Nadira Adnan ingin lebih dikenali di Malaysia


Dilahirkan di Malaysia, namun berjaya melakar nama sebagai penyanyi popular di Indonesia barangkali merupakan satu pencapaian mengagumkan buat Nadira Adnan. Sejak lagu duet bersama penyanyi Al Ghazali, Cinta Datang Dan Pergi menjadi hit pada tahun lalu, nama Nadira semakin terpahat kukuh di persada industri seni negara seberang.

Berpeluang bertemu dengan anak kepada ahli politik tanah air, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada program amal di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Nadira atau nama sebenarnya, Tengku Nadira Munawarah Tengku Adnan, 19, kelihatan cukup manis dan santun mengatur bicara.

Walaupun dilahirkan dalam kalangan keluarga serba berkemampuan, ia bukan alasan mendabik dada dan tidak berusaha keras seperti orang lain.

“Ibu bapa saya kerap menitikberatkan usaha keras untuk mendapat apa diinginkan. Sejak kecil lagi saya dididik menjadi seorang yang berdikari.

“Kalau orang ingin kata saya sentiasa diberikan jalan mudah hanya kerana anak kepada seorang menteri, itu tidak adil. Saya juga seperti orang lain yang perlu bekerja keras dalam menggapai impian,” ujarnya yang dibesarkan di London.

Katanya, peluang menghabiskan masa bersama 250 orang penghuni pusat transit tersebut merupakan satu pengalaman membuka matanya sebagai seorang manusia yang penuh khilaf.

“Kadang-kadang kita berasa cukup susah hidup di dunia tetapi hakikatnya lebih ramai insan yang lebih tabah mengharungi kesukaran hidup tetapi mereka tidak pernah mengeluh dan terus berusaha,” ujarnya.


NADIRA Adnan giat mempromosi lagunya yang berjudul Sayang.

Promosi lagu Sayang

Sementara itu, diajak berbicara berhubung kerjaya sebagai seorang penyanyi, dia bersyukur kerana telah mendapat peluang yang luas bukan sahaja di Indonesia malah di negara sendiri, Malaysia.

“Alhamdulillah, di Indonesia kerjaya seni saya semakin berkembang. Membina nama di sana bukan mudah, ia memerlukan semangat juang yang tinggi.

“Selepas diberi peluang berduet bersama Al Ghazali dan Glenn Fredly (lagu Love Will Find A Way), rezeki saya semakin bertambah dalam bidang nyanyian serta orang mula mengenali diri saya,” luah Nadira yang merupakan pelajar jurusan perubatan sebuah universiti di Indonesia.

Ditanya usaha untuk terus memekarkan nama di Malaysia, dia sangat berharap dapat pulang lebih kerap serta membina nama yang lebih kuat di negara sendiri.

“Saya ke Malaysia kerana ingin mempromosikan lagu terbaharu berjudul Sayang yang dipetik daripada album sulung saya, Isi Hati.

“Mungkin selepas tamat belajar, saya akan lebih fokus untuk membina nama di Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post