Lagu Lama Dalam Album Baharu Hujan


Kumpulan Hujan mempertaruhkan 12 buah lagu menerusi album terbaharu mereka Jika Sempat.

Kumpulan Hujan mengambil keputusan untuk menggunakan 10 buah lagu lama yang tidak pernah dilancarkan sebelum ini menerusi album terbaharu mereka yang berjudul Jika Sempat.

Vokalis kumpulan itu, Noh Salleh, 31, berkata, setiap lagu yang dipilih mempunyai keistimewaan tersendiri selain ia melambangkan perjalanan karier band berkenaan selama 10 tahun bertapak dalam industri muzik.

"Album kelima ini sebenarnya ada 12 buah lagu tetapi 10 daripadanya adalah daripada koleksi lagu-lagu yang pernah saya tulis sebelum ini tetapi ia tidak pernah dilancarkan.

"Kami mengambil keputusan memasukkan lagu-lagu berkenaan dalam album ini kerana ia melambangkan perjalanan muzik Hujan itu sejak kami mula-mula beraksi iaitu pada tahun 2006 hingga kini.

"Kepada peminat setia Hujan mereka pasti akan teruja kerana lagu-lagu berkenaan akan mengimbau memori mereka dan tahu ia adalah Hujan," katanya kepada mStar Online.

Hujan ditemui pada majlis pelancaran album berkenaan di sini, Jumaat.

Sepuluh lagu berkenaan adalah Jika Sempat, Biarkan Saja, Karektor Tentangan, Papa Mama, Jangan Lupakan Aku, Sendiri, Kamar Sepi, Miri, Berlari dan Mati dan Aku Janji.


Hujan kembali dengan album terbaharu selepas empat tahun.

Dua buah lagu terbaharu turut dimuatkan dalam album tersebut iaitu Pemicu Gila dan Kau.

Peminat boleh mendengar secara eksklusif album berkenaan menerusi aplikasi Spotify bermula 15 April hingga 14 Mei sebelum album berbentuk fizikal dijual.

Dalam pada itu, Noh berkata, meskipun lagu berkenaan adalah daripada simpanan mereka namun untuk album berkenaan dia merakamkan semula vokal selain susunan muzik diperbaharui.



Malah kata Noh, dia turut memberi mandat sepenuhnya kepada gitaris yang juga komposer AG untuk menerbitkan album berkenaan.

"Sebelum ini saya akui cara nyanyian saya agak malas tetapi untuk Jika Sempat saya memberikan 100 peratus komitmen dan memberi kepercayaan kepada AG untuk menentukan hala tuju muzik dan vokal saya," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai album berkenaan, Noh mengakui album kelima mereka itu adalah karya 'syok sendiri' namun ia dihasilkan dengan keikhlasan sebagai seorang pemuzik.


Jika Sempat boleh didengar secara eksklusif menerusi aplikasi Spotify sebelum album berbentuk fizikal dilancarkan.

Jelas Noh, mereka tidak mahu mengikut trend sedia ada dan menjelaskan Jika Sempat sebagai sebuah album yang mampu mengimbau kenangan peminat terhadap perjalanan selama 10 tahun kumpulan itu.

"Syok sendiri kami bukan kosong tetapi setiap karya dihasilkan dibuat dengan ikhlas dan Insya-Allah ia dapat menarik minat pendengar.

"Kita tidak mahu menghasilkan sesuatu yang bukan diri kami tetapi sebaliknya peminat dapat mengimbau kenangan bersama lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini.

"Sebab itu kami memilih 10 lagu lama yang tidak pernah dilancarkan dalam album ini," ujarnya.

Mempertaruhkan Jika Sempat sebagai single pertama, Noh berkata lagu berkenaan cukup istimewa kepada Hujan selain ia menjalani proses mastering di New York, Amerika Syarikat.

Post a Comment

Previous Post Next Post