Kredibiliti muzik Isyana Sarasvati


CUKUP terkenal dengan lagu Keep Being You dan Tetap Dalam Jiwa yang sering dimainkan di stesen radio di Indonesia, klip video Tetap Dalam Jiwa kini meraih 41 juta tontonan di YouTube.

Mempunyai latar belakang pendidikan seni yang begitu impresif, nama bintang muda yang sedang mencipta nama di Indonesia, Isyana Sarasvati, 23, barangkali masih asing dalam kalangan peminat muzik di Malaysia.

Berlandaskan bakat sebagai penyanyi dan komposer, alumni Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura dan Royal College of Music, London itu membuktikan dia bukanlah pemuzik picisan yang hanya mengejar glamor semata-mata.

Berpeluang menemu bual penyanyi jelita tersebut melalui panggilan telefon yang dikendalikan pihak Sony Music baru-baru ini, Isyana bercerita tentang keinginan untuk melebarkan nama di Malaysia dan penerimaan masyarakat Nusantara terhadap muziknya.

“Saya pernah ke Malaysia tetapi waktu itu saya ke Pulau Pinang dan tidak sempat ke Kuala Lumpur. Jadi, saya ingin sekali ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan penggemar lagu saya suatu hari nanti,” ujarnya mesra.

Cukup terkenal di Indonesia menerusi lagu Tetap Dalam Jiwa yang klip videonya telah ditonton lebih 41 juta penonton di YouTube, Isyana yang sangat meminati muzik klasikal itu berasa terkejut dengan penerimaan peminat terhadap jalur muziknya.

“Saya sangat terkejut saat diberitahu bahawa single pertama saya, Keep Being You mula menjadi siulan pendengar di Indonesia. Kemudian, lagu Tetap Dalam Jiwa pula mendapat sambutan lebih hebat dengan jumlah besar penonton di YouTube dan sangat popular di corong radio.

“Sehingga sekarang saya masih tidak mempercayainya. Saya percaya, kejayaan hari ini adalah hasil kerja keras selama ini. Saya mahu melebarkan muzik dan berkongsi dengan masyarakat di Malaysia pula,” kata Isyana yang memulakan langkah sebagai penyanyi bermula pada 2005.



Adunan Explore!

Diajak berbual mengenai album sulungnya, Explore! yang dilancarkan di Indonesia sekitar hujung tahun lalu, Isyana berkata, dia selesa menzahirkan sebuah karya ciptaannya sendiri.

Kecenderungannya terhadap muzik klasik menjadi kelebihan buat Isyana mengaplikasikan kemahiran dan minatnya itu ke dalam karya meskipun diberi perisa moden.

“Ya, saya memang peminat muzik klasik. Ketika melanjutkan pelajaran di Singapura saya juga pernah bergelar penyanyi opera. Di situ, saya belajar mengembangkan bakat saya sebagai seorang penyanyi dan juga pemuzik,” ujarnya.

“Tentang menyanyi lagu ciptaan sendiri, saya sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer lain, cuma lebih selesa menyanyikan lagu sendiri. Lebih bebas untuk bereksperimen secara lebih mendalam,” ujarnya yang sangat mengagumi bakat penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain Keep Being You dan Tetap Dalam Jiwa, lagu lain yang turut dimuatkan dalam album Explore! adalah Mimpi, All Over Me, Di Batas Waktu dan Kau Adalah (duet dengan penyanyi Rayi Putra).

Mengulas tentang album yang tidak mengkhususkan genre tertentu, Isyana berkata: “Tiada genre yang spesifik. Saya memanggilnya sebagai ‘Exploration of Pop’. Bagi saya, seorang penyanyi ialah seorang pengembara. Saya suka untuk mencuba pelbagai genre muzik seperti balada, R&B dan klasikal,” ulas Isyana yang mula menyanyi dan mencipta lagu seawal usia tujuh tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post