Radin Masih Dalam Proses Kenali Hati Ayda Jebat


Radin dan Ayda Jebat dikaitkan bercinta.

Penyampai radio Era FM, Radin menjelaskan hubungannya dengan pelakon dan penyanyi Ayda Jebat masih lagi pada peringkat teman rapat semata-mata dan tidak lebih daipada itu.

Radin atau nama sebenarnya, Radin Amir Affendy, berkata, dia selesa berkawan dengan wanita itu dan ingin mengenalinya dengan lebih dalam lagi.

"Kerjaya saya membuatkan saya dikelilingi rakan-rakan artis dan golongan selebriti dan saya juga kenal Ayda Jebat seperti rakan artis yang lain juga.

"Namun bagi saya rasa tidak salah kalau saya ingin mengenalinya hanya sebagai Ayda Jebat tetapi Nur Suhada Jebat," ujarnya kepada mStar Online.

Radin ditemui pada majlis Anugerah Pilihan Online 2016 yang berlangsung di Auditorium Angkasapuri, malam Sabtu lalu.

Dalam acara tersebut Radin dan Ayda Jebat dipilih memenangi Anugerah Fesyen Glam Lelaki Terhebat dan Fesyen Glam Wanita Terhebat yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,888 dan trofi.

Ayda mengayakan busana rekaan pereka fesyen Khoon Hooi dan Radin pula memakai pakaian rekaan Bonobono169.



Ayda Jebat dan Radin (Era FM) dipilih sebagai Fesyen Glam Lelaki dan Wanita Terhebat tajaan Doktor Kereta.

Hadiah berkenaan ditaja oleh usahawan jualan kereta mewah di Singapura iaitu Pengarah Doktor Kereta Pte Ltd, Ismail Yusof.

Sementara itu, ditanya tentang keistimewaan wanita itu, Radin berkata, dia menyenangi sikap Ayda yang sentiasa ceria dan gemar berterus terang.

"Saya suka berkawan dengannya kerana sikap dia yang gila-gila, suka berterus terang dan tidak berpura-pura serta yakin dengan diri sendiri," ujarnya.



Dalam pada itu, bercerita tentang penerimaan peminat-peminat penyanyi yang kini mempunyai 1.8 juta pengikut di Instagram itu, Radin mengakui rata-ratanya terkejut dengan gosip berkenaan.

Bagaimanapun, ramai yang memberi kata-kata semangat dan menyokong hubungan tersebut.

"Mereka terkejut bila saya pula dikaitkan bercinta dengan artis kesayangan mereka, tapi setakat ini tiada lagi yang kecam saya.

"Mereka tahu saya dan Ayda masih lagi berkawan sahaja dan tidak lebih daripada itu," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post