengucapkan syukur kerana Tuhan masih sayangkan saya untuk membuka pintu rezeki buat kami sekeluarga,” jelasnya lagi.
Berbicara lanjut tentang persediaan diri secara mental dan fizikal untuk konsert tersebut, Ameng berkata, dia cuma boleh berjanji melakukan yang terbaik dan berharap peminat menerimanya dengan hati terbuka.
Selain itu, bapa kepada tiga orang anak tersebut turut berkongsi hasrat mengubah sedikit haluan dalam bidang nyanyian dengan memfokuskan kepada lagu-lagu bersifat ketuhanan.
Walaupun sudah menetapkan keinginan begitu, Ameng akan mengekalkan imej rock seperti biasa kerana baginya, peminat sudah biasa dengan personaliti tersebut dan tiada kesalahan untuk kekal dengan identiti sendiri walaupun menyanyi lagu ketuhanan.
“Saya sudah berniat sebelum dibebaskan iaitu apa sahaja yang saya lakukan selepas ini, biarlah mendatangkan manfaat serta pahala kepada saya dan orang sekeliling.
“Namun, itu tidak bermakna saya akan berserban atau berjubah kerana apa yang penting bukan penampilan tetapi isi penyampaian persembahan dan lagu itu sendiri,” tuturnya lagi.