Isyana Sarasvati tidak kejar populariti


PEMINAT - Isyana memberitahu, dia amat meminati penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza. Waktu nama Siti begitu popular di Indonesia pada awal kemunculannya dahulu di Indonesia, dia menyangkakan bahawa Siti adalah penyanyi kelahiran Indonesia. Selain Siti, dia juga amat mengagumi Datuk Sheila Majid.

Pertama kali bertemu empat mata dengan bintang muda kelahiran Republik Indonesia, Isyana Sarasvati, ternyata dia adalah seorang wanita yang amat mesra media dan mempunyai pandangan tinggi dalam perkara utama yang diusahakan dalam hidup iaitu muzik.

Pada sesi fotografi bersama penyanyi yang kini semakin dikenali di Malaysia menerusi lagu Tetap Dalam Jiwa di Hotel Pullman, Putrajaya baru-baru ini, Isyana, 23, sangat teruja pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur.

“Saya pernah ke Johor Bharu dan Pulau Pinang. Ini adalah pengalaman pertama saya di Kuala Lumpur dan ia adalah sebuah kota yang bersih dan sungguh maju,” katanya ringkas membuka bicara.

Diaju persoalan sambutan positif peminat tempatan terhadap lagu yang dipetik daripada album sulungnya, Explore!, Tetap Dalam Jiwa, dia berasa terharu dan terkejut dengan perkara tersebut.

“Memang tidak sangka kerana lagu itu mula meniti di bibir peminat di sini (Malaysia). Bagi saya, bukan populariti yang menjadi tumpuan saya tetapi apabila muzik saya diterima di luar Indonesia, itu adalah pencapaian yang bagus,” ujarnya yang sempat membuat persembahan pada majlis Anugerah Bintang Popular tempoh hari.

Isyana mengakui bahawa untuk membina nama di Indonesia bukan satu perkara yang mudah kerana banyak penyanyi baharu yang sentiasa lahir dengan idea muzik mereka. Baginya, dia hanya perlu jujur dengan muzik yang dibikin.

“Muzik bersifat bebas. Ia tidak akan berkembang jika terus terbatas. Bagi saya, sebagai seorang penyanyi dan pemuzik, saya perlu menjadi diri sendiri bekerja keras untuk mendapatkan apa yang mahukan.

“Saya akui, penyanyi Indonesia agak sukar untuk menembusi pasaran Malaysia waktu ini. Saya percaya, dengan kerja keras dan kejujuran saya bikin muzik, ia akan membuahkan hasil positif terhadap perjalanan seni muzik saya,” katanya optimis.

Wawasan

Menyelak cerita latar belakang pendidikan, Isyana sangat menitikberatkan soal pendidikan. Disebabkan kecintaan yang begitu mendalam terhadap bidang seni, dia mempunyai pendidikan yang cukup impresif menjurus kepada minat utamanya iaitu muzik.

Dia merupakan alumni Nanyang Academy of Fine Arts di Singapura dan Royal College of Music di London. Ceritanya, pada permulaan hidupnya, dia merupakan seorang individu yang sangat introvert. Menyambung pelajaran di kedua-dua institusi berprestij tersebut, dia berubah demi kepentingan mengejar impian sebagai seorang penyanyi.

“Sejujurnya, saya memang tidak mempunyai ramai rakan kerana sebelum ini mempunyai masalah untuk bergaul dengan orang ramai. Jika berdepan masalah, saya lebih rela bermeditasi melalui muzik untuk mententeramkan jiwa.

“Ketika melanjutkan pelajaran di Singapura, saya banyak belajar tentang hidup. Di situlah saya mengetahui potensi sebenar saya sebagai seorang pemuzik dan lebih mendalami muzik klasikal yang menjadi nadi dan kekuatan diri saya,” ulasnya yang sangat meminati muzik penyanyi jazz-pop antarabangsa, Jamie Cullum.

Persaingan, peribadi

Dalam rancak berbicara, Isyana turut bercerita lanjut mengenai kekangan yang terpaksa ditempuhi sewaktu kecil.

“Saya membesar di Sweden sebelum kembali menetap di Indonesia. Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak mempunyai ramai rakan dan mempunyai masalah untuk berkomunikasi dalam bahasa Indonesia.

“Sehinggakan ibu saya memberitahu bahawa saya lebih cenderung untuk bermain piano sewaktu kecil sebelum mahir berkomunikasi (tertawa). Bagi saya, muzik adalah bahasa dan diari buat saya. Apabila saya gembira mahupun sedih, muzik yang menjadi teman rapat saya,” ujarnya penuh yakin.

Disogok pertanyaan tentang ramai peminat di Indonesia membandingkan dirinya dengan penyanyi popular senegara, Raisa Andriana, Isyana tenang menjawab. Baginya, dia cuma menjadi dirinya dan terpulang kepada orang lain untuk menghakimi.

“Saya tidak berniat untuk meniru orang lain. Setiap orang mempunyai personaliti dan cara tersendiri. Saya dan Raisa mempunyai hubungan yang baik sebagai rakan seperjuangan. Dia terlebih dulu dikenali di Indonesia dan saya sangat menghormati dirinya.

“Muzik kami berbeza. Saya tidak mempunyai masalah disamakan dengannya kerana bagi saya setiap orang mempunyai hak dan meluahkan pendapat mereka. Saya akan bekerja keras untuk terus berkarya sekali gus membuktikan kepada orang ramai bakat saya yang sebenar,” ceritanya yang sudah tiga tahun bergelar penyanyi di Indonesia.

Ditanya bagaimana dirinya mendapat ilham untuk menggubah lagu, dia berkata, kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album sulungnya, Explore! adalah hasil daripada pengalaman peribadi.

“Saya juga mendapat ilham daripada kisah orang lain. Saya jenis individu yang suka memikirkan sesuatu perkara. Dari situ juga saya mendapat ilham untuk menggubah lagu dan menulis lirik,” ujarnya.

Dalam berhati-hati meluncurkan kata, tersentak seketika apabila diajukan soalan berkenaan teman lelaki. Isyana memberitahu bahawa dia tidak mempunyai teman lelaki kerana buat masa ini, lebih memberi fokus kepada perjalanan seni.

“Tidak ada. Saya memang banyak kawan lelaki tetapi mereka tidak lebih daripada kawan buat saya kerana bagi saya kaum lelaki lebih memahami diri saya berbanding kaum wanita.

“Lagipun, saya masih muda dan banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian,” ujarnya menutup bicara.

Penyanyi dan penggubah lagu kelahiran Indonesia, Isyana Sarasvati semakin mencuri perhatian menerusi lagu popularnya, Tetap Dalam Jiwa. Berada di kota Kuala Lumpur beberapa minggu lagu, wanita itu bercerita panjang tentang muzik dan peribadi dirinya kepada teman media tempatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post