MALAM Sabtu lalu, Starxpo Centre Kenanga Wholesale City (KWC), Kuala Lumpur menjadi saksi seramai 6,000 penonton yang hadir bagi menyaksikan Konsert Kurnia Slam yang berlangsung di situ.
Suasana gamat dan cukup meriah dengan kehadiran peminat setia kumpulan yang ditubuhkan sejak tahun 1993 itu dan menjadi bukti bahawa mereka masih relevan sebagai sebuah kumpulan balada popular biar arus peredaran zaman hampir menenggelamkan mereka.
Di luar tapak konsert, hujan lebat membasahi bumi. Entah itu petanda alam sedang meraikan Slam yang terkenal dengan hit Gerimis Mengundang atau memang hukum alam. Di sebalik lebatnya hujan, di dalam tapak konsert, lain ceritanya. Tepat 9 malam, lampu pentas dipadamkan. Ia memberi tanda bahawa persembahan akan bermula dan penonton mula berteriak gembira menanti kelibat kumpulan kesayangan mereka di atas pentas.
Ketua kumpulan, Shah yang juga bertindak selaku pengarah muzik untuk konsert itu mula memetik gitar diikuti dengan ahli lain seperti Eddie (keyboard), Lily (bass), Ajak (gitar kedua) dan Man (dram) bagi membuka tirai sebelum Zamani muncul di atas pentas lalu membuatkan adrenalin penonton semakin memuncak.
Ironi, Zamani adalah seorang penyanyi lelaki yang polos dan tidak pernah berlebihan dalam soal penampilan imej. Satu-satunya signitur Zamani yang kini berusia 44 tahun itu adalah tampil dengan kaca mata hitam, yang dalam bicaranya, beliau memberitahu kaca mata hitam adalah ‘tembok’ yang membantu beliau yakin diri. Selainnya, penyanyi itu menggoda dan menakluk peminatnya dengan vokal mantap dan mendayu dengan baik.
Lantas apabila Zamani membuka panggung dengan Sinar Menunggu dan Biarkannya sebelum diteruskan dengan lagu Maria Mariana yang menjadi tema filem berjudul sama ditayangkan pada tahun 1996, tidak ada perkataan yang dapat ditulis bagaimana peminat histeria menyambut ‘salam perkenalan’ itu.
Menusuk hingga ke segenap penjuru jiwa, lantunan vokal Zamani mengingatkan kembali nostalgia dan kegilaan peminat tentang filem yang dibintangi oleh aktres Erra Fazira dan Ziana Zain itu. Istimewanya, persembahan lagu itu turut diserikan dengan paparan beberapa babak filem tersebut di layar skrin gergasi di belakang pentas.
Kumpulan Slam yang sudah berusia lebih 20 tahun dan jarang membuat penampilan bersama, telah mempamerkan persembahan mantap dalam Konsert Kurnia Slam di KWC, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu.
Biarpun terpaksa melakukan persembahan dalam masa dua jam dengan lebih 20 buah lagu, ironinya suara emas milik Zamani tiada yang berubah walau seinci. Suara itu kekal sebagai suara lunak yang membikin hati penonton cair dengan bait-bait lirik lagu yang mendayu.
Sesuai dengan gelaran yang diberi ramai peminat kepadanya, suara Zamani hanya satu di dunia. Tidak akan ada orang lain yang mampu menyamai suara lelaki itu.
Hargai komposer
Memasuki segmen kedua, Slam menyusun barisan lagu popular mereka seperti Kembali Merindu, Mentari Muncul Lagi, Biarkan Ia Pergi, Ranting Impian dan Kembali Terjalin sebelum menjemput penyanyi jemputan Ronnie Hussein yang mendendangkan lagu Terasing Dalam Sepi.
Untuk segmen ketiga iaitu akustik, Slam tampil segak bergaya dengan sut tajaan daripada Taufik Taylor dengan mempersembahkan empat buah lagu hit mereka iaitu Buat Seorang Kekasih, Sendiri, Kasih dan Syair Si Pari-Pari.
Tidak perlu diminta, peminat sendiri sudah arif tentang kebanyakan lirik lagu popular kumpulan Slam. Secara langsung, iringan nyanyian daripada peminat membuatkan seisi dewan bergema. Mungkin situasi itu sendiri menyuntik kembali elemen nostalgia yang pernah dilalui mereka suatu ketika dahulu di Stadium Negara, Kuala Lumpur sewaktu berlangsungnya Konsert Grand Unplugged Slam 1996. Konsert tersebut juga merupakan konsert terakhir Slam sebelum kumpulan itu menyepi.
Apa yang pasti, pada malam itu Slam mempunyai objektif tersendiri apabila tidak hanya mengadakan persembahan untuk peminat semata-mata, tetapi ia menjadi medan untuk mereka menghargai komposer yang banyak membantu menaikkan nama mereka dalam industri.
“Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan setinggi penghargaan buat individu di sebalik tabir yang sebenarnya menjadi tulang belakang untuk memperkenalkan kumpulan Slam di persada dunia hiburan sekitar lebih 20 tahun lalu.
Lebih 6,000 peminat setia Slam puas hati dengan persembahan padu yang dipamerkan kumpulan tersebut selepas kali terakhir melangsungkan konsert mega pada tahun 1996.
“Individu ini antara komposer yang banyak berjasa dalam menghasilkan lagu-lagu popular kami sehingga ia masih diterima dan dinyanyikan oleh anda pada hari ini. Untuk itu, saya menjemput naik ke pentas, saudara Saari Amri yang juga pencipta lagu seterusnya, Kembali Terjalin,” ujar Zamani sebelum mereka sama-sama menyanyikan lagu tersebut di atas pentas.
Untuk lagu Syair Si Pari-Pari, Zamani sempat menjemput komposer yang bertanggungjawab mencipta lagu tersebut iaitu Aidit Alfian dan berkata: “Ia merupakan salah sebuah lagu solo saya yang dikeluarkan pada tahun 2002 dan ia dicipta oleh Aidit Alfian.”
Mengambil alih persembahan, penyanyi Hazama tampil sebagai artis undangan kedua dengan menyampaikan lagu Kita Terpaksa Bermusuhan.
Menghampiri penutup, Zamani memberi persembahan terbaik dengan barisan lagu seperti Nur Kasih, Manisnya Rindu, Tiada Aku Jemu, Jika Kau Rasa Getarnya dan Kurnia.
Terharu dengan sokongan yang diterima pada malam itu, Slam menjemput rakan-rakan artis seperti Amir Ukays, Zarul Umbrella, Black Hanifah dan Yazit Search naik ke pentas dengan persembahan beramai-ramai lagu Gerimis Mengundang.
Tiada kata yang layak dinukilkan buat Slam selain ucapan syabas kerana berjaya menyempurnakan perjalanan konsert itu dengan baik tanpa cacat cela.
Secara jujur, Konsert Kurnia Slam pada malam itu berjaya mengembalikan nostalgia, sekali gus membuktikan bahawa Slam masih berbisa dan mempunyai pengaruh yang kuat pada hari ini biarpun kebanyakan daripada mereka tidak lagi muda.
Ternyata, pengalaman adalah harta yang paling berharga untuk meletakkan Slam pada satu tanda aras tersendiri.