Lakon babak rogol, Amar Baharin dikecam


Amar Baharin (kanan) bersama Tiz Zaqyah dalam salah satu sedutan drama Akadku Yang Terakhir.

PELAKON Amar Baharin tidak menyangka apabila melakonkan babak rogol bersama aktres Tiz Zaqyah dalam drama Akadku Yang Terakhir, dia telah menerima kecaman hebat daripada orang ramai. Ia berikutan rakaman video adegan tersebut tersebar di alam maya. Rata-rata mereka menyifatkan babak rogol itu keterlaluan untuk penonton drama tempatan.

Bagaimanapun, Amar, 31, ketika dihubungi Kosmo! meminta orang ramai bersikap terbuka kerana itu hanyalah lakonan semata-mata dan babak rogol tersebut tidak ditayangkan di kaca televisyen selepas dipotong pihak produksi dan pihak stesen televisyen.

Menurutnya, babak rogol berkenaan tersebar di internet selepas pengarahnya, Amie Maziah memuat naik rakaman video daripada telefon bimbitnya di akaun Instagram. Tujuannya sekadar untuk mempromosikan karyanya yang diterbitkan syarikat produksi Global Station. Namun, dia tidak menyangka rakaman video tersebut menjadi viral selepas ia dikongsi orang ramai.

Biarpun dihentam, Amar tetap meluahkan rasa syukur. Baginya kritikan tersebut menandakan drama Akadku Yang Terakhir yang disiarkan di Astro Ria, setiap Isnin sehingga Jumaat pada pukul 6 petang itu mendapat perhatian masyarakat.

Amar juga sempat berkongsi mengenai gosip perkahwinannya dengan pelakon Amyra Rosli yang didakwa akan berlangsung pada November depan.

KOSMO!: Apakah pandangan Amar apabila dihentam masyarakat gara-gara melakonkan babak rogol bersama Tiz Zaqyah dalam drama Akadku Yang Terakhir?

Amar: Kami berdua sebagai pelakon hanya menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan baik. Isu terbaharu ini langsung tidak memberi kesan kepada saya kerana orang yang memberi komen negatif di internet rasanya tidak membaca novel ataupun menonton drama tersebut.

Bagaimanakah rakaman video babak rogol itu boleh tersebar sedangkan ia tidak ditayangkan di televisyen?

Memang benar, babak rogol itu tidak ditayangkan selepas dipotong pihak produksi dan stesen televisyen yang merasakan ia agak keterlaluan untuk penonton tempatan.

Namun, pengarahnya, Amie Maziah telah merakam babak rogol itu di telefon bimbitnya dan memuat naik di akaun Instagram.

Saya sedar tujuannya hanyalah untuk mempromosikan drama berkenaan tetapi tidak menyangka ia akan menjadi viral dan dikecam orang ramai.

Adakah benar selepas rakaman video babak rogol itu tersebar rating drama tersebut meningkat naik?

Saya tidak menafikan perkara tersebut, baik atau buruk, ia tetap publisiti. Mungkin disebabkan babak rogol yang tersebar itu, orang ramai lebih berminat untuk menonton keseluruhan drama tersebut.

Sebelum menjadi viral, mungkin orang tidak sedar tentang kewujudan drama Akadku Yang Terakhir kerana ia bersiaran setiap pukul 6 petang dan bukannya pada waktu perdana.

Mungkin boleh berkongsi tentang perasaan anda selepas dikritik?

Ini bukan kali pertama saya menerima kritikan kerana lakonan. Jika terlalu ikut adegan dalam novel dihentam, tidak ikut juga menerima nasib sama kerana dikatakan mengubah karya asal. Jadi, saya tidak peduli kata-kata orang lain, asalkan kerja berjalan dengan baik sudah memadai.

Biarpun dihentam, namun drama berkenaan cukup popular dalam kalangan penonton drama, apakah komen anda?

Walaupun dihentam saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya orang ramai bercakap mengenai drama ini tidak kira baik atau buruk. Apabila orang bercakap mengenainya, maknanya mereka ambil berat dan mungkin menonton.

Saya lebih bimbang, jika tiada langsung berita atau respons daripada orang ramai terhadap drama dilakonkan. Drama ini pencapaian terbaik saya, walaupun disiarkan pada slot petang tetapi dapat menarik 1.5 juta penonton setiap hari.

Gosip perkahwinan anda bersama pelakon Amyra Rosli tidak pernah tamat. Apakah benar kalian didakwa bakal berkahwin pada November depan?

Sebenarnya isu perkahwinan kami berdua telah timbul sejak 2015, malah didakwa telah bertunang, walhal itu tidak benar. Soal didakwa kahwin November tahun ini, saya anggap ia doa daripada peminat. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan menyerahkan jodoh pada Allah.

Sejujurnya, sebagai lelaki, saya telah bersiap sedia untuk berkahwin tetapi siapa wanita tersebut biarlah rahsia.

Post a Comment

Previous Post Next Post