Fathia Latiff teruja kedatangan Ramadan


SAAT jiwanya pegun beristiqamah menyarungkan hijab di kepala sekitar tiga bulan yang lalu, intuisi kecil Fathia Latiff lekas berbisik lembut, melayangkan keinginan untuk mengejar sebuah perjalanan hidup yang lebih lurus dan sempurna.

Meletakkan penghijrahan tersebut sebagai sebuah transisi hidup yang menjadikan dirinya sebagai individu yang lebih matang, wanita berusia 29 tahun itu juga nekad ingin memperbaiki diri dalam mencari keredaan dari Allah.

Justeru, kedatangan Ramadan yang hari pertama kalendarnya dibuka pada hari ini dianggap sebagai garis mula buat Fathia atau nama lengkapnya, Nur Fathia Abdul Latiff untuk menikmati sendiri kelebihan dan syafaat bulan suci itu untuk julung-julung kalinya.

Tanpa berselindung, si cantik bermata galak ini memberitahu selama ini dia hanya menganggap, Ramadan bukan bulan yang istimewa berbanding bulan-bulan lain.

“Sebelum ini, saya selalu sibuk di lokasi penggambaran. Jadi, saya hanya menganggap bulan Ramadan sebagai bulan yang biasa-biasa sahaja. Apa yang saya tahu saya akan berpuasa apabila tibanya tanggal 1 Ramadan. “Namun, pada tahun ini, entah mengapa perasaan saya sedikit berlainan. Walaupun masih berbaki beberapa hari sebelum tibanya Ramadan, jiwa saya bagaikan tidak sabar untuk merasai nikmat di bulan puasa,” ujar Fathia membuka bicara.

Menurut pelakon drama bersiri Dia... Isteri Luar Biasa itu, pengisian rohani pada bulan Ramadan kali ini mungkin lebih padat memandangkan tiada tawaran lakonan yang diterima sepanjang tempoh tersebut.

“Buat masa ini, saya hanya memberi fokus terhadap bidang perniagaan pakaian dan tudung, Dara By Fathia Latiff yang baru sahaja dilancarkan.

“Jadi, saya berharap dapat menggunakan masa yang ada untuk beribadat di samping menikmati kelebihan bulan Ramadan yang tidak pernah dirasai sebelum ini,” katanya yang bakal muncul dengan drama bersiri baharu, Rumi & Jawi selepas musim perayaan kelak.



Kenangan

Menelusuri rutin hariannya sebagai seorang muslimah yang baru sahaja menutup aurat, Fathia berkata, ada beberapa ketika minda kosongnya menerawang jauh, memutar kembali memori lama sebelum dia mengambil keputusan untuk berhijrah.

“Tipulah kalau saya tidak teringat perkara-perkara yang pernah saya buat sebelum ini. Dahulu, saya suka pakai seksi dan matlamat hidup sekadar apa yang terlintas di depan mata sahaja.

“Tetapi, apabila difikirkan semula, saya berasa sangat bersyukur kepada Allah kerana memberi saya hidayah sebelum saya tersasar jauh. Mengingat kembali fasa tersebut, sekurang-kurangnya ada kenangan yang boleh membuatkan saya tersenyum,” ujar Fathia yang tidak pernah menyesal dengan keputusannya itu.

Melihat perubahan tersebut pada landskap yang lebih besar, Fathia berkata, dia berasa bertuah kerana dikelilingi oleh kelompok individu yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepadanya.

“Saya bukanlah seorang muslimah yang seratus peratus sempurna. Banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki.

“Sebab itu saya berasa sangat bahagia kerana dikelilingi oleh keluarga dan sahabat yang banyak membantu. Malah, saya juga kerap menerima pandangan daripada beberapa orang ustaz apabila kurang memahami mengenai sesuatu perkara mengenai ilmu agama,” katanya.


RAMADAN. Fathia tidak mengambil tawaran bekerja sepanjang Ramadan ini untuk memberi ruang kepada dirinya mengisi rohani dengan penghayatan bulan mulia ini.

Rezeki

Melanjutkan bicara mengenai kelangsungan kariernya, Fathia berkata, biarpun sudah mengenakan tudung dan mengubah penampilan secara total, dia masih menerima tawaran untuk bergelar duta dan mewakili beberapa jenama produk tempatan dan antarabangsa.

“Alhamdulillah, kontrak saya bersama Avon telah disambung, begitu juga dengan minuman kecantikan K Colly dan Pizza Hut. Biarpun ada beberapa tawaran lakonan terpaksa ditolak kerana watak yang tidak sesuai, namun, saya dikurniakan rezeki dalam bentuk yang berlainan.

“Saya percaya, jika kita ikhlas dan reda dengan apa yang dilakukan, Insya-Allah banyak perkara baik yang akan dibalas oleh-Nya,” ujar Fathia positif.

Terlanjur berbicara mengenai rezeki, Fathia turut meluncurkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk melancarkan jenama pakaian dan tudungnya sendiri, Dara by Fathia Latiff baru-baru ini.

Kata Fathia, niat untuk berniaga telah lama tercetus dalam diri dan dia berasa sungguh gembira kerana impiannya untuk menguruskan label fesyen selama ini telah menjadi kenyataan.

“Sejak dahulu lagi, saya kerap bergaul dengan ramai pereka fesyen. Pada masa yang sama, saya turut berminat dalam bidang penggayaan.

“Jadi, dengan pengalaman yang ada, saya memberanikan diri untuk terjun dalam bidang fesyen. Nampaknya, usaha saya membuahkan hasil apabila melihat kelahiran label sulung saya, Dara by Fathia Latiff,” katanya yang melancarkan koleksi tersebut di Glasshouse, Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sedar bahawa ramai yang akan mempertikaikan keputusannya mengenakan tudung hanya kerana bisnes, Fathia sedia menepis kritikan tersebut dengan jiwa yang terbuka.


BELUM SEMPURNA. Walaupun kini sudah berhijab, Fathia mengaku kehidupannya belum sempurna kerana masih banyak ilmu agama yang perlu dipelajarinya.

“Pada awalnya, saya agak ragu-ragu untuk mengeluarkan koleksi tudung. Saya percaya, pasti orang akan bercakap mengenainya.

“Namun, perniagaan tudung merupakan satu perkara yang baik. Jika ia tidak salah di sisi Allah, mengapa saya mahu rasa serba salah? Jadi, saya bulatkan hati untuk turut melancarkan koleksi tudung bersama busana Aidilfitri tempoh hari,” kata Fathia yang turut terlibat sepenuhnya dalam proses pemilihan fabrik dan rekaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah bisnes pakaian dan hijabnya bergerak atas statusnya sebagai seorang selebriti, Fathia menjawab: “Saya akui, bergelar selebriti memberi manfaat kepada bisnes yang dijalankan oleh artis. Itu realiti yang perlu dihadam.

“Jadi, saya guna platform ini untuk berkongsi cita rasa fesyen dan memahami kehendak peminat yang menginginkan stail berbeza dan unik,” ungkap Fathia.

Menyedari hakikat bahawa perniagaannya baru sahaja berkembang, Fathia berkata, dia mengambil pendekatan berehat seketika daripada bidang lakonan bagi memberi sepenuh perhatian terhadap koleksi baharu rekaannya.

“Saya masih bertatih dalam bidang perniagaan. Jadi, saya memerlukan fokus yang penuh terhadap produk yang dikeluarkan.

“Bukan mahu terus menyepikan diri daripada bidang lakonan. Cuma, saya akan mempertimbangkan jika ada tawaran yang menarik dengan mesej yang bagus,” tutup Fathia.

Post a Comment

Previous Post Next Post