Ifa Raziah Pernah Ditentang Jadi Presiden Bintang


Ifa Raziah kini memikul tanggungjawab sebagai presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia atau Bintang.

Penyanyi Ifa Raziah memberitahu timbulnya pergolakkan ketika penubuhan Persatuan Bintang Dangdut Malaysia atau Bintang yang memperlihatkan dia dipilih sebagai presiden.

Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 41, berkata, kemelut itu berlaku disebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan persetujuan dicapai para ahli yang ingin melantiknya menerajui persatuan berkenaan.

"Apa yang boleh saya katakan memang benar pada awal penubuhan persatuan ini ada timbul isu daripada individu yang tidak senang melihat saya dipilih sebagai presiden.

"Tetapi saya duduk di kerusi berkenaan bukan dengan melantik diri sendiri tetapi adalah keputusan sebulat suara daripada ahli persatuan.

"Saya juga tidak mahu jawatan itu sebenarnya tetapi saya bulatkan hati kerana kepercayaan ahli terhadap saya menerajui persatuan Bintang Dangdut Malaysia," katanya kepada mStar Online.


Ifa bersama ahli persatuan Bintang Dangdut Malaysia.

Ifa berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran persatuan berkenaan di sini, Selasa.

Selain Ifa, Bintang turut memperlihatkan penyanyi lagu Angkat Kaki, Sheeda dilantik sebagai Timbalan Presiden, Amelina (Naib Presiden 1), Mas Idayu (Naib Presiden 2), Intan Maya (Bendahari) dan Ani Mayuni (Setiausaha Agung).

Dalam pada itu, Ifa berkata, keadaan tersebut bertambah keruh apabila individu berkenaan bertindak menghasut ahli lain untuk menentangnya namun bersyukur kesemua ahli masih berdiri teguh di bawah kepimpinannya.

Malah kata Ifa, dia bertambah yakin apabila penyanyi Mas Idayu dan Amelina memberikan mandat dan kepercayaan penuh kepadanya selain yakin dia adalah calon paling sesuai untuk membangungkan Bintang.

"Kejadian itu mematahkan semangat saya kerana saya tiada niat lain selain ingin melihat nasib penyanyi dangdut di negara ini terbela dan ingin kembali menyemarakkan irama itu dikalangan peminat.


Penyanyi dangdut veteran Zaleha Hamid menyuap pulut ke mulut Ifa pada majlis pelancaran persatuan itu.

"Jujur, saya langsung tidak dapat sebarang imbuhan buat kerja sebagai presiden tetapi kepercayaan dan harapan semua ahli jawatankuasa dan ahli membuatkan saya tidak peduli dengan tindakan yang ingin menentang saya," ujarnya.

Sementara itu, Ifa berkata, penubuhan persatuan berkenaan adalah untuk memperbetulkan persepsi dan pandangan masyarakat tentang perbezaan antara dangdut Malaysia, Indonesia, dangdut profesional dan sebaliknya.

Malah kata Ifa, menerusi tampuk kepimpinannya dia berharap dapat mengawal isu-isu hakcipta, gambar, hasil seni ahli-ahli yang digunakan tanpa kebenaran.

"Selain itu kami sedang merancang untuk mengadakan sebuah konsert dangdut tanpa henti pada penghujung tahun ini selain menghasilkan sebuah album kompilasi yang menyaksikan kami semua berduet menerusi empat buah lagu.

"Alhamdulillah di sebalik beberapa pergolakkan penubuhan persatuan ini banyak menyatukan kami penyanyi-penyanyi dangdut di Malaysia dan seronok dapat berkumpul dan merancang pelbagai perkara demi pembangunan irama tersebut," ujarnya.

Setakat ini kata Ifa, Bintang sudah mempunyai lebih daripada 22 ahli dan menjangkakan ahli persatuan itu akan terus meningkat pada masa depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post