Black Hanafiah, Masih Di Sini Hadiah buat peminat


SETIAP tahun, penyanyi ini pasti menampilkan nyanyian yang menghiburkan. Tambahan pula vokal mantap yang dimiliki juara program Mentor musim ketiga ini tidak pernah mengecewakan.

Lagu Aku Rindu Sayang Kamu, Sofea Jane dan Leia antara karya yang berjaya melonjakkan namanya di persada industri hiburan tanah air di awal kemunculannya.

Selepas menampilkan Obsesi pada 2011, kini Black Hanafiah atau Black tampil dengan album terbarunya, Black...Masih Di Sini.

Lima tahun bukanlah tempoh masa pendek untuk menghasilkan sesebuah album, namun Black memiliki alasan tersendiri.

“Alhamdulillah, akhirnya album ini dapat juga dilancarkan. Bagi saya, ini adalah satu penantian yang penuh onak duri kerana masa yang diambil agak panjang.

“Dalam menghasilkan album, saya menitik beratkan kualiti karyanya dan kalau boleh saya bukan hanya mahu ia menghiburkan peminat saya malah akan memberi impak yang positif dalam kehidupan mereka.

“Saya mahu berterima kasih kepada pihak yang sering menyokong kerjaya saya dari awal sehingga kini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran album Black...Masih Di Sini, baru-baru ini.



Mengulas lanjut mengenai buah tangan terbarunya itu, Black memberitahu ia memuatkan sebanyak lima single yang pernah dilancarkan sebelum ini seperti Teman Pengganti, Puisi Sang Dewi, Mana Mungkin, Si Putih Si Merah dan Takkan Terpisah.

“Memang kesemua lagu yang dimuatkan dalam album ini telah dilancarkan sebagai single dan tidak ada lagu baharu. Mungkin album ini boleh dijadikan sebagai koleksi untuk peminat.

“Sebenarnya album ini telah disiapkan awal tahun lalu dan Mana Mungkin adalah single baharu yang dimuatkan dalam album ini namun atas sebab tertentu, pihak label terpaksa menangguhkan pelancarannya.

“Biarpun begitu, apa yang istimewanya mengenai album ini, kita selitkan sekali sekeping CD yang memuatkan lagu-lagu yang sama dalam versi karaoke dan muzik video sebagai hadiah kepada peminat,” katanya yang bakal terlibat dengan jelajah promosi album di Langkawi menerusi Karnival Belia Langkawi bersama Black pada 29 April sehingga 1 Mei ini.

Tulis lagu

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya selain album, Black memberitahu selain nyanyian, dia juga mahu berjinak-jinak dalam penulisan lagu.

“Sebenarnya selepas pelancaran album ini, saya akan tampil dengan single baharu iaitu Anugerah Terindah ciptaan Omar K.

“Dan selepas terhasilnya single itu, Insya-ALLAH, saya akan tampil dengan sebuah lagu yang menampilkan hasil tulisan saya sendiri,” katanya.

Selain itu, Black memberitahu dalam tempoh masa yang terdekat dia bakal terlibat dengan rakaman semula lagu tema kempen Ramadan TV3, Syukur Selalu.

“Lagu masih sama cuma dari susunan muziknya akan berubah sedikit.

“Saya masih akan berduet bersama Dayang Nurfaizah seperti tahun lalu,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post