
Aisyah percaya tanpa kualiti, seseorang anak seni tidak akan bertahan lama.
NAMA wanita tinggi lampai ini mungkin tidak gah seperti penyanyi Ayda Jebat, Adira mahupun barisan penyanyi wanita lain. Namun, satu hal yang boleh dipersetujui dia mempunyai kekuatan vokal tersendiri.
Tersenarai sebagai finalis penyanyi wanita popular dalam Anugerah Bintang Popular ke-29 yang baru sahaja melabuhkan tirai beberapa minggu lalu sudah cukup membuatkan nama Aisyah Aziz diakui relevan sebagai seorang penyanyi.
Setelah hampir setahun menyepi, kini penyanyi kelahiran Singapura itu kembali mengubat rindu peminat menerusi single baharu yang berjudul, Tanda Tanya.
Ingin membawa kelainan dalam perjalanan kerjayanya, single ketiga Aisyah dibawakan dalam genre yang berlainan dengan susunan muzik lebih catchy berbanding dua lagu balada miliknya sebelum ini.
BULETIN MALAYSIA!: Boleh ceritakan sedikit tentang single ketiga Aisyah?
AISYAH AZIZ: Single Tanda Tanya merupakan hasil ciptaan Omar K dan Ezra Kong. Ini merupakan kali kedua saya bekerja dengan mereka dan ia merupakan satu kerjasama yang agak mudah. Sebenarnya, semasa proses menghasilkan lagu ini, kami telah mengambil keputusan untuk mengubah genre balada yang sering saya bawakan kepada sebuah lagu pop yang lebih catchy. Antara kelainan dalam single ini juga adalah dari segi susunan melodi yang tidak ramai dibuat orang.
Jika dalam lagu Mimpi dan Pilihan Sejati, anda membawakan lagu balada, tetapi untuk single baharu ini genre begitu berbeza, adakah ia memberikan cabaran?
Sebenarnya jiwa saya memang lebih kepada balada yang membuai-buai perasaan. Pada awalnya, saya tidak tahu bagaimana untuk menyanyikan lagu sebegini, lebih-lebih lagi semasa pembikinan klip video yang memerlukan saya menari. Tetapi semua itu saya anggap sebagai cabaran dan belajar untuk menjadikan keseluruhan proses ini berjaya.
Cabaran sebegini memang bagus kerana ia memberi variasi dalam kerjaya nyanyian saya.
Berhubung dengan syarikat pengurusan, lagu Tanda Tanya dikeluarkan dibawah label Paranormal Records, jadi bagaimana pula dengan pihak pengurusan Astro?
Benar, saya memang mempunyai dua syarikat pengurusan iaitu Paranormal Records (PR) dan Astro. Bagaimanapun, bersama PR, mereka banyak menaikkan nama saya menerusi media sosial. Seperti diketahui, saya sering menyanyikan semula lagu orang dan kemudian muat naik lagu tersebut ke dalam YouTube, jadi apabila bersama PR mereka akan merakam video yang lebih cantik sebelum dimuat naik.
Bagaimanakah sambutan terhadap lagu-lagu yang telah dimuat naik dalam media sosial itu?
Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat positif. Antara lagu yang mendapat sambutan seperti Tunggu Sekejap dan Getaran Jiwa. Saya juga sangat bertuah kerana mempunyai tim Paranormal Malaya yang sangat kreatif. Banyak juga perubahan yang saya rasakan apabila orang ramai mula mengenali saya berdasarkan video-video yang dikongsi peminat.
Jika dilihat sekarang ini, ramai artis yang lahir daripada YouTube, mungkin anda boleh komen sedikit adakah ia memberi persaingan kepada anda?
Ia merupakan persaingan yang bagus, namun bagi saya hanya yang berkualiti sahaja boleh bertahan kerana jika dikira berdasarkan populariti sahaja perkara itu tidak akan bertahan lama. Persaingan ada di mana-mana sahaja, jadi saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri saya dan hanya lakukan perkara yang saya suka sahaja.
Apakah perkembangan lain anda selain single Tanda Tanya?
Saya sedang cuba menulis sebuah lagu sendiri. Memang saya tidak pandai menulis, tetapi bagi saya sebagai seorang artis rasanya perlu untuk menulis sekurang-kurangnya sebuah lagu. Lagu tersebut mungkin dibuat dalam genre balada.