Hanis, Hairul fokus berniaga


Hanis dan Hairul melancarkan koleksi pakaian raya sedondon wanita dan lelaki yang diberi jenama his & her baru-baru ini.

KEHAMILAN merupakan saat paling indah buat seorang wanita yang bakal bergelar ibu. Mungkin bagi sesetengah wanita, kehamilan pada trimester pertama menjadi waktu paling mencabar kerana perubahan hormon dialami akan menyebabkan ibu mengandung sering berasa loya dan muntah.

Pengalaman sama turut dirasai oleh pelakon dan pengacara, Hanis Zalikha yang kini sedang hamil anak pertama. Dalam keterujaan menanti cahaya mata pertama yang dijangka Jun nanti, isteri kepada pelakon Hairul Azreen itu mengakui, masih berdepan dengan masalah alahan walaupun sudah memasuki trimester ketiga.

Ditemui semasa pelancaran koleksi raya jenama pakaiannya, his & her di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur baru-baru ini, Hanis sempat berkongsi pengalaman kehamilan pertamanya.

“Alhamdulillah, kandungan saya sihat dan kami tidak sabar untuk menanti kelahiran bayi pertama yang dijangka sama dengan tarikh perkahwinan kami iaitu pada 5 Jun nanti.

“Kandungan saya juga sudah melepasi usia tujuh bulan, namun saya masih lagi mengalami alahan teruk walaupun kandungan sudah membesar. Agak mencabar sebenarnya.

“Pernah juga saya bertanya kepada ibu dan ibu mertua tentang pengalaman kehamilan mereka tetapi kedua-duanya mengakui hanya mengalami alahan biasa. Mungkin ini dugaan buat saya, semoga Allah permudahkan urusan ketika bersalin nanti,” ujar Hanis.

Ditanya pula tentang perancangan selepas melahirkan anak, sambil tersenyum Hanis berkata, dia kini selesa menguruskan bidang perniagaan yang baru diceburi bersama suami.

Malah, pelakon filem Gangster Celop itu juga telah mengambil keputusan untuk berehat daripada bidang lakonan. Baginya keutamaan harus diberikan kepada anak dan suaminya.

“Tidak dinafikan, sekarang rezeki saya dan suami lebih berpihak kepada perniagaan. Insya-Allah, akan datang pun kami akan melancarkan satu lagi produk baharu, jadi saya rasa lebih baik untuk berhenti dahulu buat sementara daripada dunia lakonan, lebih-lebih lagi selepas anak kami lahir nanti.

“Bagaimanapun, saya mungkin akan mempertimbangkan tawaran pengacaraan kerana komitmennya lebih fleksibel dan tidak memerlukan masa yang panjang di lokasi seperti lakonan,” katanya.



Seronok berniaga

Sementara itu, Hairul turut bersetuju dengan keputusan yang diambil Hanis. Mereka kini seronok menguruskan dan melihat impak sambutan peminat terhadap perniagaan yang baru dijalankan sejak beberapa bulan lepas.

“Apabila isteri mengambil keputusan untuk perlahankan kerjaya seninya, saya sangat bersetuju. Saya juga sudah tidak aktif berlakon kerana tidak mahu terikat dengan jadual yang panjang. Sebenarnya, kami semakin seronok menjalankan perniagaan,” ujar Hairul tertawa.

Berbicara mengenai koleksi pakaian raya his & her pula, Hairul berkata, idea untuk mengeluarkan koleksi tersebut muncul selepas melihat sambutan peminat terhadap tudung keluaran Hanis yang diberi nama Cakenis pada penghujung tahun lalu.

Bertitik tolak dari situ, dia berkongsi idea bersama isterinya menghasilkan 60 rekaan pakaian lelaki dan perempuan secara sedondon.

“Selepas tudung Cakenis, kami mula merancang untuk mengeluarkan koleksi his & her. Perancangan yang dibuat untuk koleksi ini tidak mengambil masa lama, cuma dua hingga tiga bulan sahaja untuk menyiapkannya.

“Jika mendapat sambutan baik, kami akan mengeluarkan koleksi lain pula pada masa akan datang,” simpul Hairul Azreen.

Post a Comment

Previous Post Next Post