Minggu lalu, pelakon muda yang baru sahaja mencipta nama menerusi slot Akasia dengan drama Tundukkan Playboy Itu, Hafidz Roshdi, 22, mengejutkan industri hiburan tempatan apabila mengumumkan sudah selamat bernikah dengan tunangnya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 22.
Tiada sebarang pemberitahuan awal ataupun tanda-tanda yang diberikan, Hafidz menjelaskan perancangan untuk bernikah sebenarnya sudah lama dibincang oleh kedua-dua belah keluarga memandangkan mereka sudah setahun mengikat tali pertunangan.
Diraikan dalam sebuah majlis perkahwinan yang serba sederhana di kediaman keluarga Shuhada di Berseri, Perlis tanggal 30 April lalu, pelakon itu mengaku dia langsung tidak merasa menyesal berkahwin pada usia muda dan sewaktu namanya sedang berada di kemuncak.
KOSMO!: Adakah Hafidz memang mahu menyorokkan berita pernikahan kalian daripada pengetahuan umum?
HAFIDZ: Tidak, cuma saya menghormati permintaan keluarga isteri agar tidak dihebohkan sebelum semuanya selesai. Saya cuma mahu mengingatkan, mereka bukanlah selebriti yang biasa diberikan tumpuan, oleh sebab itu saya hanya memberitahu kepada peminat dan media selepas sah bergelar suami isteri.
Anda berkahwin pada usia 22 tahun, ia satu peringkat umur yang masih muda. Tidakkah berasa rugi menggalas komitmen seawal usia 20-an?
Bagi saya, tua atau muda bukan perkara utama yang perlu difikirkan jika mahu berkahwin. Apa yang penting ialah hati kita bersedia dan tahu tanggungjawab kepada bakal isteri selepas berkahwin. Tiada istilah rugi jika orang dikahwini ialah individu yang kita mahu habiskan seumur hidup bersama.
Dari segi kerjaya, nama anda baru sahaja hendak dikenali dan kebiasaannya apabila seorang artis itu berkahwin, dia akan kehilangan populariti. Anda tidak takut ditimpa perkara serupa?
Tidak, kerjaya ini bukan selama-lamanya. Keluarga lebih penting dan saya bukan melakukan perkara yang jahat dengan berkahwin. Saya yakin jika memang sudah tertulis rezeki untuk saya, Insya-Allah tawaran berlakon akan sentiasa ada.
Boleh ceritakan sedikit perubahan yang anda alami selepas hampir seminggu bergelar suami?
Alhamdulillah, gembira itu sudah pasti dan saya rasa hidup sekarang lebih terisi serta mempunyai arah tujuan. Tanggungjawab juga sudah lebih besar sekali gus memberi semangat kepada saya untuk bekerja lebih kuat untuk menyara keluarga.
Sebelum ini, timbul isu isteri anda cemburu tentang pekerjaan anda sebagai pelakon. Adakah situasi ini akan berubah sekarang?
Ingin saya jelaskan, tiada isu cemburu yang timbul berkenaan isteri saya kerana selama ini, sebaliknya, dia yang menjadi pencetus semangat untuk saya terus berlakon. Malah, Shuhada tidak pernah mempunyai sebarang alasan sosial media yang boleh membuktikan dia mengeluarkan kenyataan berbaur cemburu. Isteri saya tidak kisah dan faham mengenai karier saya sebagai anak seni.
Anda sudah merancang untuk pergi berbulan madu?
Kami akan pergi bercuti ke sebuah pulau dalam negara pada 18 Mei ini selama lima hari. Ia bukanlah bulan madu yang sebenar kerana saya bercadang untuk melancong ke luar negara sebagai hadiah buat isteri selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Baru-baru ini kecoh tentang peminat yang mempertikaikan rupa paras isteri anda yang dilabel tidak cantik dan tidak sepadan dengan anda. Apakah yang anda hendak katakan kepada peminat di luar sana tentang hal ini?
Saya ucapkan terima kasih kerana beri banyak peluang kepada kami untuk mendapat pahala dan terus-terang saya beritahu, kami tidak menyimpan sebarang dendam buat mereka. Biarlah mereka hendak berkata apa sahaja kerana saya kenal isteri saya dan tahu apa keistimewaan yang ada pada dirinya yang orang lain tidak tahu.