Rezeki berganda Raja Farah


Raja Farah dan suami, Iskandar Ismail yang berkahwin pada 6 September tahun lalu kini teruja menanti kelahiran cahaya mata sulung mereka menjelang Ogos nanti.

SEJAK mengumumkan kehamilannya, kelibat pelakon dan pengacara Raja Farah jarang kelihatan dalam mana-mana majlis hiburan. Laman sosialnya seolah-olah sengaja dibiarkan tanpa muat naik aktiviti terkini.

Justeru, pertemuan tanpa direncanakan dengan pemilik nama Raja Farah Raja Aziz pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri pereka Ezuwan Ismail baru-baru ini digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan bertanya khabar perkembangan terbaharunya.

Sesuatu yang menarik untuk dikongsikan, Farah, 29, menyifatkan kehamilan pertamanya itu sebagai suatu rahmat besar kerana ia disahkan selepas seminggu pulang daripada mengerjakan umrah bersama suami pada 18 sehingga 29 Disember tahun lalu.

KOSMO!: Lama tidak mendengar khabar Raja Farah. Bagaimana keadaan anda dan kandungan? Boleh kongsikan tentang usia kandungan terkini?

RAJA FARAH: Alhamdulillah, saya baik-baik sahaja, kandungan juga sihat. Sekarang usia kandungan sudah memasuki bulan keenam dan dijangka bersalin menjelang Ogos nanti. Saya dan suami sudah mengetahui jantina bayi dalam kandungan, cuma kami memilih menyimpan untuk pengetahuan sendiri sehinggalah dilahirkan nanti.

Boleh kongsikan pengalaman dan perasaan bakal bergelar ibu buat kali pertama?

Tiada perasaan lain melainkan ucapan syukur kerana diberi kesempatan menikmati tempoh hamil dan bakal menimang zuriat sendiri. Setakat ini proses kehamilan berjalan lancar, Saya tidak mengalami alahan, mengidam makanan pelik atau muntah. Cuma, sebelum mendapat tahu hamil, saya ada mengalami demam panas yang teruk. Selepas mengetahui sudah berbadan dua, barulah demam pulih. Saya sangat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk merasai pengalaman berbadan dua sama seperti kebanyakan wanita lain.

Beralih kepada perkembangan karier, adakah anda masih aktif dalam industri walaupun sudah berbadan dua?

Saya tidak lagi aktif dalam lakonan, tetapi masih dalam industri sebagai pengacara. Terbaharu, saya dilantik menjadi pengacara program Assalamualaikum di saluran TV AlHijrah yang bersiaran setiap hari, pukul 8 pagi hingga 10.30 pagi.

Saya juga baru dilantik menjadi duta festival Ramadan anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan dilantik sebagai jurucakap sebuah jenama produk susu kambing.

Insya-Allah, saya dan suami juga bakal membuka sebuah restoran di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam, Selangor. Jika tiada aral melintang, perniagaan yang kami usahakan iaitu nasi bungkus akan beroperasi pada Jun nanti.

Nampaknya rezeki anda semakin mencurah-curah selepas hamil, tetapi, bagaimana anda membahagi masa antara karier, rumah tangga tambahan pula sedang hamil?

Ya, betul. Saya pun tidak jangka semua rezeki ini akan datang bertimpa-timpa ketika hamil. Saya juga tidak sangka, impian untuk menimang cahaya mata dimakbulkan Tuhan dan dalam masa sama, dilimpahkan dengan rezeki lain.

Setakat ini, semua kerja berjalan lancar walaupun kandungan semakin sarat.

Untuk pengacaraan, mujurnya, saya tidak sendirian mengacarakan program Assalamualaikum, tetapi ada beberapa artis dan pengacara lain dengan slot berbeza mengikut jadual.

Dalam masa seminggu, saya hanya perlu mengendalikan dua atau tiga hari slot, jadi jadual tidaklah terlalu padat.

Untuk bisnes pula, sekarang ia diambil alih sepenuhnya oleh suami.

Bagaimana anda menguruskan banyak kerja dalam satu masa sementelah sedang hamil?

Walaupun agak sibuk, tetapi Alhamdulillah saya mempunyai seorang suami yang sangat memahami. Dia memberi perhatian penuh untuk saya dan kandungan. Kalau melihat saya terlalu kuat bekerja, suami akan tegur supaya jangan terlalu aktif dan nasihatkan supaya mempunyai rehat yang secukupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post