Tangisan Elizad, emosi berbahagi Sherry, Arja


POSITIF - Antara drama lakonan dan lantunan vokal nyanyian, Elizad, Sherry dan Arja menjadi antara produk terbaik yang dibentuk program Gempak Superstar. Biarpun dikecam dengan banyak kritikan negatif mereka terus positif menyahut cabaran sehingga menamatkan perjuangan.

BUKAN sedikit kritikan yang dilemparkan terhadap program realiti muzikal, Gempak Superstar sewaktu ia mula disiarkan buat kali yang pertama sekitar dua bulan lalu.

Dilabel umum sebagai program hiburan cacamarba dengan konsep asas yang lemah, Gempak Superstar juga turut dijadikan bahan jenaka umum, khususnya dalam kalangan penonton yang kurang berpuas hati dengan potensi peserta terlibat.

Tidak terhenti di situ, barisan juri profesional juga tidak putus-putus memberikan kritikan negatif terhadap persembahan peserta saban minggu.

Ada sahaja yang kurang daripada sudut pandang profesionalisme penjurian, agar program yang menggabungkan lakonan dan nyanyian terbitan Astro tersebut menepati piawaian dan jangkaan peminat.

Namun pada hujung siaran, rata-rata penonton pasti bersetuju jika Gempak Superstar dilihat lebih banyak drama berbanding nyanyian, di depan penonton mahupun di belakang pentas.

Selama bersiaran juga, ada sahaja drama dan tangisan berlaku di belakang tabir, namun ia tidak disiarkan kepada umum.

Seiring populariti dan penangan kritikan yang diterima, pertandingan Gempak Superstar, hujung lalu bagaimanapun masih menarik perhatian umum.

Semangat yang ada pada lima finalis masih membara dan mereka berjuang seperti bermati-matian untuk merebut gelaran juara.

Gempak Superstar telah menobatkan juara pertamanya, iaitu pelakon Siti Elizad pada konsert akhir program tersebut yang berlangsung di Studio Pinewood Iskandar, Nusajaya, Johor Bahru pada Ahad lalu.

Kemenangan Elizad pada malam tersebut sekaligus menewaskan pencabar terdekatnya, Sherry Ibrahim, Arja Lee, Soffi Jikan dan Nazim Othman.

Mengakui tidak meletakkan sebarang harapan untuk menjuarai pertandingan tersebut, Elizad berkata, matlamat utamanya menyertai Gempak Superstar adalah untuk mengasah bakat dalam bidang lakonan.

“Pada awalnya, saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang. Lebih-lebih lagi dengan potensi saya yang kurang memberangsangkan dalam bidang nyanyian. Namun, saya menerima cabaran yang diberikan kerana itu merupakan satu-satunya cara memperbaiki kemahiran lakonan.

“Program ini menuntut saya menyanyi dan berlakon dengan baik, tetapi matlamat saya hanyalah satu iaitu menjadi seorang pelakon yang matang dan berilmu,” katanya yang menekankan persembahan lakonan pada setiap tugasan mingguan.

Membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi, Elizad atau nama lengkapnya, Siti Elizad Mohd. Sharifuddin, 32, melantunkan dua buah lagu, iaitu Makhluk Tuhan Paling Seksi nyanyian asal Mulan Jameela dan Ketulusan Hati (Anuar Zain).

Mengimbau kembali nuansa persembahannya pada malam tersebut, pelakon yang popular dengan drama bersiri Teman Lelaki Upahan itu mendedikasikan lagu kedua, Ketulusan Hati khas untuk ibunya, Nazariah Mohd. Salleh yang telah dijemput Ilahi tiga tahun lalu akibat penyakit Parkinson.

Menurut Elizad, arwah ibunya merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkannya kepada dunia lakonan.

“Kemenangan saya ini adalah hadiah yang paling bermakna buat arwah ibu. Walaupun ibu sudah tiada, impiannya untuk melihat saya berjaya kini termakbul,” katanya.

Ditanya apakah yang ingin dilakukan dengan wang kemenangan tersebut, Elizad berkata: “Saya merancang untuk gunakan wang tersebut bagi mengubati penyakit mata yang dideritai ayah saya.

“Sudah lama saya berusaha untuk mengubati penyakitnya itu, tetapi tidak berhasil. Saya berharap ayah saya akan sembuh dan mampu melihat seperti sediakala.”

Platform nyanyian

Pemenang tempat kedua, Sherry Ibrahim pula berkata, kemenangan dalam Gempak Superstar dianggap sebagai batu loncatan untuk melebarkan sayapnya sebagai penyanyi profesional.

“Sudah lama saya menyimpan cita-cita untuk bergelar penyanyi, namun disebabkan rasa kurang yakin dan gugup yang sering menghantui, saya terpaksa melupakan hasrat tersebut.

“Namun, selepas enam minggu berada dalam Gempak Superstar, saya mula sedar tentang kebolehan dan bakat yang ada. Justeru, saya memang berhasrat untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap muzik dan melahirkan single dalam masa terdekat,” ujar Sherry, 33, yang turut menyimpan impian merakamkan lagu dalam bahasa Mandarin dan Kantonis.

Bercakap mengenai lonjakan prestasinya yang tidak seiring dengan undian peminat sepanjang program tersebut, Sherry yang membawa pulang wang tunai RM25,000 berserta trofi berkata, situasi tersebut merupakan rezeki yang telah ditetapkan Allah.

Ujar pelakon drama Keluarga Karaoke itu, setiap peserta mempunyai kelebihan dan kekurangan, dan dia telah cuba memenuhi tugasan pada minggu akhir program tersebut sebaik mungkin.

“Undian penonton tidak boleh diduga. Saya cuma persembahan terbaik dan bersaing secara sihat dengan peserta lain,” jelasnya yang membawakan lagu Janji Manismu nyanyian asal Aishah dan Tak Ada Logika (Agnes Monica).

Lancar single

Pelakon Arja Lee, 33, pula menyifatkan kejayaannya merangkul tempat ketiga dalam Gempak Superstar akan sedikit sebanyak membuka lebih ruang untuk mengekalkan kelangsungan kariernya sebagai penyanyi.

“Saya baru sahaja menerbitkan single berjudul Bintang Malam, namun belum berkesempatan untuk melancarkan lagu tersebut kerana mahu memberi laluan terhadap Gempak Superstar.

“Jadi sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya kembali mempromosikan single tersebut kepada peminat,” katanya yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000 dan trofi.

Mengulas mengenai pencapaiannya sebagai seorang penyanyi, pelakon filem …Dalam Botol itu bertegas mahu dikenali sebagai insan seni yang tidak pernah mengabaikan kualiti dalam setiap karya.

“Menjadi selebriti itu mudah, tetapi mengekalkan kualiti sememangnya sukar. Biarlah tidak terlalu popular, asalkan kredibiliti sebagai insan seni sentiasa terpelihara,” katanya yang akan muncul dalam program berbentuk travelog tidak lama lagi.

Selain Elizad, Sherry dan Arja, pelakon Soffi Jikan yang mempamerkan persembahan bertenaga turut meraih tempat keempat, manakala Nazim Othman terpaksa akur di tempat kelima.

Soffi dan Nazim masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi. Terdahulu, Sherry turut menerima anugerah Terlajak Gempak Superstar.

Diacarakan oleh Scha Alyahya dan Sharnaaz Ahmad, peserta Gempak Superstar diadili oleh juri profesional yang terdiri daripada Fauziah Ahmad Daud, Amy Mastura dan Datuk Yusof Haslam.

Sistem penjurian pada malam kemuncak diwakili 50 peratus undian penonton dan 50 peratus markah daripada pihak juri.

Malam kemuncak Gempak Superstar turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis jemputan seperti Amy Search, Projector Band dan Azlan & The Typewriter.

Post a Comment

Previous Post Next Post