Awie bersama dua daripada lima orang anaknya, Puteri Aleefa Antasha (kiri) dan Putera Ahmad Merrah.
Kemelut rumah tangga yang tidak berkesudahan antara vokalis kumpulan Wings, Awie dengan isterinya, Rozana Misbun sepertinya sedang menghampiri jalan penyelesaian.
Dalam perkembangan terbaharu, Awie atau Ahmad Azhar Othman, sudah pun membuat pengakuan bersalah atas tindakannya mencederakan Rozana seperti yang dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter Permodalan Nasional Berhad, Jalan Tun Razak pada 2 Jun 2014.
Sebagai hukuman, pelantun lagu Sejati itu didenda maksimum RM2,000 atau penjara setahun oleh mahkamah jika gagal membayar wang tersebut.
Tidak terhenti di situ, Awie sebenarnya berdepan banyak lagi tuntutan termasuk saman malu yang bakal difailkan Rozana. Sebagaimana Awie yang dikenali umum, lelaki berusia 48 tahun itu tidak akan berundur sebelum berjuang.
“Silakan, saya bersedia dan mahu melihat sejauh mana kes itu akan berterusan,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelepasan konvoi program Bikers Unite For Charity ke Pantai Timur, Khamis lalu.
Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Majistret Ampang melepaskan dan membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang selepas pasangan itu bersetuju kes tersebut diselesaikan secara baik dengan membayar kompaun RM10,000 dan permohonan maaf secara terbuka daripada pihak Awie.
KOSMO!: Apakah yang membuat anda membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan mencederakan Rozana dua tahun lalu?
AWIE: Saya bukan seorang yang pengecut, sudah jelas terpampang di dalam rakaman CCTV menunjukkan saya menunjal kepalanya. Jadi, apa yang saya boleh saya lakukan ialah mengaku itu memang salah saya. Tindakan saya itu sebenarnya respons semula jadi kerana saya sedang marah apabila wang simpanan saya habis dibelanjakan oleh Rozana.
Bagaimana pula perasaan perbicaraan kes saman pukul tersebut telah selesai?
Alhamdulillah, saya lega. Sekarang saya hanya mahu fokus kepada kes perbicaraan tuntutan hak penjagaan anak-anak iaitu Putera Ahmad Merrah, 9, Putera Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qaseh Antasha, 6. Kes ini sendiri mengandungi enam saman berbeza daripada pihak Rozana. Jadi, saya sendiri tidak tahu bilakah ia akan selesai.
Tidakkah anda berasa penat turun naik mahkamah setelah hampir dua tahun kes anda dan Rozana dibicarakan?
Penat dan lelah itu memang tidak dapat dinafikan kerana jadual kerja saya terutama kalau berkaitan penggambaran, tidak mengira masa. Malah, sewaktu perbicaraan kes pukul baru-baru ini, saya beberapa kali terpaksa berulang alik dari Phuket, Thailand ke Kuala Lumpur kerana sedang menjalani penggambaran filem Bikers Kental 2 di sana.
Apakah yang membuat anda terus menggagahkan diri meneruskan kes perbicaraan di mahkamah?
Pastinya demi perjuangan agar hak penjagaan anak-anak diberikan kepada saya. Saya hanya mahu anak-anak kembali ke dalam dakapan saya. Sekarang, hanya Merrah yang di bawah jagaan saya. Tahun ini (2016) menandakan sudah dua tahun saya tidak berjumpa Rezzki dan Qaseh dan cuma mampu sesekali mendengar suara mereka menerusi telefon.
Di sebalik kekalutan yang berlaku dalam hidup anda, apakah ada sebarang hikmah tersembunyi yang ditemui?
Ya, rezeki saya dalam dunia seni tidak putus-putus walaupun dalam keadaan kehidupan peribadi masih bergolak. Baru-baru ini, Wings berjaya merangkul Artis Duo/Berkumpulan Popular dalam Anugerah Bintang Popular (ABP 2015).
Bagi saya, itu satu kemenangan yang sudah lama tidak kami rasai. Saya berasa bangga kerana Wings masih mampu menarik minat anak-anak muda terutama selepas kejayaan Konsert Wings 30 Tahun, penghujung tahun lalu.
Pada pendapat anda, adakah populariti anda sebagai individu mempengaruhi kemenangan Wings?
Itu adalah kejayaan kami bersama. Wings dan Awie saling memerlukan. Jika benar anggapan peminat bahawa populariti saya menyumbang kepada populariti Wings, itu bukan satu masalah kerana pada akhirnya saya masih ahli Wings.
Bagaimana dengan perkembangan program Bikers Unite For Charity yang melibatkan komitmen anda selaku duta?
Semuanya lancar dan kami sedang dalam usaha mengumpul dana untuk mencapai sasaran RM200,000. Dua minggu lalu, kami mengadakan projek konvoi ke Pantai Timur sehingga menyeberangi Sungai Golok, Thailand. Secara kebetulan, Wings dijemput mengadakan persembahan di sana dan sambutan yang diterima amat mengalakkan.