Radhi (depan, kanan) dan anggota OAG, Lam (dua dari kanan) bersama Ahmad Izham Omar (kiri), penulis buku, M. Zulkifli dan Paul Moss menunjukkan buku bertajuk The OAG: How 60’s TV Changed The 90’s yang dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016.
Kumpulan Old Automatic Garbage atau OAG yang popular dengan lagu berhantu seperti 60’s TV dan Selamba bakal menggembirakan peminat mereka apabila mendedahkan perancangan untuk menjayakan sebuah konsert reunion berskala besar pada tahun depan.
Lebih istimewa, konsert reunion sempena ulang tahun ke-25 penubuhan OAG itu bakal disertai anggota asal OAG iaitu Radhi (vokalis), Qi Razali (dram), Lam (bass) dan Ivan (gitar).
Menurut Radhi, dia cukup teruja dengan perancangan tersebut selepas kali terakhir mereka berkumpul dan berkongsi pentas 24 tahun lalu.
Perjumpaan semula mereka pada Februari lalu menjadi titik tolak kepada perancangan konsert berkenaan.
“Band OAG tidak pernah berpecah. Kami cuma berganti ahli setiap album. Sejarah OAG cukup panjang dan anggotanya juga ramai, namun perancangan konsert reunion ini merupakan suatu sejarah bukan buat saya seorang tetapi juga peminat OAG.
“Sebenarnya perkara ini sudah dirancang sekitar tiga tahun lalu, namun kerana komitmen kerja masing-masing terutama Ivan yang kini bergelar doktor di Scotland, menjadikan ia tergendala.
“Perancangan ini semakin jelas apabila kami berkumpul dan membuat latihan pada sambutan Tahun Baru Cina tempoh hari,” jelas Radhi.
Berkemungkinan besar, pada konsert reunion kelak OAG akan mendendangkan dua buah lagu lama yang tidak pernah dirakamkan. Atas alasan tersebut, mereka memerlukan masa setahun untuk membuat persediaan.
“Sewaktu kami buat latihan tempoh hari, aura dan semangat OAG masih utuh. Walaupun sudah terlalu lama tidak bermain muzik, kami masih seperti dahulu. Cuma vokal saya sudah tidak seperti zaman muda (ketawa),” kata Radhi yang ditemui pada majlis pelancaran buku The OAG: How 60’s TV Changed The 90’s di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang berlangsung di Serdang, Selangor.
Dalam pada itu, Lam yang turut berada di majlis berkenaan meluahkan perasaan debar untuk kembali beraksi bersama OAG.
Lam yang meninggalkan OAG kerana menyambung pelajaran ke Australia itu menjelaskan, meskipun sudah tidak bersama band berkenaan, namun minat terhadap muzik tidak pernah pudar dari jiwa.
Demi kecintaan tersebut, dia memberikan persetujuan apabila perancangan konsert reunion OAG dirancangkan.
“Saya kini bekerja dalam bidang pengiklanan. Walaupun sudah lama tidak naik pentas sebagai anggota OAG tetapi saya masih aktif bermain muzik sekadar hobi.
“Saya sayangkan band ini, banyak pahit manis diharungi bersama dan gembira masih bertahan bersama Radhi,” kata Lam yang kini giat berlatih untuk mempertingkatkan kemahirannya bermain gitar.
Buku OAG
Justeru, pelancaran buku The OAG: How 60’s TV Changed The 90’s merupakan salah satu perancangan awal untuk mengubati kerinduan peminat sebelum berlangsungnya konsert reunion OAG pada tahun depan.
“Peminat juga boleh mendapatkan perkembangan aktiviti reunion kami di laman sosial Facebook dan Instagram menerusi akaun @oagreunion,” tutur Radhi yang menyimpan impian menjadikan OAG seperti kumpulan Wings dan Search.
Bercakap tentang buku tulisan M. Zulkifli Abdul Jalil itu, Radhi menyerahkan semua tanggungjawab dan perjalanan cerita kisah pertama mereka yang dibukukan tersebut di tangan penulis.
Buku terbitan Merpati Jingga itu yang mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan, menceritakan sejarah permulaan OAG sehingga mereka berjaya melakar sejarah dalam dunia muzik tempatan.
“Buku ini sangat istimewa kerana ia menceritakan kisah kami yang ketika itu berusia 16 tahun. Pahit manis sebelum berjaya mendapatkan kontrak rakaman ditulis di dalam buku ini. Jika mendapat sambutan, jilid kedua yang disertakan cakera padat bakal menyusul,” katanya.