Kata bidalan, tak hidup dek puji, tak mati dek keji. Setinggi mana pun pujian dan populariti diraih, lelaki bernama Zul Ariffin cukup sedar, dia tidak banyak pilihan selain meneruskan kehidupan sebagai seorang selebriti dan mencuba yang terbaik dalam melestarikan karier sebagai anak seni. Segala yang dimilikinya tidak kekal jika hanya duduk bergoyang kaki menunggu bulan jatuh ke riba.
Anak jati kelahiran Perak itu juga tidak mahu kisah peribadi mendahului perbualan khalayak berbanding pencapaian karier, sebaliknya bergerak seiring dengan bakat dan kemampuan lakonan.
Baginya, biarlah kisah putus kasih dengan penerbit filem terkemuka tanah air, Gayatri Su-Lin Pillai masih diperkatakan ramai atau perkongsian hubungan cinta dengan pelakon jelita Zahirah MacWilson masih disimpan kemas. Pelakon yang mencuri perhatian khalayak menerusi drama Rindu Awak 200% itu ternyata semakin matang pada tangga usia berbaki setahun lagi sebelum menjejakkan kaki ke angka 30.
Terbaharu, dia kini diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam sebuah filem terbitan kerjasama Grand Brilliance dan Infinitus Productions berjudul J Revolusi. Melakonkan watak sebagai Jay Zulkarnain, Zul yang ditemui usai majlis pelancaran filem berkenaan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini sempat berkongsi tentang perkara tersebut.
“Alhamdulillah, ini adalah penampilan pertama saya di layar perak memegang watak utama. Perasaan gementar memang tidak dapat dielakkan, apatah lagi berlakon dengan nama-nama besar yang lain yang memang sudah sinonim di layar perak.
“Demi tidak mahu fokus terganggu, saya mengelak daripada menerima sebarang tawaran sepanjang penggambaran berlangsung. Saya ingin memastikan tiada perkara lain perlu dihiraukan melainkan penggambaran 40 hari filem J Revolusi,” ujar Zul.
SYUKUR Untuk menghasilkan sebuah karya terbaik, Zul percaya perlu bekerja dengan pasukan yang terbaik. Dia bersyukur kerana diberi kepercayaan berlakon dengan nama-nama besar seperti Fazura, Izara Aishah dan Farid Kamil.
Hero drama ke filem
Menariknya, filem yang bakal menjengah pawagam sekitar suku pertama tahun 2017 tersebut menjadi filem tanah air pertama memaparkan kisah kecekalan pasukan polis Unit Tindakan Khas (UTK). Selain Zul yang memegang watak utama, beberapa pelakon ternama lain seperti Nur Fazura, Izara Aisyah dan Farid Kamil turut terlibat.
Diajak berbicara mengenai cabaran melakonkan watak pegawai UTK, Zul memberitahu bahawa banyak perkara yang terpaksa dikorbankan bagi memastikan tanggungjawabnya melakonkan watak besar dalam filem tersebut berjalan lancar.
“Saya menjalani latihan intensif lebih kurang dua bulan sebelum turun ke set penggambaran. Memang sangat memenatkan tetapi berbaloi apabila dapat memberikan apa yang pengarah mahukan.
“Menjayakan watak sebagai seorang pegawai UTK bukan mudah. Setahu saya, ini merupakan pertama kali cerita yang memaparkan kehidupan pasukan UTK Polis Diraja Malaysia (PDRM) diangkat ke layar perak. Saya berbangga kerana diberi kepercayaan menjayakan watak tersebut,” ujarnya.
Cerita Zul lagi, dia juga terpaksa menjaga pemakanan selain melakukan rutin di gimnasium dengan lebih kerap berbanding kebiasaan.
“Untuk menjayakan watak Jay, saya tidak boleh kelihatan terlalu besar. Jika sebelum ini berat badan saya 93 kilogram (kg), saya terpaksa turunkan menjadi 82kg dan sekarang berat badan saya sudah kembali naik sebanyak 5kg.
“Dalam filem ini terdapat babak saya bergaduh dengan wanita (Izara Aishah). Saya fikir tidak molek jika penonton melihat saya terlalu besar, rasa macam peti ais pula sedang berlawan,” kongsinya sambil tertawa.
Profesional
Memandangkan sebelum ini pernah ada sebuah filem kepolisan lain berjudul Polis Evo mencatat fenomena tersendiri, sedikit persamaan antara J Revolusi dengan Polis Evo, Zul diminta mengulas tentang persamaan yang mungkin wujud dalam J Revolusi.
Filem J Revolusi merupakan filem pertama yang mengangkat nama Zul memegang watak hero di layar perak. Berbaki lebih kurang dua minggu di set penggambaran, Zul menolak sebarang tawaran lakonan bagi memberikan fokus penuh kepada filem arahan Zulkarnain Azhar itu.
“Polis Evo merupakan sebuah filem yang bagus. Saya turut berbangga dengan kejayaan filem tersebut walaupun saya tidak terlibat di dalamnya. Apa yang boleh saya katakan, walaupun masih sebuah filem kepolisan, J Revolusi berbeza berbanding filem aksi yang pernah menjengah pawagam sebelum ini.
“Saya tiada masalah apabila orang membandingkan filem lakonan saya dengan filem aksi lain seperti Polis Evo. Itu memang hak mereka sebagai penonton dan pendapat khalayak pula bersifat subjektif.
“Saya hanya perlu memberikan persembahan lakonan terbaik. Pujian atau kritikan selepas ini tidak mematahkan semangat atau membuatkan saya tertekan,” kata Zul optimis.
Bagi khalayak yang benar-benar mengikuti perkembangan aktor berbadan sasa tersebut, Zul sendiri membina nama menerusi drama bersiri Gerak Khas. Kata Zul, pengalaman berlakon dalam drama tersebut sedikit sebanyak membantu corak lakonannya menerusi J Revolusi.
“Kalau tidak ada pengalaman berlakon dalam Gerak Khas dahulu, mungkin saya kekok untuk berlakon dalam filem ini. Gerak Khas membantu saya mendalami dunia kepolisan. Misalnya, bagaimana ingin memegang senjata dengan cara yang betul dan bahasa tubuh yang tepat,” ujarnya.
Diajak bercerita tentang perihal yang agak peribadi, Zul seperti sudah dapat menjangkakan persoalan yang bakal disua ke mukanya.
Tenang mengulas kerjasama dengan bekas kekasih, Gayatri Su-Lin Pillai yang bertindak sebagai penerbit filem berkenaan, kata Zul: “Gayatri dan saya mengambil pendekatan profesional. Sejak dari awal lagi saya sudah beri amaran kepadanya. Kalau dia rasa saya tidak cukup bagus untuk filem ini, jangan ambil saya berlakon.
“Namun pihak produksi tetap inginkan penglibatan saya. Mulanya saya fikir hanya diperlukan untuk isi watak sampingan, tidak sangka pula dapat watak utama.”
Tambah aktor yang pernah membintangi filem-filem seperti Penanggal, Evolusi KL Drift 2 dan Bikers Kental itu: “Saya rasa ini rezeki yang cukup besar memandangkan selama ini, saya banyak disogokkan dengan drama cinta dan romantik.”
Filem J Revolusi mengisahkan Jay Zulkarnain (Zul), seorang pegawai UTK terlatih dan bertugas memerangi pengganas negara.
Konflik bermula apabila adik perempuannya, Dian (Nur Fazura), seorang ejen penyamaran ditangkap oleh pengganas kerana dendam. Jay perlu bertindak, selain menyelamatkan adiknya, dia juga harus membongkar rahsia ketua pengganas yang mahu menghancurkan hidupnya itu.