Alternatif Zikir Harian PU Lokman


Dengan penghasilan album Zikir Harian PU Lokman, dia menjadi satusatunya bekas peserta program realiti Pencetus Ummah yang mempunyai album zikir.

BERTUAHNYA menjadi alumni program realiti Pencetus Ummah (PU) musim kedua bernama Mohd. Lokman Ahmad atau lebih dikenali sebagai PU Lokman, meskipun tidak dijulang sebagai juara, dia kini telah berjaya melahirkan album kerohanian, Zikir Harian.

Mengandungi tujuh buah zikir harian daripada hari Isnin hingga Ahad dan sebuah lagu bonus bertajuk Zikrullah ciptaan Salleh Brothers, Lokman, 31, bersyukur kerana diberi kepercayaan melahirkan album yang memuatkan koleksi zikir harian yang dikarang Imam Al Ghazali.

“Alhamdulillah. Ini merupakan percubaan pertama saya melahirkan album. Tujuan saya bikin album ini bukan untuk mencari populariti, sebaliknya ingin berkongsi keindahan zikir yang boleh diamalkan oleh setiap Muslim.

“Saya berharap, dengan penghasilan album ini dapat mendidik masyarakat Muslim terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak yang hidup pada zaman yang serba moden dan penuh cabaran,” ujarnya pada sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini.

Masih lagi sibuk dengan undangan ceramah motivasi, Lokman berkata, percubaan album berbentuk kerohanian ini bukanlah didorongi niat untuk bergelar penyanyi komersial.

Tercapai

“Ini juga adalah merupakan satu medan dakwah buat saya. Saya percaya, dengan kesungguhan berdakwah dalam apa bentuk positif sekali pun, ia akan memberi manfaat kepada saya dan juga masyarakat muslim seluruh dunia.

“Saya sekadar mengisi kekosongan dan tiada niat untuk bergelar penyanyi komersial. Ini adalah alternatif yang saya salurkan kepada saudara muslim lain untuk memperbanyak amalan dalam kehidupan seharian,” kongsinya bersungguh-sungguh.

Diajak bercerita lanjut mengenai album terbitan Music Space Sdn. Bhd. itu, Lokman berkata, dia sememangnya bercita-cita ingin memiliki sebuah album zikir sejak di bangku sekolah lagi.

“Di sekolah dahulu, saya banyak terlibat dengan pertandingan aktiviti keagamaan seperti nasyid. Apabila terpilih menyertai PU, hasrat saya untuk melahirkan album yang mengandungi lagu zikir semakin membuak-buak.

“Awal tahun lalu, saya mula bekerja keras untuk menghasilkan album ini. Walaupun sibuk dengan majlis keagamaan, syukur kerana akhirnya saya dapat berkongsi dengan rakan Muslim lain dengan penghasilan album ini,” jelas Lokman yang merupakan anak jati kelahiran Raub, Pahang.

Ditebak pertanyaan bagaimana bekas pelajar Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah itu membahagikan masa di antara kerjaya tetapnya di Jabatan Agama Islam Pahang dengan komitmennya sebagai seorang pendakwah, Lokman amat bersyukur kerana setakat ini mampu menguruskannya dengan baik.

“Majikan saya sangat memahami. Kalau saya ada undangan menghadiri majlis ilmu di Kuala Lumpur, saya diberi pelepasan kerana jadual saya telah disusun dengan baik.

“Misalnya, jika saya tidak dapat memberi komitmen terhadap sesuatu majlis, saya akan menolak supaya ia tidak menimbulkan kesusahan kepada pihak lain,” getus Lokman.

Diajak bercerita tentang perkembangan terbaharu, Lokman memberitahu bahawa dia sedang dalam proses merakamkan single bercorak kerohanian.

“Lagu sudah ada. Cuma, buat masa sekarang masih sedang mencari penyanyi lelaki yang sesuai untuk berduet dalam dengan saya dalam lagu ini,” kongsinya ringkas.

Post a Comment

Previous Post Next Post