JIKA suatu masa dahulu nama selebriti cantik ini amat sinonim dengan dunia drama mahupun filem tempatan tetapi sekarang tidak lagi.
Mengakui bidang seni semakin jauh daripada dirinya, empunya nama Nurdiyana Amir Hashim ini tidak pernah merasa kesal kerana kurang aktif sebagai seorang pelakon.
Sebaliknya, dia menganggap semua itu punya hikmah tersendiri sejak bergelar isteri dan seorang ibu.
Baginya, keputusan diambil adalah tepat kerana kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia di samping keluarga tercinta.
Berbicara mengenai kehidupannya kini, jelas Diana Amir, dia sedar mungkin peminat semakin melupakan kehadirannya dalam bidang seni.
“Terpulang kepada peminat-peminat saya sendiri, mereka punya pandangan dan hak masing-masing.
“Walaupun saya sudah tidak aktif sebagai pelakon tetapi saya masih dikenali sebagai hos-hos program keagamaan atau kerohanian,” katanya.
Tambah wanita berusia 29 tahun ini, dia sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan ALLAH SWT.
“Rezeki di mana-mana, bahkan sehingga kini apa sahaja aktiviti yang melibatkan saya, masih ramai yang menyokong di belakang,” katanya.
Diaju pertanyaan apakah dia benar-benar akan meninggalkan dunia lakonan, kata pelakon filem Salam Cinta ini, bukan tidak merindui kerjaya itu tetapi kekangan masa membuatkan dia lebih selesa memberikan fokus kepada perkara sepatutnya.
“Saya sedar tanggungjawab sebagai isteri dan ibu amat besar. Apa sahaja saya lakukan perlu mendapat persetujuan suami (Mohd Habibbullah A Rahman) dahulu.
“Walaupun dia tidak pernah menghalang tetapi sebagai isteri saya tahu batas-batasnya.
“Lagipun anak dalam proses pembesaran, saya mahu melihat dia membesar di depan mata,” kata ibu kepada Khawlah Al-Azwar ini.
Baginya, keluarga adalah segala-galanya dan mereka menjadi keutamaan Diana.
“Sebenarnya saya tidak kisah sangat berlakon, asalkan jadual atau skrip yang diberikan tidak bertentangan dengan jadual kerja serta pegangan saya,” katanya.
Bagaimana pun, penglibatannya sebagai hos program Al-Hidayah tetap berjalan seperti biasa.
“Kerjaya hos tidak memerlukan masa panjang dan meninggalkan anak. Cuma, tidak lama lagi saya akan terlibat dengan penggambaran di luar negara yang memerlukan saya meninggalkannya.
“Ia pengalaman mencabar bagi saya, bagaimana pun, saya terpaksa dan saya harap semuanya baik-baik sahaja,” katanya.
Selain itu, Diana sibuk dengan undangan sebagai penceramah di institusi pengajian tinggi dan program-program islamik.
Berbakti menerusi kelas usrah
Ditemui di majlis doa selamat sempena pembukaan kelas usrahnya bertempat di Petaling Jaya Convention Centre (PJCC), Diana memberitahu, impian untuk membuka kelas usrah tersebut telah lama terbuku di hati.
“Sebelum ini, saya sering mengikuti kelas usrah bersama rakan-rakan lain. Ketika itulah saya terfikir mengapa tidak saya sendiri membuka sebuah kelas usrah.
“Apabila saya suarakan perkara ini kepada suami, alhamdulillah, dia turut menyokongnya.
"Malah, dia banyak membantu merealisasikan kelas usrah ini,” katanya.
Berkongsi pendekatan diambil untuk membuka kelas usrah itu, akuinya, dia berharap inisiatif tersebut menjadi jalan dia berbakti kepada masyarakat.
“Saya harap dengan kelas percuma ini, lebih ramai orang akan menyertai saya dan mendapat manfaat,” katanya.
Ujar Diana, kelas tersebut dibuka bersama dengan beberapa rakan-rakannya.
“Saya buka setiap hari Rabu bermula jam 8.30 malam selama dua jam dan terdapat empat slot berbeza mengikut minggu iaitu fiqah, umum, sirah dan tarbiah serta akhlak dan tauhid.
“Jadi jangan segan-segan untuk sertai saya kerana banyak ilmu akan didapati daripada kelas usrah ini,” katanya kelas usrah itu berfokus kepada hukum-hakam dalam agama Islam.
Kerana itu Diana mengambil konsep kekeluargaan bagi kelas usrah tersebut supaya mereka yang hadir membawa keluarga bersama.
“Di sini terdapat sudut untuk ibu-ibu yang mahu menyusukan anak mereka, ruang solat dan ruang bagi kanak-kanak,” katanya.
Antara ustaz terlibat bagi kelas usrah ini adalah Ustaz Hafiz Mansor, Ustaz Hafizullah Abdul Aziz, Ustaz Zul Ramli Razali, Ustaz Fahmi dan Ustaz Hosnee.
Pada majlis tersebut, Adam Corrie antara rakan artis yang hadir memberikan sokongan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kelas usrah ini, boleh layari Instagram Diana di www.instagram.com/dianaamir atau pun emel melalui daemovement@gmail.com.