SELEPAS enam tahun, sekuel Alice In Wonderland, Alice Through The Looking Glass kini bakal menemui penonton di Malaysia pada 11 Ogos depan.
Jika dalam filem terdahulu, Alice telah berjaya menumpaskan Red Queen, kali ini Alice perlu kembali ke Wonderland untuk menyelamatkan sahabatnya Mad Hatter (Johnny Depp).
Menerusi trailer yang sudah dimuat naik oleh Walt Disney Studios baru-baru ini Alice (Mia Wasikowska) merelakan dirinya untuk berubah menjadi Time (Sacha Baron Cohen).
Selain karakter Time, ada juga karakter baharu yang akan tampil di filem arahan James Bobin iaitu Rhys Ifans sebagai Zanik Hightopp, ayah Mad Hatter.
Manakala pelakon dari filem terdahulu iaitu Anne Hathaway, Helena Bonham, Alan Rickman, Stephen Fry, Michael Sheen dan Timothy Spall akan kembali menemani Alice.
Bercerita lanjut mengenai pembikinan filem ini, Bobin berkata, dia baharu menyelesaikan filem Muppets Most Wanted ketika mereka berbincang mengenai sekuel Alice In Wonderland.
"Saya beritahu mereka saya tahu kisah Alice kerana di England, buku mengenai kisah Alice In Wonderland begitu mudah didapati dan dari zaman kecil lagi saya sudah didedahkan dengan cerita ini.
"Jadi mereka (Disney) berkata, mengapa tidak untuk saya menjayakan filem ini pula dan saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran mereka," katanya.
Tambah Bobin, filem ini memberi satu pengalaman baharu kepadanya dan dia perlu mengendalikan imej janaan komputer (CGI) pada skala yang lebih besar.
"Saya bukan sahaja perlu mengendalikan CGI tetapi juga perlu memastikan jalan cerita dan susunan filem ini lebih menarik.
"Bukan bermaksud saya mahu menandingi hasil kerja Tim Burton menerusi filem terdahulu, tetapi saya mahu memastikan penonton puas dengan hasil kerja saya ini," jelasnya.
Mengakui sekuel kali ini tampil dengan jalan cerita yang lebih konflik, Bobin berkata, dia berharap penonton akan menerima apa yang dilakukan untuk filem ini.
"Ia bukan sahaja menampilkan jalan cerita yang hebat, tetapi juga pelakon yang hebat.
"Anda perlu saksikan lakonan Depp yang menjadi gila di dalam filem ini (ketawa)," ujarnya.