Salam Dhuha bersama Nurul Syuhada


Nurul Syuhada Nurul Ain kembali mengacara sebuah program islamik, Salam Dhuha.

SELEPAS dua tahun berehat daripada kerja penyiaran demi memberi fokus terhadap keluarga, pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zain, 32, kini kembali ke kaca televisyen bersama program Salam Dhuha yang akan bersiaran sepanjang bulan Ramadan ini di Astro Oasis.

Menurut Nurul Syuhada yang ditemui pada majlis pra-tonton program Ramadan Astro 2016 di Grand Duchess, Kuala Lumpur baru-baru ini, keputusannya untuk kembali bekerja selepas dua tahun adalah disebabkan tarikan program itu sendiri. Selain itu, kelonggaran masa oleh pihak produksi yang tidak mengganggu tanggungjawab serta tugas sebagai ibu kepada dua orang anak kembar, Raja Abdul Mateen dan Raja Nour Emaan, setahun lapan bulan, menyebabkannya tidak dapat menolak tawaran tersebut.

Bagaimanapun tegas Nurul Syuhada yang juga isteri kepada Raja Amir Syah Raja Azwa, sejak 2011, dia tidak berniat untuk kembali aktif mengacarakan program seperti dahulu sebaliknya menerima tawaran sesuai dengan jadual waktunya sahaja.

Biarpun begitu, Nurul Syuhada teruja dan tidak sabar untuk menanti respons khalayak terhadap kemunculan semulanya dalam dunia penyiaran.

Kosmo!: Apakah yang menyebabkan Nurul Syuhada menghilang daripada dunia penyiaran sepanjang dua tahun?

Nurul Syuhada: Saya tidak menghilang ke mana-mana, sebaliknya sibuk menguruskan keluarga sahaja. Tambahan, sekarang saya merupakan ibu kepada dua orang anak kembar Raja Abdul Mateen dan Raja Nour Emaan, setahun lapan bulan, oleh itu fokus hanya diberikan kepada mereka. Saya bukan bersara, tetapi tidak aktif sahaja.

Mengapakah selepas dua tahun anda membuat keputusan untuk kembali ke kaca televisyen?

Sebenarnya, saya merupakan suri rumah sepenuh masa, itu kehendak diri dan juga suami. Namun, sekarang anak sudah besar sedikit dan tawaran yang hadir sukar untuk ditolak memandangkan ia tidak menuntut yang lama di set penggambaran. Jadi, apa salahnya ambil masa seminggu sekali untuk bekerja dan selebihnya saya akan bersama anak-anak seperti biasa. Suami memberi keizinan asalkan saya tahu membahagikan masa.


MELAHIRKAN sepasang kembar lebih setahun lapan bulan lalu, Nurul Syuhada seronok menguruskan Raja Abdul Mateen dan Raja Nour Emaan.

Apakah perasaan anda apabila kembali mengacarakan program televisyen?

Sudah tentu seronok. Bohonglah jika saya kata tidak rindu dengan kerja yang diminati. Kali terakhir saya muncul di televisyen adalah untuk program Malaysia Hari Ini pada 2014. Bagaimanapun dalam masa yang sama, bimbang juga adakah saya dapat beri momentum kerja seperti dahulu? Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar, saya juga bersyukur dikurniakan pihak produksi yang amat memahami jadual waktu seorang ibu. Namun, saya tidak akan aktif seperti dahulu. Jika tawaran yang datang tidak menuntut masa lama, ia akan dipertimbangkan kerana fokus saya lebih kepada keluarga.

Boleh kongsikan pengalaman anda bergelar ibu kepada dua anak kembar?

Seronok sangat menjadi ibu kepada sepasang anak kembar. Walaupun penat, tetapi saya bersyukur kerana dapat melihat mereka berdua membesar di depan mata. Saya tidak menyesal dengan pilihan untuk berehat seketika daripada dunia penyiaran. Bagi saya, paling penting sebagai ibu adalah tidak tertinggal saat istimewa bersama anak seperti perkataan dan langkah pertamanya.

Bagaimanakah perkembangan kerjaya anda kebelakangan ini?

Selepas ramai yang tahu saya boleh kembali bekerja, tawaran lebih banyak. Namun, sekarang saya merupakan pengacara bebas yang tidak terikat dengan mana-mana stesen televisyen. Setakat ini saya hanya terikat dengan program Salam Dhuha.

Apakah yang menarik tentang program Salam Dhuha?

Salam Dhuha merupakan program bual bicara yang mengupas pelbagai topik tentang agama Islam serata dunia. Ia juga memberi informasi dan aktiviti komuniti Islam di Malaysia dan luar negara. Bagi saya program ini penuh ilmu, tetapi ia diolah untuk tidak terlalu serius. Diharap penonton akan memberi sokongan dan tidak lupa menonton Salam Dhuha di Astro Oasis setiap Sabtu serta Ahad pada pukul 8 pagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post