Nas merakamkan lagu terakhir ciptaan komposer terkenal Allahyarham Adnan Abu Hassan berjudul Gadis Itu.
Peserta Kilauan Emas Otai iaitu Mohammad Nasiruddin Mohd Hashim mengakui berasa ralat tidak dapat menyiapkan lagu ciptaan komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan berjudul Gadis Itu kerana sibuk dengan pertandingan program berkenaan.
Mohammad Nasiruddin atau Nas, 45, berkata, sebelum ini dia sempat bertemu Adnan untuk berbincang tentang lagu berkenaan selain sudah diberikan lirik untuk dihafal.
"Saya ralat betul kerana sepatutnya saya rakamkan lagu ini sebelum program Kilauan Emas Otai tetapi kerana sibuk dengan persiapan untuk bertanding hasrat rakaman sentiasa bertangguh sehinggalah saya diberitahu berita kematian Allahyarham.
"Bagaimanapun saya sempat menghadiri beberapa sesi bersama Adnan untuk mendengar melodi dan beliau ada memberitahu kemahuannya sebelum saya memasukkan vokal," katanya kepada mStar Online.
Pada peringkat akhir pertandingan itu yang diadakan pada Rabu lalu, Mustaffa Rasyid Abd Jabar atau Mustar, 47, muncul sebagai juara Kilauan Emas Otai dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000.
Nas sebak ketika merakamkan lagu Gadis Itu.
Nas bagaimanapun terpaksa berpuas hati di tempat terakhir dan menerima hadiah wang tunai RM10,000.
Dalam pada itu, Nas berkata, dia bersyukur kerana adik Allahyarham iaitu Azman Abu Hassan mengambil tanggungjawab untuk menyiapkan lagu berkenaan dan ia telah pun siap dirakamkan baru-baru ini.
Bagaimanapun kata Nas, semasa proses tersebut dia tidak dapat menahan rasa sedih kerana terkenangkan pengalaman bersama Adnan.
"Apabila saya lihat wajah Azman saya teringkatkan arwah dan menjadi sebak tetapi Alhamdulillah kami berjaya menyiapkan lagu berkenaan.
"Saya rasa seperti sudah melunaskan amanahnya dan berharap lagu itu nanti dapat diterima peminat," katanya.
Adnan Abu Hassan.
Sementara itu, Nas berkata, dia akan sentiasa mengingati Adnan yang dianggap seperti abangnya kerana banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar.
Jelasnya lagi, keserasian yang wujud diantara mereka membuatkan dia selesa bekerjasama dengan komposer terkenal itu.
"Siapa menyangka saya berpeluang bekerjasama dengan seorang legenda dan kami mempunyai keserasian yang cukup baik.
"Terlalu banyak nasihat dan tunjuk ajar diberikan yang tidak akan saya lupakan selama-lamanya," jelasnya.
Selain Gadis itu, Nas pernah merakamkan sebuah lagi lagu bersama Adnan iaitu Dirasuk Asmara.
Adnan, 57, meninggal dunia pada 18 Mac lalu selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk buah pinggang dan angin ahmar.