Randy Pangalila kini vokalis band


PERCUBAAN - Selepas hampir sembilan tahun menempa nama selaku aktor, Randy Pangalila kini mencuba nasib menjadi penyanyi melalui kumpulan RVN.

SELEPAS meletakkan dirinya sebagai pelakon menerusi beberapa buah drama popular, aktor Indonesia, Randy Pangalila nekad mahu menambat jiwa peminatnya di sini dengan bakat nyanyian.

Pernah memiliki single pertama Lewat Semesta pada 2008, Randy, 26, sebenarnya sudah pun mempunyai sebuah band yang ditubuhkannya iaitu RVN.

Kumpulan RVN yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu dianggotai bersama dua rakan lamanya iaitu Nayaka (pemain dram) dan Javier (gitaris).

“Mereka berdua sebenarnya rakan saya sejak dahulu dan kami memang gemarkan muzik. Berbeza dengan saya, mereka sebenarnya pernah menyertai kumpulan muzik lain sebelum ini.

“Selepas kumpulan mereka dibubarkan, saya terfikir untuk memanggil mereka menyertai saya, maka tertubuhlah RVN,” Randy membuka cerita.

Matlamat baharu

Penubuhan RVN juga menjadi alasan kehilangan sementara kelibat Randy daripada radar dunia hiburan Kemunculannya dalam sinetron mahupun drama di Indonesia juga jarang terlihat.

Kata Randy: “Sejak tahun lalu, ramai peminat tertanya-tanya ke mana hilangnya saya. Sebenarnya saya sibuk menguruskan band dan gigih menyiapkan material lagu.

“Proses untuk memperkenalkan sesebuah band bukannya mudah, jadi saya mengambil masa yang lama untuk fokus terhadap band sehingga tiada masa untuk lakonan.

“Sebenarnya dalam tempoh itulah saya bekerja keras menyusun strategi untuk memperkenalkan RVN dalam industri muzik.”

Sehingga kini, RVN sudah mempunyai sebanyak dua buah lagu iaitu Mimpi dan Harapan dan Kisah Yang Sempurna yang baru sahaja dilancarkan di Indonesia baru-baru ini.

Mengambil inisiatif menggerakkan sendiri band tersebut, Randy ada sebab tersendiri mengapa dia terpaksa mengecilkan ruang dunia lakonannya buat sementara waktu demi fokus untuk band tersebut.

“Di Indonesia sudah terlalu banyak band, jadi disebabkan mahu mencari perbezaan, saya bersama rakan-rakan menguruskan sendiri kumpulan kami. Semuanya diuruskan sendiri termasuklah daripada segi konsep, genre muzik dan imej yang ingin dibawa.

“Pada mulanya, kami membawa genre muzik British kemudian menukarnya kepada genre rock selepas menyedari ia adalah minat sebenar kami.

“Walaupun masih baru, tetapi syukur penerimaan peminat di sana sangat baik dan rata-rata menggemari lagu yang kami bawakan. Sama juga dengan peminat Malaysia yang ternyata boleh menerima kewujudan kami biarpun ada saya terlebih dahulu dikenali sebagai pelakon,” ujarnya.



Rumah kedua

Beralih mengenai kedatangannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini, Randy sebenarnya terlibat dengan sebuah produksi tempatan menerusi sebuah drama bersiri untuk siaran di internet.

Bergandingan dengan tiga rakan senegaranya iaitu Brandon Salim, Mentari De Marelle dan Gita Sucia. Drama tersebut turut dibintangi pelakon tempatan, Hafreez Adam dan Azhar Sulaiman.

Katanya: “Saya suka bekerja dengan produksi di Malaysia kerana mereka tahu hala tuju sesebuah naskhah. Dalam erti kata lain, mereka sudah ada skrip tentang keseluruhan cerita.

“Jadi, jalan ceritanya sudah jelas sejak awal dan ia memudahkan saya menghayati watak dengan baik bagi setiap episod. Ia sangat berbeza dengan naskhah di Indonesia yang selalunya mempunyai beratus-ratus episod.”

Seperti kebanyakan selebriti seangkatan yang kerap berkunjung ke negara ini dengan tujuan melebarkan sayap, Randy juga tidak terkecuali. Baginya, itulah rezeki dan kesempatan terbaik untuknya mendekati peminat di Malaysia dengan pelbagai produk baharu selepas ini.

“Sudah menjadi perkara biasa untuk seseorang artis cuba keluar dari negara sendiri dan melebarkan sayap kariernya di tempat orang. Jika tidak, kariernya tidak akan berkembang dan hanya berada pada takuk sama,” ujar Randy.

Tambahnya lagi: “Malaysia ibarat rumah kedua dan saya juga ada peminat di negara ini. Walaupun tidak kerap, tetapi harapan saya agar kedatangan saya kali ini sekali gus dapat memperkenalkan RVN kepada peminat di Malaysia.

“Mungkin ada yang sudah rindu dengan kelibat saya dalam mana-mana drama, jadi saya berikan bonus buat mereka. Drama berserta kumpulan dan lagu kami.”

Post a Comment

Previous Post Next Post