PEMINAT - Menjadi kesayangan peminat, Nana menyifatkan kelab peminatnya, Official Nanasheme sering membuat kejutan terhadap dirinya seperti sambutan hari lahir.
Pertemuan dengan gadis kecil molek kelahiran Sarawak sempena pelancaran album sulungnya di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini, melahirkan rasa senang di hati. Sikapnya yang kadangkala kelihatan sedikit pemalu tetapi masih ramah mengatur bicara membuatkan dia mudah didekati, malah menjadi kesayangan peminat.
Tidak keterlaluan dikatakan itulah pesona dimiliki Nanasheme atau nama penuhnya, Nur Nabilah Hashimi.
Biarpun baru setahun jagung berada dalam radar dunia hiburan, namun bintangnya kian menyerlah dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Lagu-lagu nyanyiannya seperti Hantu Atau Buaya (HAB) dan Boleh Blah mendapat perhatian apabila sering diputarkan di stesen radio tempatan.
Begitupun, ada sahaja kritikan tidak enak dilemparkan dalam perjalanan karier sebagai anak seni. Tidak ketinggalan, penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Nana ini juga terkena tempias apabila dikritik berhubung lirik lagu-lagu miliknya.
Tidak cepat melatah, penyanyi itu memberitahu, dia cuma menjadi penyampai kepada lagu tersebut dan sentiasa bersikap positif terhadap mana-mana lagu diberikan komposer kepadanya.
“Sebagai penyanyi apabila komposer memberikan sesebuah karya, tanggungjawab saya cuma menjadi penyampai kepada karya itu tetapi menjadi kebiasaan, orang akan mengkritik penyanyi.
“Tidak mengapa kerana tugas saya apabila diberikan sesebuah karya, saya akan berfikiran positif dan menyampaikan dengan baik. Tidak kisah jika ada pihak hendak mengkritik kerana saya sudah berusaha memberikan yang terbaik,” katanya mengukir senyuman.
Menurut Nana, dia sama sekali tidak pernah menganggap kritikan tersebut sebagai pematah semangat untuk terus meniti perjalanan sebagai anak seni.
Sungguhpun ramai yang mengkritik, dia tetap memperoleh sokongan para peminat. Muzik video HAB yang mendapat tontonan sebanyak 6.5 juta di laman YouTube serta diberi penghargaan Red Box Most Requested Karaoke Song pada tahun 2015 sudah cukup membuktikan dirinya diminati ramai.
“Saya tidak pernah merasa tertekan dengan kritikan yang diberikan terhadap diri. Selain mendapat kritikan negatif, pada masa sama saya juga mendapat maklum balas positif.
“Alhamdulillah, segala yang saya peroleh sekarang ini sudah lebih daripada cukup. Pastinya selepas ini sasaran saya adalah untuk ke peringkat lebih tinggi dan mengintai pasaran muzik luar pula,” ujar Nana.
Album
Berbicara mengenai album sulungnya, perasaan teruja jelas terpancar pada wajah gadis berusia 20 tahun itu. Manakan tidak, dia menyifatkan album berjudul Nanasheme itu sebagai buah tangan kepada para peminat yang sering bertanya kemunculan album sulungnya.
Mula menjengah pasaran pada 22 Mac lalu, album memuatkan sebanyak enam buah lagu itu menampilkan lagu popular, Hantu Atau Buaya dan Boleh Blah serta dua lagu saduran seperti All Of Me dan Love Me Like You Do.
“Album ini dihasilkan untuk memenuhi permintaan peminat. Ia sudah berada di pasaran sejak bulan Mac lagi tetapi kerana terikat dengan jadual pengajian, pelancaran album ini terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
“Saya sengaja memilih untuk memasukkan dua cover song berbahasa Inggeris dalam album ini kerana menyimpan cita-cita untuk menembusi pasaran luar negara,” cerita Nana yang kini sudah mempunyai 12 buah lagu saduran terdiri daripada lagu-lagu bahasa Melayu, Inggeris dan Indonesia.
Berbicara lanjut, Nana membuka kisah sebenar di awal kemunculannya sebagai penyanyi yang dilamar oleh syarikat rakaman Life Record.
“Saya bermula sebagai artis YouTube pada tahun 2011. Pada tahun 2014, saya dilamar syarikat rakaman yang saya bernaung sekarang. Sebenarnya, lagu HAB bukanlah single pertama saya.
“Buat pengetahuan ramai, single pertama saya adalah Permintaan Hati tetapi ia tidak berjaya mendapat tempat dalam kalangan pendengar. Selepas itu, muncul single HAB yang kemudiannya berjaya menaikkan nama saya.
“Lagu Permintaan Hati juga turut saya selitkan dalam album ini. Saya mempunyai matlamat untuk menulis dan mencipta lagu sendiri. Permintaan Hati merupakan sebuah lagu ciptaan sendiri berkaitan luahan isi hati saya,” katanya yang sedang sibuk dengan rangka promosi album sulung itu.
Sambung belajar
Beralih bicara, di luar atmosfera seni, gadis kelahiran Kuching, Sarawak ini sebenarnya merupakan seorang pelajar pintar.
Baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang Diploma Pembinaan Bangunan di Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kota Samarahan, Sarawak, Nana kini sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajian pada peringkat ijazah pula.
“Saya sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sama. Insya-Allah, jika diizinkan saya ingin menyambungnya di Kuala Lumpur.
“Sementara menunggu keputusan ini, saya berada di Kuala Lumpur untuk urusan promosi album dan undangan nyanyian,” jelasnya.
Ditanya tentang pembahagian masa antara pelajar dan penyanyi, Nana berkata, pada mulanya agak sukar menggalas dua tugas dalam satu masa tetapi ia dapat diatasi dengan persefahaman antara dirinya dan syarikat rakaman.
“Waktu paling sukar dan boleh membuatkan saya dalam dilema apabila terpaksa menolak tawaran besar kerana ingin fokus kepada pelajaran.
“Melalui hasil rundingan bersama syarikat rakaman, saya mengambil keputusan untuk fokus kepada pengajian dan menerima undangan nyanyian ketika cuti semester. Bagaimanapun, pada waktu itu saya tetap akan mempertimbangkan jika terdapat undangan nyanyian di Sarawak,” ujarnya.