Makna populariti Neelofa


SEMPURNA - Cantik, berbakat, bijak dan popular menjadikan Neelofa seorang selebriti yang mempunyai pakej lengkap di mata peminat.

SEWAKTU Neelofa merangkul gelaran juara pertandingan Dewi Remaja sekitar 2011, jiwa mudanya masih hijau untuk mentafsirkan maksud populariti dalam ruang lingkup dunia hiburan.

Makna awal populariti yang singgah ke dalam kotak fikirannya sekadar gambaran segerombolan peminat yang datang untuk berbual, beramah mesra dan merakam gambar kenangan bersama.

Ketika itu, Neelofa atau nama lengkapnya, Noor Neelofa Mohd. Noor masih kurang didedahkan mengenai kuasa populariti yang boleh memberi impak positif terhadap individu yang bergelar selebriti. Apatah lagi jika kuasa tersebut datang daripada peminat yang tidak pernah putus melebarkan sokongan terhadap dirinya.

Namun, itu cerita lima tahun lalu, yakni sebelum pengacara program MeleTOP itu melengkapkan portfolio seninya sebagai pelakon, pengacara dan usahawan berjaya.

Kini, Neelofa yang kian ampuh mengemudi bahtera popularitinya semakin menyedari hakikat tersebut apabila dia dipilih sebagai penerima anugerah Bintang Paling Popular pada edisi ke-29 Anugerah Bintang Popular (ABP29) yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad lalu.

Tidak jangka

Gumam dengan pengumuman tersebut, wanita berusia 27 tahun itu mengakui tidak menjangkakan sebarang kemenangan pada malam berkenaan.

“Saya tidak jangka bakal menerima anugerah ini. Lebih-lebih lagi apabila niat saya menghadiri ABP29 semata-mata untuk memberikan sokongan kepada pihak penganjur dan menikmati persembahan yang diaturkan.

“Namun, rezeki Tuhan tiada siapa yang tahu. Saya berasa sangat bersyukur kerana dipilih peminat untuk menggenggam anugerah ini dan insya-Allah, saya akan terus berusaha memberikan yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Menerima sebanyak 212,829 undian, kemenangan Neelofa berjaya memecahkan dominasi artis lelaki yang sebelum ini berjaya mengungguli kategori tersebut selama lima tahun berturut-turut.

Menerusi kemenangan tersebut, Neelofa membawa pulang hadiah utama iaitu kereta Volkswagen Passat bernilai RM173,888 tajaan Volkswagen Group Malaysia.

Selain itu, Neelofa juga turut meraih trofi bagi anugerah Pengacara TV Popular, sekali gus mengenepikan calon-calon lain seperti Hazlin Hussein, Izreen Azminda, Sherry Alhadad dan Wak Doyok.

Seperti madu

Melihat perkembangan kerjayanya, tidak dinafikan bahawa pendakian awal tangga karier Neelofa pernah dihujani musim kontroversi.

Ditanya adakah populariti yang diraihnya rentetan daripada kontroversi sebelum ini, jawab Neelofa, dia tidak pernah berfikiran sebegitu. Selagi mampu, dia cuba belajar daripada kesilapan lampau.

“Tidak dinafikan, sewaktu tahun pertama dan kedua bergelar selebriti, saya kerap dilanda kontroversi. Sehinggakan saya sendiri takut untuk membaca surat khabar dan menonton televisyen.

“Namun, selepas fasa tersebut, saya lebih berhati-hati dalam setiap tingkah. Berkat sokongan keluarga dan peminat, saya berjaya menyeimbangkan soal kerjaya dan peribadi,” katanya.

Mendefinisikan makna terkini dalam kamus hidupnya, aktres filem Pilot Cafe itu memberi suatu penjelasan. Ungkapnya, manisnya populariti boleh dianggap sebagai madu.

Namun, jika terlalu tenggelam dengan keindahannya, populariti yang enak boleh bertukar menjadi racun.

“Terpulang kepada individu untuk menilai maksud populariti. Sebagai contoh, saya sendiri kurang pasti bagaimana mahu berinteraksi dengan peminat pada awal karier lima tahun lalu.

“Lama-kelamaan, saya sendiri kena belajar daripada mereka. Alhamdulillah, apa yang saya ada sekarang ialah madu yang manis untuk dikongsikan dengan peminat,” ujar Neelofa sambil tersenyum.

Bercakap mengenai perkembangan terbaharu, Neelofa juga bakal menerbitkan sebuah program hiburan maya yang melibatkan beberapa selebriti popular tanah air.

Ogy diiktiraf

“Sejak bergelar selebriti, saya lebih banyak berinteraksi dengan peminat menerusi laman sosial. Jadi, saya mengambil pendekatan menerbitkan program hiburan berbentuk maya yang boleh ditonton secara online.

“Buat masa ini, saya sudah berbincang dengan rakan-rakan artis seperti Awal Ashaari, Nabil Ahmad, Hafiz Hamidun dan Fizo Omar. Jika diberi kesempatan, projek ini mungkin akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Selain kategori Bintang Paling Popular, kategori lain yang turut mendapat perhatian penonton ialah Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diberikan kepada bintang tersohor, Fauziah Ahmad Daud.

Sewaktu menerima anugerah tersebut, Fauziah atau lebih mesra disapa sebagai Ogy sempat berpesan kepada pelakon lain supaya tidak sesekali memandang enteng terhadap bidang hiburan sehingga sanggup melacurkan seni.

Bintang yang terkenal menerusi filem Azura dan Ali Setan itu menjelaskan, kebanyakan pelakon masa kini lebih memikirkan soal wang ringgit berbanding pencapaian dalam menzahirkan sesebuah naskhah.

Berbeza dengan senario yang pernah dilaluinya puluhan tahun lalu. Ogy menyifatkan pelakon baharu kurang serius dan tidak meletakkan sepenuh jiwa dalam lakonan.

“Zaman sekarang semuanya berpaksikan wang ringgit. Kebanyakan pelakon meletakkan kemampuan lakonan mereka berdasarkan bayaran yang diberikan. Itu tidak berlaku kepada pelakon dahulu. Perkara itu saya anggap sebagai melacurkan seni, iaitu meletakkan harga pada sesuatu yang kita suka lakukan.

“Saya sangat berharap perkara ini dapat dibendung dan tidak berlaku dengan kerap pada masa akan datang,” katanya yang layak digelar seniwati sejati.

Mengulas erti penghargaan yang diterima, aktres yang dilahirkan dalam keluarga seni itu berkata: “Saya berasa gembira dan dalam masa yang sama sedih kerana kedua ibu bapa (Saadiah dan Ahmad Daud) saya tidak dapat melihat saya menerima anugerah ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post