DIATUR - Irina, adik perempuan Maya merupakan individu yang mengatur pertemuan antara dia dan jejaka Inggeris yang sedang dikenalinya.
BERTAHUN sudah berlalu, tidak terduga masa berjalan begitu pantas sehingga menjadikan usia pelakon Maya Karin bergelumang dalam dunia seni kini mencecah 15 tahun.
Berdepan dengan pelbagai onak duri demi gelaran anak seni, wanita kelahiran Bayreuth, Jerman itu tanpa sedikitpun rasa mengalah meneruskan minat dan impian dalam industri hiburan tempatan.
Menjadikan kerjaya model sebagai tapak mencipta nama dalam industri hiburan, Maya kemudian mengorak langkah bergelar bintang filem dan penyanyi.
Biarpun kerjaya di pentas nyanyian tidak sehebat lakonan, Maya enggan menjadikan itu sebagai alasan untuk dia meletakkan noktah sekali gus dibiarkan begitu saja segala usahanya selama ini.
Berdepan dengan cabaran, Maya tetap membulatkan hati untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi biarpun sebelum ini dia pernah mengibar bendera putih selama lapan tahun namun kemunculan album ketiganya sekitar awal 2014 membuka lembaran baharu dalam dunia nyanyian.
Tidak perlu diungkit cerita lama, Maya kini sedang giat mempromosikan lagu duetnya bersama Juzzthin berjudul Serik Dengan Cinta.
Kembali aktif dalam bidang nyanyian, Maya tidak melepaskan tawaran untuk membuat persembahan di acara World Youth Jazz Festival 2016 (WYJF20016) yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 Mei ini.
Mengangkat tema By The Youth, With The Yourth, For The Youth, Beyouthful, Maya bersama barisan artis antarabangsa mengalunkan muzik jaz yang diadakan secara percuma di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Jelas terpancar aura keterujaan di wajahnya, Maya mengakui sukar menolak tawaran tersebut sementelah dia kini sedang rancak merencana agenda seni suaranya.
“Bukan semata-mata kerana meminati genre muzik jaz, tetapi saya menerima tawaran itu kerana melihat ini adalah peluang keemasan selain berpeluang membuat persembahan bersama selebriti antarabangsa.
“Paling menarik, saya diberi peluang untuk membuat persembahan selama 40 minit pada malam kemuncak festival tersebut iaitu pada 8 Mei,” jelas pelakon berusia 37 tahun itu.
Mendapat sentuhan daripada pengarah muzik, Michael Veerapen, Maya akan mendendangkan beberapa buah lagu milik penyanyi jaz legenda seperti Nina Simone dan Ella Fitzgerald termasuk lagu popular masa kini yang diberi nafas jaz.
Demi menimbulkan mood jaz, Maya memberitahu, hampir setiap masa dia akan mendengar lagu jaz tidak mengira sama ada baharu mahupun klasik menerusi telefon bimbitnya atau pemain muzik mp3.
Mengakui bukan satu tugas mudah untuk membudayakan genre jaz dalam kalangan khalayak sementelah muzik tersebut sering dikaitkan dengan strata elit.
“Saya meminati genre muzik jaz tetapi disebabkan pasaran tempatan yang agak terhad menyebabkan peluang untuk komersialkan lagu-lagu tersebut terbatas,” tutur Maya dalam nada sedikit kecewa.
Gemar watak berat
Biarpun nada suaranya kedengaran sedikit kecewa terhadap penerimaan peminat terhadap genre muzik jaz, Maya akhirnya mengukir senyuman tatkala bercerita soal kerjaya lakonan.
Tidak dinafikan, kanvas layar perak telah melonjakkan namanya sehingga lakonannya mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik 2004 yang berlangsung di Fukuoka, Jepun dan Festival Filem Estepona Fantasy and Terror 2005 di Malaga, Sepanyol menjadikan Maya terkenal dengan jolokan puntianak jelita.
Disebabkan anugerah tersebut diperoleh daripada filem Pontianak Harum Sundal Malam, Maya dilihat seperti sukar untuk melepaskan diri daripada terus dikaitkan dengan naskhah bercorak seram.
“Sukar untuk saya beri pandangan terhadap apa yang dikatakan peminat. Mungkin watak tersebut meninggalkan impak besar sehingga sukar mereka lupakan.
“Secara peribadi saya sendiri agak tertarik untuk berlakon dalam filem bergenre seram mahupun misteri kerana karakter yang dibawa lebih mencabar serta dilakukan kajian terlebih dahulu,” katanya sambil melepaskan ketawa kecil.
Meskipun kecenderungannya ke arah filem seram, Maya tidak menafikan dirinya selesa membawa watak sebagai wanita lincah yang ceria terutama bercorak romantik komedi.
Dilihat lebih santai dan bersahaja, bagi Maya sesekali dia perlu mencabar diri untuk melihat kemampuan diri dalam menzahirkan pelbagai watak tidak mengira sama ada antagonis mahupun protagonis.
Kerjaya belakang tabir
Memulakan kerjaya di hadapan kamera sejak lebih sedekad lalu menjadikan anak sulung kepada tiga beradik itu mula terdetik untuk menerokai apa yang berlaku di belakang tabir.
Merasakan telah tiba masanya dia mempelajari selok-belok bergelar tenaga produksi, Maya berpendapat bahawa dia perlu mula menghadiri kelas secara serius terutama berkaitan penulisan skrip.
Tidak segan dalam menuntut ilmu, Maya turut meminta pandangan daripada golongan profesional terutama pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan penerbit filem untuk mengetahui tindakan yang perlu diambil sebelum membuat keputusan.
“Saya mula melatih diri untuk mempelajari apa yang berlaku di sebalik kamera kerana sejak awal penglibatan dalam dunia seni, hampir 99 peratus tenaga dihabiskan di hadapan kamera.
“Usia sekarang menyebabkan saya sendiri berfikir bahawa sampai bila hendak bergelar pelakon tanpa mengetahui apakah cabaran bergelar pengarah, penerbit mahupun penulis skrip,” ujar pelakon filem Pisau Cukur itu.
Bersyukur kerjaya seninya berjalan lancar, Maya membetulkan helaian rambutnya yang dibiarkan mengurai di dahi. Maya mengakui dia perlu mengurangkan masa rehat atau bercuti panjang demi mengejar cita-cita kerjaya di belakang tabir.
Cinta hati
Menghampiri tangga usia 40 tahun, kejelitaan wajah yang dimiliki wanita berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu masih berbaloi, malah tidak sedikit pun pudar.
Selesa berstatus solo selepas bercerai pada 2010, Maya tidak menafikan dirinya kini dalam fasa mengenali hati budi seorang lelaki ‘mat saleh’ yang menetap di kota London.
Terpisah disebabkan jurang jarak antara Malaysia dan Britain, Maya bagaimanapun menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk menduga masa depan hubungannya.
“Saya memang sedang mengenali seseorang tetapi masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana segalanya terpulang kepada jodoh dan ketentuan Tuhan.
“Sepanjang perkenalan personaliti dan sikap yang dimilikinya membuatkan saya selesa untuk terus berkawan dengan dia,” kata Maya sambil tersenyum.
Biarpun ditebak dengan soalan sama, Maya nyata sudah lali apabila diajukan perihal pasangan hidup mahupun keinginannya untuk kembali menyandang status isteri.
Tidak berasa terlalu tertekan dalam soal jodoh, pelantun lagu Teka Teki itu lebih selesa memberi tumpuan terhadap kerjaya daripada terus memikirkan tentang pemilik belahan hatinya.