Slam kembali selepas dua dekad


ZAMANI dan rakan-rakan terharu dengan penerimaan peminat terhadap mereka selama ini.

TAHUN ini sememangnya bakal memberi satu lagi kenangan manis bukan sahaja kepada kumpulan muzik yang popular sekitar tahun 1990-an tetapi juga kepada peminat-peminat yang dambakan persembahan mereka selama ini.

Mana tidaknya, kali terakhir Slam membuat konsert pada skala besar adalah pada tahun 1996 yang diadakan di Stadium Negara. Sehinggalah ke hari ini, selepas dua dekad lamanya, mereka akan muncul sekali lagi mengadakan sebuah konsert mega yang diberi nama Konsert Kurnia Slam tidak lama lagi.

Secara tidak langsung, ia menjadi buah tangan paling indah buat peminat yang menanti kehadiran mereka membuaikan lagu-lagu hit seperti Gerimis Mengundang, Tak Mungkin Berpaling dan Kembali Merindu.

“Kalau ikutkan, sebelum ini pernah kami buat konsert kedua di Singapura iaitu Konsert Slam Kembali Merindu pada tahun 2012 tetapi jika di sini, inilah merupakan yang kedua dalam skala besar.

“Kami sendiri berasa cukup teruja untuk bertemu secara dekat lagi dengan peminat-peminat yang selama ini memberi sokongan kepada kami,” kongsi Zamani selaku vokalis ketika ditemui Sensasi Bintang sewaktu sesi fotografi yang berlangsung di Hotel Vistana, Kuala Lumpur baru-baru-baru ini.



Bercakap mengenai konsert itu nanti, Slam bakal mendendangkan lebih 20 buah lagu yang diberi sentuhan nafas baharu khas buat peminat-peminat yang hadir nanti.

“Persembahan akan mengambil masa lebih kurang dua jam. Hari itu nanti, kami akan bawakan lagu-lagu hit yang memang cukup sinonim dengan Slam. Bahkan, akan ada juga susunan muzik yang baharu,” katanya yang memberitahu konsert itu bakal diadakan di Star Expo Centre, Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur pada 14 Mei ini.

Bercakap mengenai persediaannya, menurut Zamani, sesi latihan sudah dijalankan sejak berbulan lamanya. Sehingga kini, sudah lebih 70 peratus persiapan dibuat sebelum kira-kira-enam hari lagi konsert berlangsung.

“Cara saya menyanyi mungkin sudah tidak sama seperti sewaktu saya mula-mula menyanyi dahulu. Ada sedikit berbeza. Bagaimanapun, pada saya itu tidak menjadi masalah. Maklumlah faktor usia. Apapun, kami perlu mantapkan dari aspek stamina diri,” kongsinya yang turut mengundang penyanyi Hazama dan Ronnie Hussein untuk membuat persembahan.

Harga tiket menyaksikan konsert itu dijual antara RM88 sehingga RM399. Ia boleh didapati secara dalam talian menerusi www.ticketpro.com.my atau menghubungi talian 03-7880 7999.

Post a Comment

Previous Post Next Post