Saharul Ridzwan mengaku bakal kahwin


Selepas Hafidz Roshdi, pelakon kacak, Saharul Ridzwan pula mengambil langkah yang serupa iaitu menamatkan zaman bujang dengan kekasih hatinya, seorang ahli perniagaan.

Pelakon popular drama Hati Perempuan itu mengambil keputusan berkahwin pada tahun ini selepas mengerjakan umrah dan berdoa di depan Kaabah pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Saharul yang mempunyai seramai 1.2 juta pengikut di Instagram itu belum bersedia mengumumkan tarikh perkahwinannya buat masa ini.

“Saya ada berdoa untuk saya dan juga dirinya (kekasih) di depan Kaabah ketika menunaikan umrah pada bulan Ramadan tahun lalu. Usai balik daripada umrah hati saya terdetik untuk berkahwin pada tahun ini.

“Bagaimanapun tempat dan tarikh perkahwinan masih dalam perancangan. Sebab kita tidak tahu perancangan Allah. Insya-Allah, saya akan beritahu bila tiba masa nanti,” ujarnya kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi baru-baru ini.

Disoal mengenai wanita yang berjaya mengetuk pintu hatinya itu, kata pelakon berusia 27 tahun itu, dia merupakan kenalan lama dan hubungan mereka pernah terputus kira-kira empat tahun lalu.


Pelakon ini masih berteka-teki dengan peminat tentang kekasih hatinya.

“Saya mengenalinya sebelum masuk dalam industri lakonan lagi tetapi hubungan kami terputus di tengah jalan. Kami bertemu semula selepas empat tahun berpisah. Ingin saya nyatakan, punca kami berpisah sebelum ini bukan sebab bergaduh tetapi masing-masing belum bersedia.

“Pada masa sama, saya mahu memiliki rumah dan kereta terlebih dulu sebelum menyara anak orang,” jelasnya yang enggan mendedahkan siapakah gerangan kekasihnya.



Tidak mahu menyatakan nama, umur mahupun tempat kelahiran kekasihnya, namun kongsi Saharul, kekasihnya itu merupakan seorang ahli perniagaan.

“Dia seorang ahli perniagaan. Orang mana dan umur nanti saya beritahu. Mungkin ada yang dapat meneka siapa orangnya. Saya juga tidak dapat menghalang mereka untuk meneka siapa gerangannya,” luah Saharul yang sebelum ini pernah digosipkan dengan pemilik perniagaan online @wrap.boutique.house iaitu Deena Emir.

Biar namanya kini berada di puncak carta peminat, namun bagi Saharul dia sudah bersedia melangkah ke alam perkahwinan.

Sebelum ini, pemilik nama sebenar Mohd. Saharul Ridzwan Hashim itu pernah digosipkan bercinta dengan Mia Ahmad.

Bagaimanapun, Mia Ahmad yang kini sedang hangat dengan drama Mr. Boss Miss Stalker dilaporkan sedang berkawan rapat dengan penjaga gol pasukan bola sepak, Johor Darul Ta’zim iaitu Mohd. Izham Tarmizi Roslan.

Post a Comment

Previous Post Next Post