Anzalna Nasir bersama suaminya, Hanif
BIARPUN sudah hampir tiga bulan mendirikan rumah tangga, pelakon cantik, Anzalna Nasir, 28, mengakui belum bersedia untuk kembali bekerja.
Jelas pelakon yang terkenal menerusi drama Memori Cinta Suraya ini, faktor jarak dan masa membuatkan dia lebih selesa menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dari bekerja.
"Alhamdulillah, Anzalna kini masih lagi dalam mood bulan madu. Malah kalau kami rasa nak bercuti, kami hanya pergi tanpa merancang apa-apa.
"Selain itu, Anzalna juga uruskan rumah tangga seperti memasak dan Anzalna bersyukur kerana suami sangat mudah dijaga dan tidak cerewet soal pemakanan," katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Mohamad Hanif Mohamad Zaki, 28, pada 21 Februari lalu.
Tambah Anzalna, dia juga ada menerima beberapa tawaran berlakon, namun semuanya terpaksa ditolak buat masa ini.
Bagaimanapun, Anzalna menjelaskan dia masih lagi aktif dalam bidang seni kerana akan memasuki set penggambaran selepas raya.
"Selain sibuk dengan tugas sebagai isteri dan suri rumah tangga, Anzalna sibuk juga menguruskan perniagaan Anzalna iaitu Anzel.
"Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan sampai ada kalanya Anzalna rasa lagi seronok berniaga kerana pendapatan lebih lumayan dari berlakon.
"Tapi tidaklah bermakna Anzalna akan berhenti berlakon kerana berlakon juga adalah minat Anzalna," katanya yang ditemui pada pelancaran koleksi raya Cosry, kelmarin.