SIDANG akhbar pelancaran single terbaharu penyanyi Wani Kayrie bertajuk Berteman Saja di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.
IMPAK mendapat lebih tiga juta penonton melalui klip video single pertama, Jangan Jangan sekali gus berjaya melonjakkan nama Wani Kayrie sebagai pendatang baharu dalam industri muzik tempatan.
Serius mengejar minat dan cita-cita menjadi seorang penghibur, kini sekali lagi Wani hadir dengan single keduanya berjudul Berteman Saja. Berani mencuba genre berlainan, kekuatan vokal gadis berusia 16 tahun ini benar-benar diuji melalui lagu balada hasil sentuhan Zul 2 By 2.
Tersenyum manis saat diajukan soalan mengenai single tersebut, gadis yang pernah menjuarai rancangan realiti terbitan Astro, Kamilah Bintang pada tahun 2010 itu jujur mengakui lagu tersebut sangat mencabar buatnya.
Ujar Wani, selain menguji vokal penyanyi baharu sepertinya, lagu tersebut juga memerlukan penghayatan tinggi.
“Sejujurnya memang lagu ini sangat susah buat saya jika hendak dibandingkan dengan Jangan Jangan. Semasa rakaman single pertama yang dihasilkan oleh DJ Fuzz itu, saya cuma mengambil masa sehari menyiapkan lagu tersebut, kemudian tahu-tahu ia sudah siap dan dimainkan di radio.
“Namun untuk single kedua, saya mengambil masa agak lama untuk merakamkannya. Pertama kali masuk ke studio pada tahun lalu ramai mengatakan saya bernyanyi tanpa sebarang penghayatan dan perlu membuat latihan vokal dengan lebih kerap,” katanya yang ditemui semasa pelancaran single Berteman Saja di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Melanjutkan bicara, penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, biarpun pernah tertekan dengan komen yang diberikan semasa merakamkan lagu tersebut, namun dia akhirnya sedar dan menganggap itu sebagai kritikan membina.
“Diakui ketika itu semangat saya untuk meneruskan rakaman lagu Berteman Saja agak luntur, namun selepas itu saya bangkit dan mula memperbaiki kelemahan untuk kebaikan masa akan datang.
PENYANYI Wani Kayrie (tengah), bersama komposer Zul 2by2 (kiri) dan Pengarah Urusan SRC, Edwin Tan melakukan gimik pelancaran single terbaharu Wani Kayrie yang bertajuk Berteman Saja di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Setiap pagi saya akan membuat senaman ringkas untuk menjaga stamina dan apabila pulang dari sekolah pula, saya akan berlatih vokal. Saya nekad untuk memperbaiki kelemahan ini kerana jika saya bernyanyi dengan teruk itu bermakna akan memalukan diri sendiri,” ujarnya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records (SRC).
Pilihan tepat
Sementara itu, bagi penulis lagu Berteman Saja, Zul 2 By 2 pula menyifatkan pemilihan Wani sebagai pelantun untuk karyanya adalah tepat.
Ujarnya, yang disifatkan istimewa itu sangat bersesuaian dengan tahap vokal yang dimiliki Wani.
“Pada mulanya saya ciptakan lagu ini untuk penyanyi di Indonesia tetapi selepas berbincang dengan SRC, mereka mencadangkan untuk saya memberikan lagu tersebut kepada Wani.
“Setelah melalui proses pra- rakaman, saya terus bersetuju untuk memberikan lagu ini kepada Wani kerana dia memiliki vokal yang bagus,” katanya.
Ditebak dengan kebolehan Wani untuk membawakan lagu balada bernada tinggi, Zul mempunyai alasan tersendiri.
“Lagu balada memang nampak mudah tetapi untuk membawakan lagu tersebut ia memerlukan stamina dan vokal terbaik. Sebab itu, saya meminta Wani untuk melalui sesi prarakaman.
“Setelah itu, dia juga melalui beberapa proses rakaman lain untuk penambahbaikan. Ternyata Wani sesuai dengan lagu ini. Jika diberikan kepada orang lain, saya rasa mungkin mereka tidak dapat memberikan penghayatan seperti yang saya mahu,” jelas Zul.