GOLONGAN artis menceburi bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia semakin menjadi pilihan di kalangan mereka untuk menambah pendapatan sedia ada dengan memperkenalkan pelbagai produk keluaran sendiri.
Usia bukan penghalang, selepas tampil dengan imej bertudung, pelakon cilik Mia Sara turut tertarik untuk melakukan perkara yang sama dengan melancarkan jenama pakaiannya sendiri iaitu MS Couture.
Menurut bintang telefilem Strawberi Karipap Hello Gold Coast ini, idea untuk memulakan perniagaan tersebut timbul sejak penghijrahannya pada Disember lalu.
"Alhamdulillah, saya mula berjinak-jinak dalam bidang ini sejak awal Januari lalu selepas pulang daripada menunaikan umrah.
"Saya bermula dengan menghasilkan tudung terlebih dahulu sebelum mengembangkannya kepada baju kurung dan jubah.
"Sebenarnya, perancangan untuk perniagaan ini adalah merupakan salah satu matlamat untuk jangka masa yang panjang buat diri saya untuk memiliki perniagaan dengan jenama sendiri," katanya pada majlis pelancaran MS Couture, baru-baru ini.
Bercakap lebih lanjut mengenai jenamanya itu, Mia memberitahu setakat ini dia memperkenalkan tiga jenis tudung, Muna Sumiyah, Shuhrah dan Mahabbah dengan kualiti terbaik yang direka khas untuk golongan ibu dan kanak-kanak.
"Setiap satu rekaan tudung ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri dan yang paling penting adalah kualiti untuk menjamin keselesaan kepada mereka yang memakainya.
"Begitu juga dengan jubah, kita telah hasilkan tiga rekaan seperti Marissa, Sofia dan Madeena. Dan satu rekaan baju kurung moden yang diberi nama Samira," katanya yang gembira dengan sambutan baik terhadap perniagaannya itu.
Dalam perkembangan lain, Mia memberitahu dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama Strawberry & Karipap.
“Selain perniagaan, saya bersyukur karier lakonan masih berjalan dengan baik dan kalau boleh saya mahu seimbangkan kedua bidang ini," katanya.