Mia menyangkal dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Izham Tarmizi.
Pelakon Mia Ahmad menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang ikatan istimewa dengan penjaga gol pasukan bola sepak, Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 27, berkata, hubungan mereka sekadar teman biasa dan masih belum terfikir soal cinta.
"Saya bukan hendak bersikap hipokrit apabila diajukan soal peribadi tetapi dakwaan kami sedang bercinta sama sekali tidak benar.
"Kami berdua hanya berkawan biasa sahaja dan tidak lebih daripada itu," katanya kepada mStar Online.
Mia berkata demikian sebagai mengulas khabar angin mengenai hubungannya dengan Izham, 25, selepas lelaki berkenaan membuat kejutan hari jadinya di sebuah kafe di Johor Baru baru-baru ini.
Izham Tarmizi.
Pelakon itu ditemui ketika menghadiri Anugerah Pilihan Online (APO 2016) yang diadakan di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini, malam Sabtu.
Pada acara tersebut pelakon berkenaan membawa pulang dua trofi menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan Dnars.
Menjelaskan mengenai sambutan hari jadi berkenaan, Mia berkata, dia menganggap perkara itu diperbesar-besarkan kerana ia dilakukan oleh seorang pemain bola sepak terkenal.
"Ada lagi beberapa rakan saya yang mengadakan majlis kejutan untuk saya tetapi orang tidak memberi perhatian kerana mereka bukan figura dikenali.
Mia ketika menerima trofi kemenangannya.
"Sebab itu ada masyarakat cepat merumuskan majlis berkenaan istimewa tetapi sebenarnya bukan seperti apa disangkakan," jelasnya.
Dalam pada itu, Mia berkata, dia tidak akan berselindung sekiranya benar mereka mempunyai hubungan cinta tetapi buat masa ini dia menegaskan hubungan mereka sekadar rakan biasa.
"Saya kenal dia sebagai kawan biasa sahaja dan untuk mengenali hati budi masing-masing saya memang tiada masa kerana sibuk dengan kerjaya. Begitu juga dia.
"Pada saya dia seorang lelaki yang baik dan itu sahaja yang boleh saya katakan," ujarnya.
Mia ingin fokus kepada karier seni.
Sementara itu, mengulas mengenai kemenangannya pada APO 2016, Mia berkata, dia akan bekerja lebih keras untuk tidak menghampakan peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada karier seninya.
Kata Mia, tanpa peminat dia tidak mungkin akan berada tahap sekarang dan trofi diperolehinya adalah milik peminat.
"Tiada apa yang boleh saya kata selain terima kasih kepada peminat kerana mereka adalah tulang belakang saya.
"Tanpa undian daripada mereka tidak mungkin dua trofi ini menjadi kemenangan pertama saya sejak bergelar pelakon," jelasnya.